Friday, December 7, 2018

DAHULU PUN PEMIMPIN PH KAKI DEMO



KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Idris Ahmad mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama bekas anggota parti itu bahawa mereka pernah menjadi kaki demo supaya jangan lupa dengan apa yang pernah mereka lakukan dulu.

Mengulas mengenai himpunan yang akan diadakan PAS bersama NGO lain esok Idris berkata bermacam-macam usaha yang dilakukan bagi mematikan semangat rakyat termasuk melabelkan penganjur membuang duit dan membazir sahaja Kelantan memberikan cuti peristiwa.

“Bagus juga dengan tuduhan ini. Bertambah semangat rakyat untuk hadir apabila promosi dibuat oleh pemimpin PH.

“Biarkan rakyat jadi hakim negara. Ini masa pemimpin PH hadapi pula perhimpunan rakyat. Bukankah sebahagian pemimpin besar PH kaki demo.

“Bukan setakat demo, tidur atas jalan, bermalam dalam khemah. Hisap gas, kena pukul,” kata Idris Ahmad seperti dilaporkan Harakahdaily.

Justeru, Idris mengingatkan pemimpin PH supaya tidak mudah lupa cerita lama itu walaupun sudah menjadi kerajaan.

“Roda sentiasa berputar. Dulu hari awak, sekarang hari kami,” katanya.

Thursday, December 6, 2018

DR MAHATHIR SERIUS MAHU BANTERAS RASUAH

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan kebimbangan berhubung amalan rasuah yang semakin menjadi suatu perkara biasa dalam kalangan masyarakat sehingga sanggup mengetepikan kesannya terhadap bangsa dan negara.

Gejala itu yang disifatkan beliau sebagai '’memperasuahan'’, yang bermakna perbuatan menyemai sifat buruk dalam masyarakat sehingga menjadi sebahagian dari budayanya.

"Saya tidak tahu sama ada “memperasuahan” adalah satu perkataan dalam Bahasa Melayu. Tetapi sama ada perkataan ini ada atau tidak, perbuatan memperasuahan memang kerap dilakukan dalam masyarakat manusia.

Masyarakat yang terima budaya ini, tidak lagi berasa segan atau malu dengan pemberian dan penerimaan rasuah, yang kadang-kadang disebut sebagai “tumbuk rusuk” atau “makan suap”, katanya dalam catatan terbaharu di blognya www.chedet.com, malam ini.

Katanya biasanya masyarakat menganggap rasuah sebagai satu amalan yang keji dan buruk, tetapi mereka yang mengamal perbuatan itu akan menyembunyi perbuatan mereka kerana sedar yang ianya adalah sesuatu amalan yang salah di sisi undang-undang dan agama.

Bagaimanapun apabila amalan rasuah diterima masyarakat sebagai perkara biasa yang boleh diamal secara terbuka, maka tidak lagi ada perasaan segan silu apabila melakukannya, baik oleh pemberi atau penerima.

Di zaman pemerintahan yang percaya “cash is king” atau “wang adalah raja” maka pemberian dan penerimaan rasuah menjadi satu daripada nilai hidup dan budaya, terutama dalam kalangan orang Melayu, katanya.

"Apa sahaja sanggup dibuat jika disogok dengan wang atau pemberian yang diminati. Soal baik buruk sesuatu yang diberi atau diarah tidak termasuk dalam pertimbangan.

Percanggahan dengan undang-undang, bahkan berdosa dari segi agama tidak diambil kira. Yang diutamakan ialah pendapatan yang memuaskan nafsu,”katanya.

Kata Dr Mahathir masyarakat sedia maklum bahawa sogokan dianggap sebagai perbuatan yang tidak baik dan dilarang, namun penerima tidak berfikir panjang.

"Baik, tidak baik...tetapi sogokan memuaskan nafsu dan dipercayai menguntungkan. Oleh itu terima sahajalah. Kesan buruk terhadap masyarakat adalah perkara remeh.

Sudah tentu perasaan kebangsaan dan kesan terhadap bangsa dan negara tidak lebih utama dari nafsu penerima rasuah,” katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, December 5, 2018

INI AKIBATNYA BN PILIH CALON ORANG YANG TAK MINAT JADI WAKIL RAKYAT

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat akan mengeluarkan surat peringatan terakhir kepada Yamani Hafez Musa dalam masa terdekat agar Anggota Parlimen Sipitang itu segera hadir bagi mengangkat sumpah jawatan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata Yamani Hafez perlu segera berbuat demikian sebelum hilang kelayakan.

“Beberapa surat peringatan mengangkat sumpah telah dihantar sebelum ini namun tiada maklum balas daripada anggota Parlimen itu. Kita telah tulis surat kepada beliau (Yamani Hafez) dan beri tarikh yang sesuai bukan sahaja untuk dia tetapi Parlimen juga. Terpulang kepada Sipitang,"katanya.

Ulasan saya, inilah akibatnya BN pilih calon kerana keluarga bukan kerana akar umbi mahu calon tersebut jadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

Tan Sri Musa Aman selaku Pengerusi BN Sabah ketika itu telah memilih adiknya Anipah bertanding di parlimen Kimanis dan anaknya di parlimen Sipitang seolah olah orang lain tak layak jadi calon.

Tuesday, December 4, 2018

HAJI HADI NAFI BERKRISIS DENGAN MB



KUALA TERENGGANU, 4 Dis (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan berlakunya krisis dalaman parti antara beliau dan Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar hingga wujudnya dua kumpulan dalam PAS Terengganu seperti yang tular di laman sosial.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu tuduhan tidak berasas yang dilakukan oleh pihak tertentu yang ingin mengeruhkan hubungan baik antara beliau bersama bekas setiausaha politiknya itu.

"Apa yang dikatakan di media sosial itu semua tidak benar... hubungan PAS dan kerajaan negeri juga sangat baik," katanya.

Monday, December 3, 2018

25 PERATUS SAHAM KERAJAAN DALAM PETRONAS AKAN DIJUAL?



KUALA LUMPUR: Selepas menjual ekuiti konglomerat hospital IHH Healthcare Bhd. (IHH) kepada Mitsui, Jepun, timbul kebimbangan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang dijangka menjadi 'mangsa' terbaharu yang akan dikorbankan kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr, Shamsul Anuar Nasarah berkata, terdapat beberapa media antarabangsa melaporkan kerajaan sudah memulakan pelan bagi melupuskan 25 peratus ekuiti kerajaan dalam Petronas melalui penyenaraian awam di bursa saham.


“Tindakan ini dijangka memberi pulangan dana RM200 bilion kepada kerajaan PH. Kita bimbang jika perkara ini menjadi kenyataan.

“Penjualan ekuiti perlu dielak­kan bagi membolehkan Petronas terus berperanan sebagai rizab dan khazanah negara pada masa hadapan. Kita tidak bersetuju jika penjualan ini dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul A­nuar berkata, Petronas perlu kekal sebagai rizab kepada ne­geri-negeri pengeluar mi­nyak seperti Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Katanya, Petronas tidak seharusnya dijadikan bahan daga­ngan untuk keuntungan pihak swasta dan kepentingan syarikat asing.

“Petrol itu memanglah bahan dagangan, tapi bukan Petronas. Petronas adalah sebuah syarikat negara, syarikat kebangsaan yang menjadi lambang kedaulatan negara. Menjual Petronas sama seperti menjual negara.

“Tindakan menjual ekuiti kepada pelabur luar negara bukan langkah yang bijak apatah lagi selepas Petronas memiliki aset yang sudah melebihi sekali ganda dari aset asal manakala aset wang tunai sudah melambung kepada RM150 bilion sebelum (kerajaan) diambil PH,” katanya.


Sunday, December 2, 2018

"SAYA YANG MENJALANKAN AMANAH" DAPAT KEMBALIKAN KEPERCAYAAN RAKYAT KEPADA PENJAWAT AWAM

JOHOR BAHRU, 2 Dis (Bernama) -- Frasa ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’ yang digunakan dalam surat rasmi kerajaan menggantikan frasa lama ‘Saya Yang Menurut Perintah’ oleh pentadbiran terdahulu diharap dapat mengembalikan kegemilangan dan kepercayaan masyarakat terhadap penjawat awam di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Borhan Dolah berkata langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan supaya setiap penjawat awam dapat menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Kerajaan amat menitikberatkan usaha mewujudkan perkhidmatan adil, telus, bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa,"katanya.

Saturday, December 1, 2018

KENYATAAN HINDU MAKKAL KATCHI ADA NIAT JAHAT KATA WISMA PUTRA



PUTRAJAYA, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan India menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu insiden di Kuil Sri Maha Mariamman serta tidak akan mencampuri urusan negara ini.

Menurut Wisma Putra, jaminan itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Shri Mridul Kumar dalam perbincangan dengan Kementerian Luar.

Perbincangan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia itu diadakan susulan memorandum yang diserahkan oleh Presiden Hindu People’s Party Arjun Sampth kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai pada Rabu lepas, demikian menurut kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata memorandum daripada parti yang juga dikenali sebagai Hindu Makkal Katchi itu mengutuk insiden terbabit dan mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden tersebut.

"Kerajaan Malaysia memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Hindu Makkal Katchi tanpa usul periksa yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat jahat untuk mengeruhkan hubungan dua hala yang baik di antara Malaysia dan India," kata Wisma Putra.

Wisma Putra berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa bercakap di Parlimen juga telah menyatakan dengan jelas bahawa insiden perbalahan tersebut merupakan kes jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.

Hindu Makkal Katchi merupakan sebuah parti politik kecil berhaluan kanan dan ekstremis di Tamil Nadu, India.

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa lepas berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu bukan sahaja menyaksikan kemusnahan puluhan kenderaan yang dibakar tetapi turut menyebabkan seorang anggota bomba cedera parah kerana dipukul oleh kumpulan perusuh.

Muhammad Adib Mohd Kassim kini dirawat di Institut Jantung Negara dan keadaannya dilaporkan kritikal namun stabil.

Setakat semalam, polis telah menahan 42 individu bagi membantu siasatan kes rusuhan tersebut.

-- BERNAMA