Showing posts with label penyelamat. Show all posts
Showing posts with label penyelamat. Show all posts

Sunday, February 10, 2019

BUDI ABDUL BARI TIDAK TERBALAS

KUALA TERENGGANU, 10 Feb (Bernama) -- Kesungguhan dan kegigihan Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, menyelamat bukan sahaja bagaikan memberi 'nyawa baharu’ tetapi budi yang tidak akan terbalas selamanya.

Nordiana Alwani Jaafar, 33, seorang daripada mangsa kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan, di sini Jumaat lepas berkata arwah adalah orang pertama yang muncul untuk menyelamat.

Nordiana Alwani berkata beliau masih teringat-ingat bagaimana reaksi Allahyarham di dalam air yang bagaikan memberi semangat supaya menyelamatkan diri.

"Paling tidak dapat dilupakan tindakan pantas menyelamatkan anak saya yang berusia tiga tahun," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Selain beliau, ibu tirinya, Suryati Rosli, 37, adik ibu tirinya, Asmaa Rusly, 23, anaknya, Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin, 3, dan adiknya, Safawani Jaafar, 11, berada di dalam kenderaan tersebut dan tiga daripada mereka berjaya diselamatkan oleh Allahyarham.

Menceritakan kejadian tersebut, Nordiana Alwani berkata ketika itu apa yang difikirkannya hanyalah mati namun kehadiran Abdul Bari Asyraf menaikkan semangatnya dan perkara pertama yang dilakukan adalah menyerahkan anaknya yang berusia tiga tahun kepada arwah.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata sahaja kenderaan sudah tenggelam ke dasar.

"Selepas kereta terjunam ke dalam sungai, saya dan ibu tiri segera membuka tingkap di bahagian kiri dan kanan tempat duduk hadapan dan dalam masa sama nampak orang (Abdul Bari Asyraf) terjun ke sungai untuk membantu menyelamat,” katanya.

Katanya ketika kejadian itu, arwah dilihat kepenatan tetapi tetap gigih meskipun berulang kali terjun ke sungai terutama apabila melihat orang awam lain yang turut sama menyelamat sudah mengalami kekejangan otot.

Nordiana Alwani yang dibenarkan keluar dari hospital kira-kira 10 pagi tadi turut menemui keluarga arwah hingga menarik perhatian orang awam apabila dilihat menangis sambil memeluk keluarga terdekat arwah sambil mengucapkan permohonan maaf serta terima kasih berkali-kali.

Ibu Abdul Bari Asyraf, Masitah Awang, 60, yang turut ditemui berkata walaupun sedih kehilangan anak ketiga daripada lapan anaknya itu, beliau tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya anaknya ditemukan dan dapat dikebumikan.

Katanya, arwah yang masih bujang dan bekerja sebagai jurukimpal itu adalah seorang yang periang dan disenangi rakan dan taulan.

"Meskipun hanya mampu melihat jasadnya yang kaku, tetapi saya tetap bersyukur kerana anak saya ditemui. Kami telah berkampung di lokasi kejadian sejak malam Jumaat dan akan pulang sekejap ke rumah pada awal pagi untuk solat Subuh sahaja,” katanya.

Jenazah Abdul Bari Asyraf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah di sini kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Suasana pilu menyelubungi hampir 500 anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung yang hadir.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di masjid kampung sama selepas solat Zuhur.

-- BERNAMA

Saturday, February 9, 2019

ABDUL BARI MUNGKIN KEKEJANGAN



KUALA TERENGGANU, 9 Feb (Bernama) -- Lelaki yang dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan mangsa kenderaan pacuan empat roda yang menggelongsor ke dalam Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan semalam mungkin mengalami kekejangan sebelum hilang di sungai itu, kata polis.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Alauddin Abdul Majid berkata Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang sebelum itu memancing di kawasan rekreasi itu bersama beberapa rakan, difahamkan orang pertama terjun ke sungai bagi menyelamatkan empat orang dalam kenderaan terbabit daripada lemas.

“Mungkin dalam proses menyelamatkan empat orang itu, mangsa terlalu lama berada di dalam air menyebabkan dia kekejangan (dan tidak timbul selepas itu),” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azlimin Mat Noor.

Selain Abdul Bari Asyraf, empat orang awam lain turut berusaha menyelamatkan mangsa yang berada dalam kenderaan itu dalam kejadian kira-kira 9.30 malam.

Alauddin berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan diminta memagar keseluruhan kawasan itu bagi mempertingkat kawalan keselamatan dan memasang papan tanda amaran agar kejadian serupa tidak berulang kerana pada masa kini hanya sebahagian sahaja kawasan itu dipagar.

“Pengunjung juga dinasihatkan agar lebih prihatin dan berhati-hati dengan keselamatan masing-masing," katanya.

-- BERNAMA

Friday, February 8, 2019

PENYELAMAT DIKHUATIRI LEMAS

KUALA TERENGGANU, 8 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan lima penumpang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu di Pulau Warisan, di sini, kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Difahamkan, mangsa Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu sedang memancing bersama seorang rakannya sebelum sebuah Mitsubishi Storm yang diparkir di kawasan berhampiran tiba-tiba menggelongsor dan terjunam ke dalam sungai.

Difahamkan, selain Bari, dua lagi lelaki turut terlibat menyelamatkan penumpang kenderaan itu, namun hanya kedua-dua lelaki itu selamat naik ke darat. Lima penumpang dalam kenderaan itu juga turut selamat.

Menurut ibu mangsa, Masitah Awang, 60, anak lelakinya itu keluar dari rumah selepas waktu Asar untuk memancing bersama rakan baiknya.

"Bari memang suka memancing. Jika ada masa terluang dia akan keluar bersama memancing dengan kawan- kawannya di merata-rata tempat yang menjadi lubuk pancing.

Pagi tadi awal-awal lagi dia dah keluar memancing dan balik ke rumah untuk solat dan makan tengah hari sebelum keluar semula selepas Asar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Masitah lagi, beliau hanya mengetahui tentang kejadian malang itu selepas dimaklumkan oleh suaminya, Mohd Mustafa, 66 yang menerima panggilan daripada polis pada kira-kira pukul 10 malam.

Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu masih melakukan operasi SAR di sekitar lokasi kejadian ketika berita ditulis.

-- BERNAMA