Showing posts with label sultan mizan. Show all posts
Showing posts with label sultan mizan. Show all posts

Friday, February 1, 2019

JADIKAN AL QURAN SEBAGAI SAHABAT






KEMAMAN, 31 Jan (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam menjadikan al-Quran sebagai ‘sahabat’ dan tidak mengabaikannya.

Baginda bertitah amat rugi mereka yang mengabaikan al-Quran dengan tidak membaca, memahami dan beramal dengan kitab suci itu.

“Kelebihan al-Quran mengatasi kalam makhluk. Setiap huruf dibaca akan diberi kebaikan dan digandakan kepada sepuluh.

“Lebih daripada itu, anugerah Allah merentasi ke alam akhirat kerana ahli al-Quran diangkat darjat di akhir setiap ayat yang dibaca," titah baginda pada Majlis Perasmian Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 1440 Hijrah/Tahun 2019 di sini, malam ini.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke majlis itu. Turut hadir ialah Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sultan Mizan turut bertitah, semenjak majlis itu dilangsungkan dalam tempoh 62 tahun lalu, hasil daripada penganjuran itu menjadi penggerak kepada usaha-usaha pembelajaran al-Quran secara lebih luas oleh pelbagai pihak sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam.

“Beta percaya bahawa kedatangan rakyat ke majlis ini bukan sekadar untuk mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci yang diperdengarkan qari dan qariah tetapi juga untuk memahami dan mengamal serta menghayati pengajaran daripada ayat-ayat itu.

“Pada kesempatan ini, Beta juga berharap supaya diusahakan mengenai periwayatan kisah tokoh-tokoh tarannum dan penglibatan qari dan qariah Terengganu dalam majlis tilawah Al-Quran sejak dahulu sehingga kejayaan mereka terpahat dalam catatan sejarah buat tatapan generasi kini dan akan datang,” titah baginda

Johan qari Majlis Tilawah peringkat Terengganu disandang Abdul Hadi Che Abd Halim dari Kuala Terengganu, manakala johan qariah dimenangi Nor Hidayah Abd Rahman dari daerah Setiu.

Johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000, piala iringan dan pusingan serta sijil penghargaan.



Saturday, August 4, 2018

SULTAN MIZAN RASMI KTS HOSPITAL

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos (Bernama) -- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenaan berangkat merasmikan Kuala Terengganu Specialist (KTS) Hospital yang beroperasi di bangunan baharu di Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk di sini hari ini.

Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, anakanda-anakanda baginda berdua, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua'az dan Tengku Fatimatuz Zahra'.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Datuk Mohamat Muda serta barisan kepimpinan negeri.

KTS adalah satu daripada empat buah hospital pakar kepunyaan Kumpulan Medic Iman (KMI) iaitu anak syarikat TDM Berhad (TDM), sebuah syarikat milik kerajaan Terengganu.

Hospital lapan tingkat yang mula beroperasi 28 Jan itu mempunyai 130 buah katil, lima dewan bedah, satu unit rawatan rapi.

Perkhidmatan yang ditawarkan KTS meliputi disiplin utama perubatan seperti perubatan umum, Obstetrik dan Ginekologi, Ortopedik, Pediatrik, Dermatologi, Makmal, Farmasi, dan Pengimejan Diagnostik seperti X ray dan Mammogram.

Terdahulu, Sultan Mizan dalam titah perasmiannya berharap kewujudan KTS bukan sekadar menawarkan pilihan kepada rakyat negeri itu bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan tetapi menjadikan Terengganu sebagai hub pelancongan kesihatan khususnya bagi rakyat di negara ini.

"Dengan reka bentuk bangunan yang mengikut standard piawaian antarabangsa, KTS berupaya menjadikan Terengganu sebagai hub pelancongan kesihatan di Malaysia.

"Beta dimaklumkan bahawa TDM Berhad melalui Kumpulan Medic Iman menawarkan penjagaan kesihatan pada kos yang berpatutan, ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta di bawah TDM (termasuk KTS)," titah baginda.

Selain KTS di Kuala Terengganu, TDM Berhad mempunyai tiga lagi hospital iaitu Kuantan Medical Centre, (Pahang), Kelana Jaya Medical Centre (Selangor) dan Taman Desa Medical Centre (Lembah Klang).

-- BERNAMA

Sunday, July 22, 2018

TAMAN HERBA PASIR RAJA LAHIRKAN 32 ORANG PELADANG SATELIT HERBA

DUNGUN, 22 Julai (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Taman Herba Pasir Raja, sebuah projek Pembangunan Kluster Bersepadu Herba (HICD), di mukim Pasir Raja, di sini, hari ini.

Projek usahasama awam-swasta itu dimajukan Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC) dengan syarikat pengeluar produk suplimen kesihatan, Bioalpha.

Keberangkatan Sultan Mizan ke majlis diiringi anakanda Tengku Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Muhammad Mua'az Sultan Mizan Zainal Abidin, Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk A Rahman Yahya, Pengerusi Bioalpha Holdings Berhad Tan Sri Abdul Rahman Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Terdahulu Abdul Rahman dalam ucapannya berkata pembukaan HICD yang ditanam dengan 20 jenis tanaman herba di atas tanah seluas 406 hektar (1,004 ekar) sejak 2015 berjaya melahirkan 32 peladang satelit herba di mukim ini.

"Seluas 83 hektar (260 ekar) tanah setakat ini ditanam dengan 20 jenis tanaman herba termasuk Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Hempedu Bumi, Dukung Anak, Pecah Beling dan Mas Cotek."

"Menerusi projek ini peladang satelit berpeluang menjadi usahawan tani berjaya menerusi sistem bayar balik yang akan memberi pendapatan berpatutan sekaligus membangunkan ekonomi negeri ini," katanya.

Sunday, December 17, 2017

TERENGGANU SAMPAIKAN INSENTIF KEJAYAAN SUKAN SEA DAN PARA ASEAN


KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Kerajaan Terengganu menyampaikan insentif kejayaan Sukan Sea dan Para Asean 2017 berjumlah RM380,175 kepada 132 atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri.

Insentif disampaikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dalam satu majlis di sini malam ini.

Menerusi Insentif/Skim Hadiah Kemenangan (Shake), seramai 100 orang atlet bagi acara individu menerima wang tunai mengikut pingat yang dikutip iaitu emas (RM5,000), perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000).

Sultan Mizan yang memenangi pingat emas bagi acara kuda lasak (Endurance) pada temasya Sukan Sea 2017 lalu turut menerima insentif tersebut.

Manakala bagi atlet acara berpasukan mereka menerima wang tunai bagi penerima pingat emas (RM2,500), perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500).

Kerajaan Terengganu turut meraikan 100 atlet yang terpilih mewakili negara dalam kedua-dua temasya itu menerusi Insentif/Skim wakil negara (Swara) yang melayakkan mereka menerima RM500 tiap seorang.

Atlet berbasikal, Fatehah Mustapa merupakan penerima terbanyak bagi insentif bagi Sukan Sea 2017 iaitu sebanyak RM18,000 manakala Zuhairie Ahmad Tarmizi pula menerima RM18,500 atas kejayaannya dalam temasya sukan Para ASEAN 2017.

Pada majlis itu juga sebanyak tiga presiden persatuan sukan menerima RM5,000 setiap seorang yang menerima Anugerah Kepimpinan Persatuan Cemerlang.

Mereka ialah Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail; Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia, A.Razak Mat Amin; dan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Zainal Abidin Hussin.

-- BERNAMA

Saturday, December 31, 2016

SULTAN MIZAN RASMI VISIT BEAUTIFUL TERENGGANU 2017

KUALA TERENGGANU, 31 Dis (Bernama) -- Sultan Terngganu Sutan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pelancaran Visit Beautiful Terengganu 2017 sempena Tahun Melawat Terengganu 2017 (TMT 2017) di Duyong Marina Resort di sini, malam tadi.


Turut berangkat hadir ialah Sultanah Nur Zahirah.

Baginda berdua diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdl Rahman dan isteri Toh Puan Halina Zakaria.

Sempena perasmian itu, pertunjukan bunga api dilakukan di muara sungai Terengganu selain persembahan percikan air berwarna-warni. Sementara itu, Ahmad Razif berkata industri pelancongan Terengganu mempunyai potensi yang amat besar untuk dimajukan.

"Kejayaan industri ini boleh menjadi penampan kepada keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu selain turun naik harga minyak di pasaran global.

"Industri pelancongan adalah industri yang saling berkait. Sifatnya yang 'menjalin hubungan' antara sesama manusia dan antara manusia dengan alam, meletakkan industri ini sebagai industri yang menjanjikan banyak peluang jayadiri untuk rakyat," katanya semasa berucap pada majlis itu.

Menurutnya kerajaan negeri yakin penganjuran TMT 2017 bakal memberikan impak positif kepada kerajaan serta peniaga, pemandu teksi, pengusaha restoran dan pengusaha hotel di negeri ini.

-- BERNAMA

Tuesday, December 13, 2016

KOLEKSI PERIBADI SULTAN MIZAN DI MUZIUM DIRAJA

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Lebih 60 bahan dalam koleksi peribadi Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin buat julung kalinya dipamerkan di Muzium Diraja, Istana Negara Lama, di sini hingga 2 Mac tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kassim, berkata barangan yang ditampilkan termasuk pakaian, alat-alat kebesaran dan aksesori perhiasan diraja.

Beliau berkata koleksi dipamerkan itu telah diperkenankan baginda sendiri dan mula dibuka kepada umum pada Sabtu lepas (10 Dis).