Sunday, May 6, 2018

"SEA FELDA" BERI MANFAAT KEPADA 452 PESERTA


KUALA NERUS, 6 Mei (Bernama) -- Projek Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) atau "Sea Felda", sebuah kawasan pembangunan bersepadu khusus untuk golongan nelayan di Seberang Takir di sini, bakal memberi manfaat kepada 452 peserta AKN, atau hampir 2,000 penduduk tempatan, termasuk ahli keluarga mereka.

Projek bernilai RM180 juta itu dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, di Kampung Seberang Pak Abu hari ini.

Ahmad Razif berkata projek yang akan dilaksanakan di kawasan seluas 22 ekar itu dijangka siap secara keseluruhannya pada tahun 2020.

Ia merangkumi pembangunan sebuah kawasan komersial, perikanan dan perumahan berbentuk 'town house' yang berdaya maju bagi meningkatkan taraf hidup warga nelayan, katanya ketika majlis pelancaran projek itu yang mendapat kerjasama daripada Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC).

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John turut hadir di majlis itu.

Ahmad Razif berkata buat permulaan, pihak ECERDC akan menjalankan fasa satu projek berkenaan iaitu membina kawasan perumahan berbentuk 'townhouse' itu di tapak seluas 8 ekar di Kampung Batin.

"Bagi menjayakan projek ini, kerajaan Persekutuan telah pun memperuntukkan sebanyak RM32 juta bagi membina 200 buah rumah mampu milik jenis townhouse yang mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air berkeluasan sekurang-kurangnya 850 kaki persegi di bawah fasa yang pertama ini," katanya.

"Peserta yang layak membeli rumah ini akan dipilih melalui sistem Rent-To-Own dan ditawarkan dengan kadar harga yang amat rendah iaitu kira-kira RM68,000 seunit, dengan kos selebihnya dibiayai oleh pihak Kerajaan.

"Harga ini sememangnya jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa," katanya.

Sehubungan dengan itu Ahmad Razif menggesa rakyat khususnya penduduk di Kuala Nerus memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

-- BERNAMA

Saturday, May 5, 2018

TUN MAHATHIR TAK PATUT KATA "MATI KATAK"



KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama)-- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini berkata istilah, 'mati katak', tidak seharusnya diucapkan seseorang yang kononnya bergelar negarawan.

"'Mati katak' adalah kata-kata yang cukup menghina bagi merujuk kepada seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan melakukan dosa yang amat besar dan akan dimasukkan ke dalam neraka," kata Salleh dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan mereka yang meninggal dunia dalam peristiwa Memali pada 1985 mengalami 'mati katak''.

Awal hari ini, PAS menyelar kenyataan yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu dan kemudian Dr Mahathir memohon maaf kepada keluarga mereka yang maut dalam peristiwa itu kerana menggunakan bahasa kasar bagi menerangkan tentang kematian mereka.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima permohonan maaf oleh Dr Mahathir itu.

"Dr Mahathir tidak mahir tentang perkara berkaitan agama. Beliau sepatutnya bertanya kepada mereka yang mempunyai ilmu tentang perkara itu.

Malah, kami (PAS) telah duduk bersama-sama, berbincang dan mendapati mangsa mati syahid."Beliau tersilap cakap. Saya telah mendengar ucapan permohonan maaf beliau dan kami menerimanya, kata Hadi kepada pemberita pada program 'Sembang Santai Bersama Ayoh Chik' di Kuala Ibai di sini hari ini.

-- BERNAMA


PEMBANGKANG CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN

KUANTAN, 5 Mei (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Shabery Cheek menyifatkan pembangkang sebagai pihak yang bercakap tidak serupa bikin apabila bercadang mengenakan pelbagai caj kepada nelayan di Selangor.

Shabery berkata tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri kononnya menjanjikan pelbagai tawaran percuma kepada rakyat termasuk hendak menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memberikan tol percuma kepada rakyat.

"Itu menunjukkan sebuah kerajaan tidak boleh hidup jika semua benda percuma semata-mata, kerajaan memerlukan pendapatan hasil caj kepada rakyat.

"Namun dalam hal ini amat malang sekali apabila caj dikenakan kepada golongan nelayan yang kita tahu berpendapatan rendah tatkala semua perkara hendak diberikan percuma kepada rakyat...ia bertentangan sekali dengan apa yang dikatakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Program Jalinan Kasih bersama nelayan Parlimen Indera Mahkota di Pasar Nelayan Balok di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Untong Keri.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Indera Mahkota Datuk Dr Johan Mat Sah dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah Datuk Suhaimi Jusoh.

Katanya hal itu berbeza dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan BN yang sentiasa menitikberatkan kebajikan dengan memberikan pelbagai inisiatif dan bantuan kepada mereka termasuk program pinjaman mudah kepada nelayan bagi pembelian bot dan peralatan baharu atau meningkatkan keupayaan bot sedia ada.

Selain itu pemberian elaun sara hidup kepada nelayan pada kadar RM250 hingga RM300 sebulan; bantuan infrastruktur dan latihan modal insan melalui program azam tani dan ?touch point'.

Sebelum ini kerajaan negeri Selangor bercadang untuk mengenakan bayaran lesen pendudukan sementara (TOL) ke atas jeti nelayan dan caj penggunaan joran nelayan di Selangor.

Bagaimanapun ia mendapat tentangan lebih 5,700 orang di 52 jeti nelayan di Selangor kerana membebankan mereka dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini.

Dalam masa yang sama beliau turut mengingatkan nelayan supaya memilih calon BN memandangkan ia merupakan anak tempatan sedangkan pembangkang mempertaruhkan calon luar yang datang dan pergi tanpa memperjuangkan kebajikan rakyat di situ.

-- BERNAMA

Friday, May 4, 2018

BN TERENGGANU YAKIN MENANG BESAR PADA 9 MEI INI

DUNGUN, 4 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sekali gus mengulangi sejarah kemenangan yang dicipta pada Pilihan Raya Umum ke-11.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata keyakinan itu berdasarkan situasi politik terkini negeri yang dilihat lebih menyebelahi parti itu berbanding parti lain, selain gerak kerja parti yang tersusun.

"Kita berkeyakinan penuh pilihan raya umum (PRU) kali ini kerana kita lihat sokongan pengundi terhadap BN semakin baik...saya juga nampak PRU14 kali ini seolah-olah macam PRU pada 2004 dahulu ketika kita menang besar.

"Saya yakin dan percaya tak mustahil kita mengulangi sejarah pilihan raya 2004 yang mana kita kalah dengan 4-28 (pada 1999) dan kita rampas semula 28-4 (pada 2004). Insya-Allah kita akan ulangi kejayaan ini," katanya selepas menghadiri Program Santai bersama pemimpin di Padang Astaka Dungun, malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga calon Parlimen Dungun Datuk Din Adam.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata beberapa isu yang timbul sebelum ini juga telah diselesaikan dan jentera parti negeri dilihat bekerja kuat demi kemenangan.

"Saya rasa tidak ada sebab kalau kita tidak dapat ambil balik kawasan Pas menang dengan majoriti rendah termasuk tempat yang kita tidak jangka (menang) macam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura ini, saya nampak momentum pengundi makin hari makin baik, " katanya.

Beliau berkata kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut memberi keuntungan kepada BN apabila dapat mengurangkan permasalahan dalam parti.

"Ada untungnya bila ada parti pribumi (PPBM) ini yang mana kita lihat orang yang tak setia dengan parti dan rasa mereka sudah tak sesuai dengan BN, mereka ada pilihan untuk pergi ke pribumi," katanya.

Pada 1999, tsunami politik menyaksikan Pas berjaya menawan Terengganu selepas menang kesemua lapan kerusi parlimen di negeri ini.

BN pula hanya menang empat daripada keseluruhan 32 kerusi DUN iaitu di DUN Telemong, Ajil, Seberang Takir dan Kemasik, bagaimanapun pada 2004 BN kembali menawan Terengganu selepas memenangi lapan kerusi parlimen dan 28 daripada 32 kerusi DUN di negeri ini.

-- BERNAMA

Thursday, May 3, 2018

PASTIKAN BN MENANG UNTUK DAPATKAN EXCO WANITA

MARANG, 3 Mei (Bernama) -- Calon wanita Barisan Nasional (BN) Terengganu sudah bersedia untuk menggalas sebagai exco kerajaan negeri sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Wanita BN Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata masanya telah tiba untuk kerajaan Terengganu mempunyai exco daripada kaum wanita berdasarkan kekuatan calon wanita BN dan bilangan anggota wanita yang ramai.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan BN Terengganu (Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman) kerana telah mencatat sejarah untuk kaum wanita apabila dua calon Wanita UMNO diangkat sebagai calon untuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

"Saya datang ke sini (Terengganu) adalah untuk berjumpa dengan jentera-jentera BN di sini dan memberi semangat serta sokongan kepada calon-calon dan jentera. Saya juga ingin meminta kepada semua pengundi di Terengganu, berilah undi anda kepada BN," beliau memberitahu wartawan pada program 'Jelajah Cakna Rakyat' ke DUN Bukit Payung di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, wanita yang juga berperanan sebagai pejuang politik harus diberi hak dan tempat melalui penglibatan mereka dalam kerajaan negeri untuk menyuarakan hasrat, idea dan pendapat mereka dalam pembangunan negeri serta negara.

Pada PRU kali ini, BN Terengganu mempertaruhkan dua calon wanita iaitu Toh Puan Zaitun Mat Amin sebagai calon di DUN Bukit Payung manakala Zainun Abu Bakar sebagai calon di DUN Sura, yang bakal berhadapan dengan saingan tiga penjuru daripada PAS dan PKR.

"Sekiranya calon kita ini menang untuk kedua-dua DUN pada PRU14, mereka ini akan menjadi lambang kejayaan wanita di negeri ini. Hari ini, kita dapat lihat kehebatan wanita Terengganu dalam bidang keusahawanan contohnya selain rajin dan berdisiplin tinggi," katanya.

Beliau berkata setiap undi yang diberi untuk BN adalah pelaburan untuk masa hadapan negara dan negeri Terengganu, untuk generasi akan datang.

Melihat peluang calon wanita BN keseluruhannya, Shahrizat berkata penerimaan calon wanita di bawah BN adalah sangat baik berdasarkan pengalaman dan keikhlasan calon-calon berkhidmat untuk rakyat di kawasan yang ditandingi.

"Calon-calon wanita BN ini berpengalaman dan bagi calon yang muda, mereka membawa bersama kepakaran mereka ke dalam parti dan mereka amat serius menerima tawaran untuk menjadi wakil rakyat.

"(Semangat) mereka ini bukan bersifat acah-acah, main-main atau bermusim. Mereka mempunyai rekod prestasi yang baik dan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, May 2, 2018

KAK NUN CALON SURA YANG BUKA KELAS TRENGKAS PERTAMA DI TERENGGANU

DUNGUN, 2 Mei (Bernama) -- Pada tahun 1970-an, kebanyakan remaja perempuan yang berusia antara 17 hingga 19 tahun sudahpun berkahwin dan memiliki keluarga sendiri, namun calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura Datuk Zainun Abu Bakar memilih untuk membantu masyarakat.

Ramai yang tidak tahu bahawa Zainun atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Kak Nun adalah wanita pertama di Terengganu yang membuka kelas khas untuk kursus penulisan trengkas pada tahun 1974.

Wanita berusia 65 tahun itu berkata sebaik tamat peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada tahun 1972, beliau mula mengikuti kursus tersebut di Institut Trengkas Kebangsaan yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata ketika itu, tidak ramai yang menyedari kepentingan menguasai penulisan trengkas ini untuk memudahkan laluan mendapat pekerjaan di sektor awam dan swasta.

"Sebab itu, bila habis belajar, Kak Nun balik ke Dungun dan mulakan perniagaan pertama iaitu Institut Perdagangan Malaysia dengan fokus utama ialah mewujudkan kelas trengkas untuk membantu lebih ramai golongan muda menguasai kemahiran tersebut....kebetulan pula industri minyak dan gas baru hendak berkembang di Kerteh, Kemaman pada masa itu yang memerlukan ramai pekerja dengan kemahiran tertentu.

"Alhamdulillah, selama hampir 20 tahun kelas trengkas dibuka, Kak Nun mempunyai hampir 10,000 pelajar iaitu pelajar lelaki kebanyakannya menyertai sektor perbankan dan kerajaan manakala pelajar perempuan pula diterima masuk dalam bidang kesetiausahaan dan pentadbiran pejabat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain Zainun, BN Terengganu turut mempertaruhkan seorang lagi calon wanita di DUN Bukit Payong di Parlimen Marang iaitu Toh Puan Zaitun Mat Amin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau yang telah menabur bakti kepada masyarakat sejak 44 tahun lalu, tetap gigih mahu terus menyumbang kepada penduduk dan bertekad mahu terus membantu lebih ramai rakyat kawasan DUN Sura sekiranya menang dalam PRU14 ini.

"Kak Nun aktif berpolitik sejak berusia 19 tahun. Minat untuk membantu orang ramai, terutama yang dalam kesusahan sentiasa membara dalam jiwa apatah lagi yang membabitkan bidang pendidikan...sebab itu Kak Nun tidak kenakan bayaran kepada pelajar yang berasal daripada keluarga miskin. Harapan Kak Nun biarlah ilmu kemahiran itu menjadi saham akhirat untuk Kak Nun.

"Melalui Pergerakan Wanita UMNO Dungun, Kak Nun berpeluang merasai denyut nadi rakyat iaitu tumpuan kami ialah ibu tunggal, warga emas, anak yatim dan keluarga miskin," katanya yang mempunyai Diploma Bahasa Inggeris (Komunikasi Perniagaan) dan Eksekutif Sains Kesetiausahaan dari Stamford College.

Bendahari Wanita UMNO Negeri, yang juga Ketua Wanita UMNO Dungun itu berkata aktiviti turun padang mendekati masyarakat setiap kali ada kematian dan musibah atau hadir ke kenduri-kendara bukanlah satu perkara asing bagi dirinya.

"Ia memang rutin harian Kak Nun untuk terus berdamping dengan rakyat. Sebelum ini pun, beberapa PRU lepas, Kak Nun memang kerja kuat berkempen untuk memastikan kemenangan calon BN dan alhamdulillah kali ini, mereka yang lain termasuk pemimpin veteran pula menyokong Kak Nun untuk menang di Sura," katanya.

Isteri kepada kontraktor Abdullah Abdul Latif ini berkata antara manifestonya untuk pengundi DUN Sura ialah menyediakan lebih banyak perumahan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda selain menyediakan tiga kenderaan wakaf untuk kegunaan mereka.

Ditanya mengenai pemilihannya sebagai calon BN untuk merampas semula kerusi DUN Sura yang kini dikuasai pembangkang, ibu kepada tiga anak ini berkata gerak kerja yang diatur sejak menjadi Pegawai Penyelaras DUN itu pada 2015 memberi satu kelebihan buatnya.

"Kami sudah kenal pasti bacaan sikap lebih 24,761 pengundi dalam DUN Sura ini iaitu lebih 21,000 adalah pengundi Melayu, 2,000 pengundi Cina dan 89 pengundi India.

"Insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada BN kali ini berdasarkan pendekatan kita bersama pengundi yang telah dilaksanakan sejak lima tahun lalu," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, May 1, 2018

PH HANYA MAHU TEST MARKET

KUALA NERUS, 1 Mei (Benama)-- Penglibatan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Terengganu seolah-olah hanya untuk 'test market' dan tidak menampakkan kesungguhan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Menteri Besar itu berkata kehadiran calon PH yang terdiri daripada PKR, Amanah dan PPBM itu juga tidak mampu menyaingi calon BN yang telahpun dikenali rakyat.

"Rakyat boleh menilai sendiri sebenarnya kekuatan PH. Saya nampak di Terengganu ni PH hanya sekadar untuk mencuba dan kita tidak perlu bimbang atau khuatir.

"Kita yakin bahawa kerjaaan BN akan dapat dipertahankan untuk PRU14 ini sama ada di peringkat negeri atau kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Siswa Generasi Terengganu (Kad Gen-T) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut hadir Naib Canselornya Prof Datuk Dr Aieni Mokhtar.

Ahmad Razif merupakan calon BN Seberang Takir dalam PRU ini berkata, setakat ini beliau berpuashati dengan persiapan jentera BN tetapi masih perlu diperbaiki dan diperkukuhkan.

Sementara itu, ketika melancarkan Kad Gen-T beliau berkata kad tersebut membolehkan mahasiswa mendapat potongan harga di mana-mana syarikat atau kedai milik kerajaan negeri termasuk hotel, antara lima peratus hingga 50 peratus.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 15 buah syarikat atau hotel telah menyediakan kemudahan potongan melalui kad Gen-T dan sebagai permulaan seramai 40,000 mahasiswa anak Terengganu diberi kad berkenaan.

"Untuk permulaan, setiap kad ini mengandungi RM100. Lepas ini kita akan dapatkan lagi kedai-kedai atau restoran seperti KFC atau kedai-kedai makanan ringan bagi menangani isu kenaikan harga kepada siswa," katanya.

-- BERNAMA