Showing posts with label pelancongan. Show all posts
Showing posts with label pelancongan. Show all posts

Monday, November 19, 2018

TERENGGANU FOKUS PELANCONGAN EKO RIMBA



KUALA BERANG, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Terengganu merancang merancakkan lagi program pelancongan berasaskan eko rimba bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Terengganu akan menyalurkan peruntukan lebih besar untuk kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara taman tersebut bagi memastikan ia lebih tersusun serta terjaga.

Beliau berkata Terengganu mempunyai enam taman eko rimba yang menjadi fokus dan produk pelancongan utama negeri dikawal selia Jabatan Perhutanan Negeri, terdiri daripada Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu; Lata Tembakah dan Lata Belantan, Besut; Air Terjun Chemerong dan Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun; serta Air Terjun Menderu, Kertih.

"Saya dimaklumkan peruntukan diterima jabatan untuk mengurus dan menyelenggara setiap taman sekitar RM20,000 setahun dan ia agak kecil. Jadi saya meminta pihak jabatan kemukakan perancangan dan InsyaAllah kita akan tambah peruntukan pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Hutan Lipur Sekayu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Perhutanan Terengganu Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata produk pelancongan berasaskan eko rimba di negeri ini mempunyai prospek pelancongan yang cerah dan dibuktikan melalui peningkatan kehadiran pelancong di enam kawasan berkenaan.

"Jumlah kedatangan pengunjung di Hutan Lipur Sekayu dari Mac hingga Oktober tahun ini, ialah 40,000 orang berbanding 21,000 pengunjung bagi tempoh sama tahun lalu.

"Kita yakin dengan peningkatan promosi dan program pemuliharaan persekitaran seperti taman orkid dan herba di hutan lipur yang akan dilaksanakan nanti pasti meningkatkan lagi minat pelancong berkunjung ke sini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata pihaknya juga sedang menyiapkan Pelan Rancangan Pembangunan Hutan Lipur yang akan siap dan dibentangkan pada tahun hadapan.

Beliau berkata pelan itu nanti akan menyediakan rancangan pembangunan lebih menyeluruh, tersusun dan sistematik bagi melonjakkan pelancongan eko rimba.

-- BERNAMA

Wednesday, September 20, 2017

INDUSTRI PELANCONGAN BAKAL GANTI MINYAK DAN GAS

BANGKOK, 19 Sept (Bernama) -- Industri pelancongan bakal mengambil alih sektor minyak dan gas sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Terengganu dalam tempoh terdekat menerusi usaha transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negeri ketika ini pada tahap 10 dan 15 peratus dan akan ditingkatkan ke tahap 30 peratus dan seterusnya 50 peratus.

Ini selaras dengan usaha mengurangkan kebergantungan ekonomi negeri terhadap sektor minyak dan gas daripada 65 peratus pada tahun lepas kepada 40 peratus pada masa depan, berikutan harga minyak dunia yang merudum ke tahap antara US$40 hingga US$50 satu tong ketika ini daripada US$140 satu tong tidak lama dahulu.

Terengganu merupakan antara negeri pengeluar terbesar minyak dan gas negara dengan sumbangan sektor hidrokarbon itu kepada ekonomi negeri pantai timur itu mencecah 85 peratus beberapa tahun lepas.

"Alhamdulillah, tahun lepas kami berjaya kurangkan (sumbangan sektor minyak dan gas kepada ekonomi negeri) kepada 65 peratus dengan 35 peratus daripada hasil-hasil lain. Sekarang ini sasaran saya (mengurangkan sumbangan hasil minyak dan gas) kepada 40 peratus,"katanya.

Friday, April 28, 2017

GLC DAN SWASTA DIMINTA SEMARAKKAN SEKTOR PELANCONGAN

KUALA TERENGGANU, 28 April (Bernama) -- Kerajaan negeri meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta membantu menyemarakkan sektor pelancongan di Terengganu dengan menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang memaksimumkan penggunakan sumber sedia ada.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri mahu lebih banyak tumpuan dan promosi pelancongan terhadap kawasan sekitar pusat bandar selaras identiti Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Pesisir Air.

"Bermula dari Dataran Shahbandar, Pulau Warisan, Taman Tamadun Islam dan Pulau Duyung, saya mahu lebih banyak pencahayaan dibuat pada waktu malam dan boleh juga kaji kemungkinan menggunakan tenaga solar sebagai sumber alternatif untuk tujuan itu.

"Mana-mana syarikat atau GLC dialu-alukan menaja pencahayaan di lokasi strategik yang mereka gemari dan secara tidak langsung, itu juga satu promosi untuk syarikat dan perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Seni Duyung di sini hari ini.

Seramai 60 peniaga kecil terlibat dalam festival itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di mana keunikan festival tersebut ialah perniagaan dijalankan di atas jeti.

Selain itu, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin mempromosi dan memartabatkan seni warisan Terengganu sebagai daya tarikan pelancong ke negeri itu.

Menurutnya, usaha pemilik Galeri Seni Duyung sangat dihargai kerana penganjuran begitu banyak aktiviti sepanjang tiga hari memberi peluang dan banyak manfaat kepada rakyat terutama golongan usahawan dan penggiat seni tempatan.

"Sehubungan itu, saya mahu festival ini dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar datang ke sini melihat keunikan festival ini," katanya.

-- BERNAMA