Showing posts with label lpt3. Show all posts
Showing posts with label lpt3. Show all posts

Wednesday, April 17, 2019

LPT3 TIDAK AKAN GUNA WANG TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 17 April (Bernama) -- Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) di Terengganu tidak akan menggunakan wang kerajaan negeri, sebagaimana yang berlaku sewaktu pembinaan LPT2 dahulu.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pembinaan LPT3 akan melibatkan kerajaan pusat seperti mana lazimnya pembinaan lebuh raya di negeri-negeri lain.

"LPT3 ini wajar diteruskan, malah saya sendiri ada sebut perkara ini kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bermesyuarat dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) satu ketika dahulu.

"LPT3 akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosio ekonomi di kawasan sekitar laluan lebuh raya tersebut. Namun, kita tidak akan menggunakan kaedah sama pembinaannya seperti LPT2 dahulu (menggunakan wang negeri),” katanya di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata ini kerana masih ada baki hutang LPT2 yang belum diselesaikan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri dengan jumlah kira-kira RM1.3 bilion lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya, Baru Bian bahawa tempoh masa pembinaan LPT3 hanya akan diketahui selepas beberapa perkara diputuskan, termasuk berkaitan model pelaksanaan dan peruntukan kewangan.

Cadangan jajaran LPT3 yang dipilih ialah dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu hingga ke Pengkalan Kubor, Kelantan sepanjang 147 km yang membabitkan tiga daerah di Terengganu dan lima daerah di Kelantan.

Difahamkan, LPT2 dibina menggunakan wang kerajaan Terengganu RM1.85 bilion di mana sehingga kini bayaran yang telah diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan untuk lebuh raya itu adalah sebanyak RM418.5 juta.

Terdahulu, Ahmad Samsuri menyampaikan Anugerah Kecemerlangan dan Cenderahati kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

-- BERNAMA

Tuesday, April 10, 2018

JAMINAN PAS CEPATKAN BINA LPT3 AMAT MELUCUKAN





KUALA TERENGGANU: PAS memberi jaminan bahawa Lebuhraya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) akan disegerakan jika berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata ini kerana lebuh raya tersebut telah lama dicadangkan.

"Apabila PAS diberikan kemenangan di peringkat negeri dan persekutuan, cadangan lebuh raya tersebut akan disegerakan agar rakyat segera mendapat manfaat.

"PAS memberi jaminan dengan izin Allah SWT lebuhraya Tepoh, Kuala Nerus ke Kelantan disiapkan dengan segera secara telus dan berhemah dalam perbelanjaan," katanya


LPT3 yang turut dimasukkan dalam manifesto BN merupakan projek lebuh raya yang sudah diwar-warkan seawal 2015 dan dijangka akan menghubungkan Tepoh, Kuala Nerus dengan negeri Kelantan.


Khairuddin yang juga ketua penerangan Dewan Ulama PAS berkata pihaknya juga memberi jaminan bahawa pelaksanaan lebuh raya tersebut akan dilaksanakan secara telus dan berhemah.

"Ia (LPT3) perkara yang sudah lama dicadangkan kerana menjadi keperluan rakyat.

"PAS memberi jaminan ia akan dilaksanakan secara telus dan dengan perbelanjaan berhemah bagi mengelakkan tragedi yang berlaku pada pembinaan LPT2 yang sepatutnya disiapkan pada 2010 tetapi tertangguh sehingga hanya mampu siap sepenuhnya hanya pada 2015.

"Kelewatan ini menyebabkan kos asal yang hanya RM1.7 bilion telah meningkat kepada hampir RM5 bilion," katanya.

Khairuddin berkata demikian bagi mengulas janji BN Terengganu untuk membina lebuhraya Pantai Timur fasa 3 (LPT3) sekiranya kekal menang PRU14 akan datang.

Datuk Seri Najib Razak pada 8 April lalu mengumumkan sekali lagi berhubung projek itu dalam pelancaran manifesto BN untuk PRU14 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pada PRU13 lepas, BN berjaya memenangi 17 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu.

Sementara PAS menang 14 dan PKR menang 1 kerusi DUN di Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon adalah pada Sabtu, 28 April manakala pembuangan undi pada Rabu, 9 Mei.

Ulasan saya, lucu membaca kenyataan Dr Khairuddin memandangkan jika PAS menang di Terengganu, kerajaan negeri ada duit ke nak buat lebuhraya yang bernilai bilion ringgit. Takkan beliau lupa ketika PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999-2004, PAS pernah rancang nak buat lebuhraya tetapi tidak ada funder yang berani beri pinjaman kepada kerajaan PAS.

Masa PAS buat pengumuman itu, rakyat kagum dengan kerajaan Terengganu yang mahu bina lebuhraya baru yang laluannya ke arah hulu sedikit yang mana pemimpin PAS lebih minat menyapu kawasan balak dan bukannya nak buat lebuhraya.