KUALA TERENGGANU, 5 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi menampung kos baik pulih kesemua 152 rumah yang rosak akibat ribut dan angin kencang yang melanda Bandar Chukai, Kemaman malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata kerja baik pulih kerosakan semua rumah terlibat bermula hari ini.
"Semua mangsa ribut di Kemaman ini telah menghubungi Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing untuk memberikan butiran kerosakan yang mereka alami.
Insya-Allah bagi kerosakan kecil, ia akan siap hari ini namun bagi rumah yang mengalami kerosakan agak teruk mungkin mengambil masa sehingga dua hari untuk siap sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Ribut dan angin kencang yang berlaku kira-kira pukul 10.45 malam itu menyebabkan kerosakan 152 rumah kediaman, empat kedai dan dua kereta akibat pokok tumbang.
