KUALA BERANG, 14 Julai (Bernama) -- Mangsa penipuan urus niaga dalam talian harus tampil ke hadapan bagi memudahkan proses siasatan terhadap laman jual beli yang didapati menipu pengguna.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata kebanyakan pengguna yang menjadi mangsa malu untuk muncul dan melaporkan penipuan itu kepada pihak berkuasa.
"Segera laporkan sebarang penipuan terus kepada polis agar ia memudahkan usaha polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sebarang (perkara) teknikal ke atas laman-laman yang menipu ini.
Untuk isu begini, kita akan bekerjasama dengan polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk kesalahan di atas akta yang berkaitan penipuan dalam talian. SKMM hanya akan bertindak apabila sesuatu kes dirujuk secara bertulis kepada kita," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Pengajian Tahsin Al-Quran Hulu Terengganu, di sini hari ini.
Jailani merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu berkata terbaharu kini dua laman yang telah disekat di bawah permintaan polis.
Kata beliau, untuk sesebuah laman jual beli dalam talian beroperasi haruslah mengikut dan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) yang mula dikuatkuasakan KPDNKK pada 1 Julai 2013.
"Pastikan untuk membeli apa jenis produk, alat, kenderaan sebagainya dalam talian..penjual telah berdaftar terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana ia akan memudahkan polis, KPDNKK untuk melakukan siasatan jika berlakunya sebarang kes penipuan," katanya.
Menurut laporan akhbar tempatan, sehingga kini dianggarkan sebanyak 30,000 aduan diterima sejak tahun lepas oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung penipuan di portal jualan dalam talian.
-- BERNAMA
Showing posts with label penipuan. Show all posts
Showing posts with label penipuan. Show all posts
Friday, July 14, 2017
Tuesday, April 4, 2017
JANGAN PERCAYA DENGAN PANGGILAN MINTA NOMBOR AKAUN BANK
KUALA TERENGGANU, 4 April (Bernama) -- Polis Kemaman mengesan kegiatan penipuan menerusi talian telefon dengan taktik licik mengakibatkan tiga mangsa di sini kerugian sehingga RM180,000.
Ketua Polis Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim berkata taktik penipuan tersebut menunjukkan peningkatan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
"Mereka akan membuat panggilan secara rawak ke atas mangsa dengan memperkenalkan dari institusi perbankan dan memberikan pelbagai helah sebelum mengarahkan mangsa memindahkan wang.
Golongan ini sangat licik, suspek pakar dalam mengalihkan talian telefon dipercayai menggunakan 'Voice Over Internet Protocol (VoIP)' bagi menyakinkan mangsa panggilan yang dibuat itu menerusi talian bank," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurutnya mangsa masing-masing menanggung kerugian sehingga RM12,000, RM28,000 dan RM140,000 hasil helah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
Katanya penjenayah tidak mengira mangsa, pangkat dan peringkat umur dan bagi kes di Kemaman melibatkan mangsa yang bekerja dalam sektor swasta dan pesara bank.
Mohd Said berkata sepatutnya penipuan seumpama itu senang dikesan kerana pihak bank tidak akan meminta butiran peribadi menerusi panggilan telefon.
"Jangan mudah percaya dan sesekali memberikan butiran peribadi menerusi panggilan telefon dan jika menerima panggilan yang meminta untuk memindahkan wang semak terlebih dahulu panggilan berkenaan," katanya.
Selain itu beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan pembelian dalam talian dan perlu berwaspada agar tidak menjadi mangsa dan tertipu.
--BERNAMA
Subscribe to:
Posts (Atom)

