KUALA BERANG: Umno Terengganu mempunyai lapan bahagian sahaja. Hanya Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari yang tidak dicalonkan semula dalam PRU akan datang.
Ketua Umno Bahagian Besut, Nawi Mohamad kekal di DUN Hulu Besut. Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie dipindahkan ke parlimen Setiu. Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kekal di DUN Seberang Takir manakala Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Sabri Alwi dicalonkan di DUN Ladang.
Ketua Umno Bahagian Marang. Latif Awang kekal di DUN Pengkalan Berangan dan Ketua Umno Bahagian Dungun, Din Adam dicalonkan di parlimen Dungun dan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dikekalkan di DUN Kijal.
Nama Jailani yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multi Media digugurkan di saat saat akhir sedangkan beliau sudah dipanggil oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor untuk bertanding semula di parlimen Hulu Terengganu.
Sebaliknya Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang tewas mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu dikekalkan di DUN Kuala Berang. Memang pelik ketua bahagian yang menang tidak bertanding tetapi yang kalah ketua bahagian dipilih sebagai calon.
Terengganu kehilangan seorang timbalan menteri yang berkaliber di Dewan Rakyat. Beliau berani berhadapan dengan pembangkang dalam Dewan Rakyat mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB.
Menurut sumber, beliau telah menemui Najib untuk mendapatkan penjelasan kenapa beliau digugurkan sebagai calon. Najib mengakui beliau telah meletakkan nama Jailani di parlimen Hulu Terengganu tetapi di saat saat akhir namanya digantikan oleh Datuk Rosol Wahid oleh orang lain.
Sepatutnya Rosol diletakkan di DUN Ajil menggantikan Dr Ghazali Taib yang pernah keluar dari Umno bersama Ahmad Said dan ADUN Bukit Besi, Rosli Daud. Pengkhianat seperti Ahmad Said, Dr Ghazali Taib dan Rosli Daud dikekalkan sebagai calon tetapi orang yang mempertahankan Najib seperti Jailani Johari diketepikan sebagai calon. Itulah balasan kepada orang yang setia kepada Najib.
Sebagai bekas pegawai kanan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM), Jailani memang seronok berada di KKMM kerana ia adalah bidang yang dikuasainya. Oleh itu tugas Jailani mempastikan Umno menang besar di Hulu Terengganu dan sewajarlah Jailani diberi jawatan Senator dan menteri penuh di KKMM. Hanya orang yang pakar mengenai bidang itu yang layak mengetuai kementerian tersebut.
