Showing posts with label wan hakim. Show all posts
Showing posts with label wan hakim. Show all posts

Monday, June 18, 2018

WAN HAKIM TAK FAHAM KONSEP BERAKIT




KEMAMAN: Calon Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman dari pasukan "Kemaman Berubah", Haji Wan Hakim Wan Mokhtar tidak faham dengan konsep berakit.

Pemilihan Umno secara berakit bukan asing lagi kepada para perwakilan Umno Bahagian Kemaman. Pada tahun 2001, dua rakit berentap merebut kerusi ketua, timbalan ketua dan naib ketua serta 20 ahli jawatankuasa Umno Bahagian.

Pasukan pemangku ketua bahagian, Datuk Abu Bakar Ali dicabar oleh pasukan bekas Exco, Datuk Seri Ahmad Said pada pemilihan tersebut. Abu Bakar Ali dibantu Nazri Salleh bagi jawatan timbalan ketua manakala Haji Shahbudin Maidin bagi jawatan naib ketua.

Pasukan Ahmad Said dibantu oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (timbalan ketua) dan Datuk Seri Mohamed Rahim Husin (naib ketua). Pasukan Ahmad Said hampir menyapu bersih 20 kerusi ahli jawatankuasa Umno Bahagian kecuali Tuan kecil Tuan Tengah yang menang dari pasukan Abu Bakar Ali.

Maka bertanding bahagian secara berakit sudah lumrah di Kemaman. Tahun ini nampaknya pasukan Ahmad Said akan ditentang oleh pasukan "Kemaman Berubah" yang diketuai bekas pegawai khas Menteri Besar, Mat Dalam Awang.

Ahmad Said beregu dengan Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid serta Ahmad Fikry Ibrahim (Bulat) manakala "Kemaman Berubah" menampilkan Mat Dalam Awang, Wan Hakim (timbalan ketua) dan Ahmad Mizani Mohd (naib ketua).

Oleh kerana Wan Hakim tidak faham dengan konsep berakit maka beliau disingkirkan dari pasukan "Kemaman Berubah". Pasukan itu telah bersetuju menampilkan Norzamziah Afzainizam bagi calon ketua wanita tetapi Wan Hakim menyokong calon ketua wanita dari pasukan Ahmad Said iaitu Hajah Rosmiza Mokhtar, maka beliau terpaksa disingkirkan dari "Kemaman Berubah".

Malam tadi ketika membuat road show di Felda Kerteh 5, semua calon dari "Kemaman Berubah" telah memperkenalkan diri kepada para perwakilan dari enam cawangan. Mereka ialah Mat Dalam Awang (ketua), Mizani (naib ketua), Norzamziah (ketua wanita), Tuan Noraishah Tuan Puteh (ketua puteri) dan Mohd Zammil Mohd Zuslaini (ketua pemuda).

Wednesday, February 28, 2018

BN YAKIN KEKAL PERINTAH TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 28 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Terengganu yakin akan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan mengekalkan pentadbirannya di negeri ini meskipun pembangkang dilihat lebih agresif mendekati pengundi ketika ini.

Ketua Penerangan BN Terengganu Wan Hakim Wan Mokhtar berkata BN telah menyusun strategi tersendiri tanpa perlu mengikut apa yang dilakukan pihak lawan untuk memenangi PRU14 nanti.

"Kami benar-benar yakin akan memenangi PRU nanti dan kekal mentadbir negeri ini sebab kita dah susun dan ada strategi-strategi kita yang hanya menunggu waktu sesuai untuk dilancarkan."

"Biarlah orang lain nak buat apa pun, kita bukan parti yang akan ikut rentak parti lain, kita bukan macam tu," katanya dalam sidang media sempena Konvensyen BN Terengganu 2018.

Konvensyen dua hari itu akan dirasmikan Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di sini, esok.

Wan Hakim yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Air Putih itu berkata BN Terengganu juga sudah mempunyai maklumat lengkap dan data terkini jumlah pengundi yang dijangka akan memilih BN pada PRU nanti.

"Dalam pilihan raya jumlah pengundi membawa segala makna...kita ada data lengkap dan boleh tahu berapa ramai pengundi yang akan undi kita nanti.

Di media sosial juga kita dah jalankan kajian bahawa kita akan menang berbanding pihak pembangkang," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, January 18, 2018

TERENGGANU TAK LEPAS TANGAN ATASI MASALAH PENGANGGURAN


KUALA TERENGGANU, 18 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu sentiasa peka dan tidak pernah 'lepas tangan' dalam mengatasi masalah pengangguran dengan melakukan pelbagai inisiatif.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata dakwaan pemimpin PAS baru-baru ini, seolah-olah pimpinan kerajaan negeri menjadi punca masalah tersebut adalah tidak adil kerana ia turut melibatkan beberapa faktor lain termasuk kejatuhan harga besi dan minyak di pasaran dunia.

"Disebabkan kejatuhan harga dua komoditi utama dunia itu, semakin ramai pekerja Terengganu terutama di Kemaman diberhentikan kerana kilang yang terlibat dengan dua industri tersebut tidak lagi beroperasi.

"Ia menyebabkan kadar pengangguran di Terengganu menjadi lebih tinggi daripada kadar nasional untuk tahun 2015 (4.0 peratus berbanding 3.2 peratus) dan pada tahun 2016 (4.2 peratus berbanding 3.4 peratus)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai siaran video oleh seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu daripada PAS melalui laman Facebook baru-baru ini yang mendakwa kadar pengangguran di negeri ini adalah yang tertinggi di Semenanjung pada tahun 2016 dan ia berbeza dengan era pemerintahan PAS.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Hakim berkata harga besi yang merudum ketika itu telah menyebabkan penutupan sepenuhnya kilang besi Perwaja di Kemaman pada tahun 2015.

"Ribuan pekerja telah diberhentikan dan proses pemberhentian pekerja ini sudah bermula sejak tahun 2012 lagi.

"Perancangan kerajaan negeri ialah sebuah lagi kilang besi di Kemaman iaitu Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) akan mengambil pekerja-pekerja yang diberhentikan Perwaja Steel ini, bagaimanapun ESSB turut terjejas dan terpaksa menangguhkan operasi mereka disebabkan harga pasaran besi yang jatuh merudum pada tahun 2015," katanya.

Menurut beliau dalam masa yang sama, kejatuhan harga minyak telah memperlahankan aktiviti teroka cari gali minyak serta aktiviti-aktiviti huluan dan ia memberi impak yang negatif kepada kegiatan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Ekoran situasi itu, jumlah pekerja yang diberhentikan semakin ramai sekali gus menyebabkan kadar pengangguran di Terengganu menjadi tinggi daripada biasa.

Wan Abdul Hakim yang juga ADUN Air Putih berkata bagaimanapun, situasi itu dijangka kembali pulih seperti biasa sejajar dengan peningkatan harga besi dunia yang semakin stabil ketika ini.

"Eastern Steel akan mula beroperasi sepenuhnya pada Mei ini dan pengambilan pekerja akan dibuat tidak lama lagi.

"Satu syarikat gergasi dari China yang mengeluarkan bitumen pula akan mengambil alih aset-aset Perwaja Steel dan akan menawarkan ribuan pekerjaan baharu di Kemaman," katanya.

Bagaimanapun, Wan Abdul Hakim berkata setiap indikator serta statistik mengenai perkara itu perlu dilihat secara keseluruhan dan bukan hanya dari satu sudut semata-mata.

"Ini kerana pada tahun 2016, Pendapatan Pertengahan Isi rumah (Median Household Income) menunjukkan Terengganu bersama Negeri Sembilan telah melonjak mengatasi tahap kebangsaan 2014 berbanding tujuh negeri lain.

"Ini menunjukkan ekonomi rakyat dari sudut pendapatan telah meningkat di negeri Terengganu dari tahun 2014 iaitu RM3,777 melonjak kepada RM4,694 pada tahun 2016 walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi ketika itu," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, March 28, 2017

WAN HAKIM MAHU SPNB DAN PRIMA BINA RUMAH DALAM DUN AIR PUTIH

KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Isu pemilikan rumah rakyat dibangkitkan oleh beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) semasa membahaskan titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN Terengganu hari ini.

Antara lainnya, mereka meminta kerajaan negeri Terengganu supaya membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN-Air Putih) berkata masih belum ada projek perumahan yang dilaksanakan di kawasannya termasuk yang melibatkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Program Perumahan 1 Malaysia (PR1MA).

Wednesday, March 15, 2017

26 NEGARA SERTAI SWIMATHON ANTARABANGSA KAPAS - MARANG

MARANG, 15 Mac (Bernama) -- Seramai 400 peserta dari dalam dan luar negara mengesahkan penyertaan dalam Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang yang diadakan pada 19 Mac ini.

Timbalan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata acara itu berjaya menarik penyertaan 26 negara, antaranya Algeria, Australia dan Jerman, berbanding 20 negara sebelum ini.

"Seramai 330 peserta dari Malaysia manakala 70 peserta lagi dari negara luar telah mengesahkan penyertaan dan sambutan yang diterima amat menggalakkan," katanya selepas meninjau persediaan pertandingan di Pulau Kapas, di sini semalam.