Showing posts with label maidam. Show all posts
Showing posts with label maidam. Show all posts

Thursday, December 20, 2018

MAIDAM KUTIP RM136 JUTA ZAKAT



KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya memperolehi pungutan zakat kira-kira RM136 juta sehingga 19 Disember 2018 berbanding RM133 juta yang diperolehi sepanjang tahun lepas.

Yang Dipertua MAIDAM Datuk Osman Muda berkata, sasaran MAIDAM untuk memungut RM140 juta wang zakat sehingga akhir tahun dan hasrat itu mungkin dapat dicapai kerana masih ada lagi tempoh sebelum akhir tahun.

“Pungutan itu ada sedikit peningkatan berbanding tahun lepas sasaran kita untuk memperolehi RM140 juta akan dapat dicapai kerana ramai pembayar zakat akan menunaikanya di akhir tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pakaian seragam sekolah kepada 105 anak-anak yatim tingkatan 4 dan 5 Asrama Darul Akhyar Batu Rakit, Kuala Nerus di sini yang disumbangkan oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Sogo Malaysia.

Osman berkata, sumbangan zakat paling tinggi tahun ini diperoleh melalui zakat pendapatan sebanyak RM62 juta, diikuti zakat perniagaan (RM38 juta) dan zakat wang simpanan (RM22 juta).

Katanya, lain-lain zakat yang diperoleh melalui zakat harta sebanyak RM5.7 juta, zakat emas dan perak (RM681,000) zakat tanaman (RM352,000) dan zakat ternakan (RM105,000).

Beliau berkata, agihan wang zakat pula yang paling tinggi kepada asnaf fisabilillah pendidikan dan golongan miskin tegar.

“Perbelanjaan kita agak besar dan kita terpaksa berusaha menambah lagi pendapatan untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan itu,” katanya.

Sementara itu Osman berkata, MAIDAM telah memperuntukan kira-kira RM200,000 untuk membaik pulih asrama berkenaan bagi memberi keselesaan kepada penghuninya.

Katanya dengan peruntukan itu ia dapat menambah baik peralatan di asrama berkenaan seperti membekal tilam baru, membaiki bilek air dan sebagainya bagi keselesaan pelajar.

Asrama Daru Akhyar mampu menempatkan seramai 160 orang anak yatim pada satu-satu masa.

Friday, December 1, 2017

SULTAN TERENGGANU GESA MAIDAM GUNAKAN PELBAGAI PENDEKATAN DALAM ISU PERTIKAI ISLAM

KUALA TERENGGANU, 1 Dis (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menggesa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menggunakan pelbagai pendekatan dalam mendepani isu yang mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

Baginda turut bertitah agar Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu melakukan perkara yang sama bagi mengelak ia menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Mutakhir ini kedengaran suara-suara yang mencabar kesucian agama Islam dan mempertikaikan kedudukan Islam dalam perlembagaan negara kita.

"Perkara-perkara negatif seperti ini jika dibiarkan, akan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam serta menjejaskan keharmonian beragama di negara ini," titah baginda.

Sultan Mizan bertitah demikian pada sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringkat Negeri Terengganu di sini yang bertemakan 'Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara'.

Turut berangkat Sultanah Nur Zahirah dengan diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Ketika bertitah, Sultan Mizan mencadangkan setiap kali berbangkitnya isu-isu semasa yang boleh menimbulkan kecelaruan dalam beragama, kedua-dua agensi terbabit boleh memberi pencerahan ilmiah dengan mengadakan kuliah, seminar, kursus, khutbah, edaran risalah dan lain-lain cara yang difikirkan perlu.

"Beta juga menggesa agar diperbanyakkan majlis-majlis zikir yang dibenarkan syarak dalam negeri ini, semoga cahaya kebaikan zikrullah akan menghapuskan kegelapan kejahatan yang menyerang, di samping mendapat barakah dan reda daripada Allah," titah baginda.

Selain itu baginda turut berharap agar semua pihak dapat melipatgandakan kekuatan dan semangat mengamalkan suruhan agama bukan sahaja amalan wajib malahan juga amalan sunat dengan penuh yakin dan sempurna.

-- BERNAMA

Wednesday, July 19, 2017

MAIDAM BANTU PEMBEDAHAN ANAK MUALAF

KUALA TERENGGANU, 19 Julai (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hari ini menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada keluarga seorang mualaf bagi tujuan pembedahan anaknya, Safia Nadia Salim, sembilan bulan, yang menghidap penyakit saluran hempedu tersumbat (biliary atresia).


Sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail kepada Salim Salleh, 48, dan isterinya Maria Nguyen Abdullah, 28, dalam satu majlis ringkas di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata sumbangan itu diharap mampu meringankan beban kewangan keluarga tersebut untuk membolehkan anak mereka dibedah di Shanghai, China tidak lama lagi.

"Saya difahamkan banyak kes seperti dialami Safia Nadia yang berusia sembilan bulan ini boleh sembuh seperti sediakala selepas menjalani rawatan di China.

"Kita berharap pembedahan hati bayi istimewa ini, hasil daripada pendermaan organ (hati) oleh ibunya berjalan lancar dan kedua-duanya akan selamat, insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Salim ketika ditemui pemberita melahirkan kesyukurannya dengan sumbangan MAIDAM itu memandangkan pendapatannya sebagai jurubahasa sambilan di mahkamah adalah tidak menentu.

Beliau yang tinggal di Kampung Rhu Renggeh, Marang, berkata hanya mampu meraih pendapatan kira-kira RM1,000 setiap bulan sebagai jurubahasa sambilan di Mahkamah Kuala Terengganu.

"Saya juga mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 namun peningkatan kos sara hidup ketika ini menyebabkan jumlah itu masih tidak mencukupi bagi menampung kos perubatan Safia Nadia.

"Kos pembedahan anak saya adalah sebanyak RM350,000 dan ia adalah antara kadar termurah berbanding kos pembedahan di negara jiran.

"Alhamdulillah, berkat pertolongan banyak pihak, kami sekeluarga akhirnya dapat mengumpulkan wang tersebut dan berharap pembedahan ini akan berjalan lancar," katanya yang akan berlepas ke Shanghai pada Ahad ini.

Selain MAIDAM, Salim turut menerima bantuan kewangan daripada kedutaan Malaysia di China, Badan Bukan Kerajaan dan Tabung Darul Iman.

-- BERNAMA

Thursday, October 6, 2016

MAIDAM SELESAIKAN WANG ZAKAT DALAM SATU HARI SAHAJA

KUALA TERENGGANU, 6 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kini mampu menyelesaikan masalah pengagihan wang zakat dalam satu hari sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata ia susulan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada bagi memudahkan bayaran kepada mereka yang berkelayakan, dan tuduhan berlaku kelewatan apabila syarat dipenuhi, adalah tidak benar sama sekali.

"Saya terima banyak rungutan daripada golongan asnaf yang mengadu agak sukar untuk memperoleh bantuan wang zakat daripada MAIDAM. Jadi MAIDAM telah selesaikan masalah ini dalam masa satu hari," katanya.