Showing posts with label ph. Show all posts
Showing posts with label ph. Show all posts

Monday, December 24, 2018

PKR PALING BANYAK KERUSI DALAM PH TAPI PM DARI BERSATU


KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Detik 10 pagi, 16 Julai 2018 menyaksikan senario baharu sidang Dewan Rakyat selepas kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pakatan Harapan diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini berada di blok kerajaan sementara Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan selama enam dekad pula berubah ke blok pembangkang bersama PAS dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai ketua pembangkang.

Dalam pada itu, sejarah turut terlakar dengan pelantikan Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee daripada pembangkang BN sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen yang sebelum ini dilantik daripada kalangan parti pemerintah.

Pelantikan itu merupakan antara janji dalam manifesto PH pada PRU14 bagi mengembalikan wibawa Parlimen sebagai institusi penting untuk menyemak imbang kuasa eksekutif.

Parlimen 2018 turut diwarnai dengan kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Rakyat yang bertekad menggerakkan reformasi Parlimen selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Okt.

Komposisi kerusi Parlimen turut berubah-ubah dengan pengumuman seorang demi seorang anggota Parlimen UMNO meninggalkan parti antaranya anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli); Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) dan Datuk Rozman Isli (Labuan).

Mustapa, Mas Ermieyati dan Dr Noor Azmi kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sementara Rozman menyertai Parti Warisan Sabah.

Komposisi terkini Dewan Rakyat menyaksikan PH menguasai 128 kerusi dengan PKR mempunyai 50 kerusi, DAP (42), Bersatu (16), Amanah (11), Warisan (9).

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan hasil tindakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) keluar daripada BN pada awal Jun lepas pula menguasai 19 kerusi di Parlimen, dan ia juga telah menyatakan sokongannya terhadap PH.

Kerusi pembangkang pula menyaksikan BN mempunyai 40 kerusi dengan UMNO menguasai 37 kerusi, dua kerusi MIC dan satu MCA sementara PAS (18 kerusi).

Masing-masing satu kerusi milik Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR dan UPKO.

Pada 30 Nov, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah kerana wujud amalan rasuah.

Meskipun mempunyai lebih majoriti di Dewan Rakyat, usaha kerajaan PH untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar menemui halangan susulan Dewan Negara masih dikuasai BN.

Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 itu pada 12 Sept lalu walaupun ia diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos.

Sidang Dewan pada 2 Nov lalu pula menyaksikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019, yang pertama bagi kerajaan PH.

Tidak sunyi daripada pelbagai ragam anggota Parlimen, Parlimen 2018 bagaimanapun membuktikan sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan terus subur di Malaysia, walaupun berlakunya pertukaran kerajaan.

-- BERNAMA

Thursday, May 17, 2018

PH TELAH DILULUSKAN PENDAFTARANNYA

PETALING JAYA, 16 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) telah diluluskan sebagai sebuah parti gabungan empat parti yang sah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, yang dinamakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Dalam Negeri, berkata permohonan PH sebagai parti gabungan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini.

PH adalah gabungan parti politik iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PPBM.

"Pada malam ini saya ingin umumkan sebagai Menteri Dalam Negeri, suatu keputusan yang telah lama kita tunggu-tunggu, walaupun tanpa penglibatan saya kerana saya belum mengangkat sumpah, tetapi tindakan dilakukan melalui peringkat Ketua Setiausaha kementerian yang telah memaklumkan bahawa pendaftaran Pakatan Harapan telah diluluskan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Merdeka Rakyat bagi meraikan pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. di Padang Timur, di sini, malam ini.

Turut hadir isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, PH telah bertanding di bawah lambang PKR dengan menggabungkan calon-calon daripada PKR, PPBM, Amanah dan DAP.

Sebelum ini dilaporkan PH tidak dapat didaftarkan kerana PPBM didakwa gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan RoS dalam masa yang ditetapkan.

Pada PRU14, PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang baharu dengan menamakan pengerusinya, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, Muhyiddin berkata PPBM juga telah kembali menjadi sebagai satu parti yang sah selepas pendaftarannya turut diluluskan RoS hari ini.

Sementara itu Wan Azizah berkata beliau bersyukur kerana rakyat memberi sokongan penuh kepada PH selain menyambut kebebasan Anwar dengan penuh semangat.

"Syukur Ramadan ini disambut dengan kebebasan Anwar. Anwar sebelum ini dipenjara dan dizalimi," katanya.

Beliau juga tidak menyangka ceramah malam ini mendapat liputan meluas media khususnya TV3 serta media lain.

Pada program sama, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memohon supaya media memberi liputan adil kepada semua parti walaupun terhadap pembangkang kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk mengangkat isu rakyat.

"Saya juga minta sahabat-sahabat dalam PH sedar bahawa setiap sen yang anda belanjakan itu adalah wang rakyat dan saya minta supaya sahabat-sahabat sedar bahawa yang mengangkat kita bukan tokoh parti atau individu-individu tertentu tetapi rakyat," tambahnya.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan kes liwat.

Anwar, yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, pada asalnya dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan serta-merta hari ini selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

-- BERNAMA

Tuesday, May 1, 2018

PH HANYA MAHU TEST MARKET

KUALA NERUS, 1 Mei (Benama)-- Penglibatan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Terengganu seolah-olah hanya untuk 'test market' dan tidak menampakkan kesungguhan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Menteri Besar itu berkata kehadiran calon PH yang terdiri daripada PKR, Amanah dan PPBM itu juga tidak mampu menyaingi calon BN yang telahpun dikenali rakyat.

"Rakyat boleh menilai sendiri sebenarnya kekuatan PH. Saya nampak di Terengganu ni PH hanya sekadar untuk mencuba dan kita tidak perlu bimbang atau khuatir.

"Kita yakin bahawa kerjaaan BN akan dapat dipertahankan untuk PRU14 ini sama ada di peringkat negeri atau kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Siswa Generasi Terengganu (Kad Gen-T) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut hadir Naib Canselornya Prof Datuk Dr Aieni Mokhtar.

Ahmad Razif merupakan calon BN Seberang Takir dalam PRU ini berkata, setakat ini beliau berpuashati dengan persiapan jentera BN tetapi masih perlu diperbaiki dan diperkukuhkan.

Sementara itu, ketika melancarkan Kad Gen-T beliau berkata kad tersebut membolehkan mahasiswa mendapat potongan harga di mana-mana syarikat atau kedai milik kerajaan negeri termasuk hotel, antara lima peratus hingga 50 peratus.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 15 buah syarikat atau hotel telah menyediakan kemudahan potongan melalui kad Gen-T dan sebagai permulaan seramai 40,000 mahasiswa anak Terengganu diberi kad berkenaan.

"Untuk permulaan, setiap kad ini mengandungi RM100. Lepas ini kita akan dapatkan lagi kedai-kedai atau restoran seperti KFC atau kedai-kedai makanan ringan bagi menangani isu kenaikan harga kepada siswa," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, January 13, 2018

PH GAGAL PILIH BAKAL PM TERBAIK

ARAU, 13 Jan (Bernama) -- Kecelaruan dalam kalangan kepimpinan parti pembangkang menyebabkan Pakatan Harapan (PH) gagal menentukan siapakah bakal perdana menteri yang terbaik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata situasi itu sekali gus menunjukkan hasrat untuk PH mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri tidak akan terlaksana.

"Jika nak bentuk kerajaan, mereka perlu ada sokongan yang kuat dan padu serta kepercayaan daripada rakyat."

"Kepimpinan mereka juga (PH) hendaklah sepakat sesama mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 250 pelajar cemerlang Parlimen Arau dekat sini hari ini.

Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata kerajaan sekarang adalah berjiwa rakyat dan rakyat kini sudah bijak menilai.

"Jika dilihat pembahagian kerusi PH antara sesama parti mereka sudah jelas menunjukkan mereka sendiri tidak mahu dia (Mahathir) menjadi Perdana Menteri," katanya.

-- BERNAMA