Showing posts with label pau. Show all posts
Showing posts with label pau. Show all posts

Thursday, December 7, 2017

PERWAKILAN MENUNGGU KEMUNCULAN SHAMSUL DEBAT

KUALA LUMPUR: Perbahasan hari pertama di perhimpunan agung Umno  tidak menarik perhatian para perwakilan kerana pembahas tidak dapat memukau mereka dengan lawak jenaka. Mereka menunggu kemunculan wakil Negeri Sembilan, Shamsul Debat  yang dijangka muncul pada hari ini. Tahun lepas kemunculan Shamsul Debat menyelamatkan perbahasan yang hambar.

Anggota UMNO perlu menzahirkan semangat solidariti dengan mempersiapkan diri memiliki 'minda menang' bagi membantu dan menyokong kepimpinan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan mandat untuk menerajui kerajaan, kata wakil UMNO Perak.

Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata gendang perang akan dipalu bila-bila masa sahaja lagi, maka minda menang mesti mengukuh dalam sanubari setiap anggota bagi mendapatkan mandat besar kerana ia merupakan peperangan hidup mati bangsa Melayu.

"Jangan biarkan Presiden (Najib) berseorangan. Jangan hanya tengok kesusahan yang ditanggung pemimpin kita sahaja," katanya ketika menyokong perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau berkata Perak berpendapat tujuh minda menang menjadi prasyarat untuk berjaya dalam PRU14 iaitu kesetiaan dan pengorbanan terhadap perjuangan; jangan mudah berpuas hati dan sentiasa berfikir ke hadapan; mempunyai rasa kebersamaan; jangan menyorok perkara di bawah tikar; tetapkan siapa musuh; dan tetapkan sasaran kemenangan serta perlu menyelami masalah resah dan gelisah masyarakat.

"Kita mesti meneruskan keberadaan UMNO di tengah-tengah khalayak. UMNO yang telah terbukti sejak tujuh dekad mesti terus berada di tengah masyarakat. Perubahan politik, cabaran dan persekitaran menuntut agar kita menyantuni kehendak dan mendengar denyut nadi mereka agar UMNO bersifat inklusif," katanya.

Mohd Azhar turut menyokong cadangan sayap-sayap parti yang seia sekata supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, demi perpaduan parti.

"Presiden UMNO perlukan seorang jeneral perang mendampingi (beliau) bagi mengharungi PRU14. Sebagai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliaulah yang paling layak," katanya.

Terdahulu, wakil UMNO Pahang, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata amalan prinsip 'wala' dan kesetiaan ditekankan oleh presiden parti membolehkan UMNO mengatasi pelbagai rintangan dan dugaan meskipun sering kali cuba dijebak ke dalam kancah perpecahan dan berpuak-puak.

Mohamad Sahfri, yang juga Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), turut mencadangkan anggota UMNO termasuk Pemuda turun berhimpun menyatakan bantahan di Kedutaan Amerika Syarikat, esok bagi menyatakan solidariti terhadap soal Baitulmuqaddis di Palestin.

"Isu Baitulmuqaddis menjadi satu daripada perkara penting dalam dunia hari ini, maka Pemuda menyahut cabaran untuk kita beramai-ramai berhimpun dan nyatakan bantahan di hadapan Kedutaan Amerika mengenai tindakan mereka menjadikan Al-Quds sebagai ibu negara Israel," katanya semasa mencadang usul ucapan dasar presiden itu.

Ketua UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said pula meminta parti komponen BN ... Gerakan dan MCA ... bekerja lebih keras untuk bersama-sama UMNO bagi menumbangkan kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang.

"MCA dan Gerakan merupakan 'madu' terbaik UMNO. Sekarang ini bukan senang hendak cari madu yang baik, jadi kita perlu jaga madu kita.

"Kalau tidak jaga dengan baik, belum tentu kita boleh mencari madu lain yang sama baik dengan madu kita sekarang," katanya ketika membahas usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini, hari ini.

Ketua UMNO Marang A Latiff Awang berkata jentera UMNO untuk PRU14 harus disiapsiagakan serta mengambil peluang terhadap kepincangan pembangkang dan ikatan mereka yang bercelaru.

Beliau berkata UMNO juga perlu berubah daripada menggunakan cara lama bagi memastikan kemenangan dua pertiga majoriti BN dalam PRU14.

"Kalau kita masih dengan cara lama, kita hanya dengan orang kita sahaja, kita belum boleh menang. Kita kena menawan pengundi-pengundi daripada pelbagai latar belakang," katanya.



Sunday, November 27, 2016

PAU MEDAN TERBAIK UNTUK PERBETULKAN KEKALUTAN

KUALA TERENGGANU (Bernama) -- Perhimpunan Agung UMNO, yang diadakan saban tahun bukanlah sekadar acara tahunan, sebaliknya ia menjadi medan mencantum idea perjuangan parti dalam kalangan anggota keluarga besar UMNO di seluruh negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata perhimpunan yang bermula 29 Nov di Kuala Lumpur, memberi peluang kepada perwakilan untuk menyuntik semula semangat para anggota parti.

"Ia juga peluang untuk kita merapatkan barisan dan meningkatkan solidariti dalam satu keluarga besar UMNO. Ucapan dasar dan ucapan penggulungan presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) sentiasa dinanti-nantikan anggota parti dan juga seluruh rakyat.

"Inilah keunikan dan tarikan Perhimpunan Agung UMNO dari dahulu sampai sekarang," kata Menteri Besar Terengganu itu ketika dihubungi Bernama di sini.

Ahmad Razif berkata perhimpunan parti kali ini juga diharap bukan sahaja fokus pada perancangan menghadapi pilihan raya tetapi perlu merencana pelbagai agenda penyatuan dan merapatkan solidariti.

Beliau berkata perhimpunan parti itu juga menjadi medan terbaik untuk memperbetulkan kekalutan dan salah faham yang timbul ekoran pemecatan beberapa pemimpin utama dan sebilangan individu keluar parti.

"Tiada siapapun daripada kalangan ahli UMNO yang lebih besar daripada parti UMNO itu sendiri. Kita hormati pendirian bekas pemimpin UMNO yang telah memilih haluan berbeza.

"Anggota UMNO perlu terus melangkah ke hadapan. Kita akan berhadapan dengan mereka, sama seperti kita berhadapan dengan musuh-musuh politik kita yang lain," ujarnya.

Ahmad Razif berkata perbezaan pendapat yang wujud dalam kalangan anggota UMNO seharusnya tidak memecah-belahkan parti sehingga menggagalkan matlamat parti untuk kelangsungan politik Melayu.

"Perbezaan pendapat itu adalah satu rahmat. Ia berlaku dalam mana-mana organisasi. Saya tidak melihat sebarang masalah besar kerana saya percaya semua ahli dan pemimpin parti di peringkat negeri tahu pentingnya UMNO mengekalkan kemenangan dalam PRU14," katanya.

Ahmad Razif berkata UMNO harus dilihat membawa suara rakyat terbanyak, bukan sahaja suara orang Melayu dan Bumiputera tetapi juga suara seluruh rakyat Malaysia.

"Strategi pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional ialah dengan menyerang bertubi-tubi secara konsisten, kepada hanya satu sasaran iaitu UMNO. Sebarang kesilapan, yang mungkin ada, akan dieksploitasi habis-habisan," katanya.

Justeru, katanya anggota UMNO tidak boleh putus asa kerana mereka telah diuji zaman berzaman dan pernah mengharungi pelbagai cabaran getir termasuk krisis ekonomi.

"Saya percaya rakyat meletak harapan yang tinggi ke atas presiden parti yang sentiasa tenang dan fokus. UMNO akan berjaya harungi cabaran ini.

"Persidangan setiap tahun ini memberi ruang untuk kita perbaharui iltizam mendukung perjuangan parti dan menyatakan sokongan padu kita kepada presiden parti," katanya.

-- BERNAMA