Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Sunday, February 18, 2018

CIKGU KAMAL SHAH DALAM KENANGAN


Semalam jam 7.36 pagi saya menerima berita kematian dua pupu saya Cikgu Mohd Kamal Mohd Shah, 57 tahun, dari adiknya yang bekerja di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Radzi. Sepatutnya saya bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 8 pagi tapi saya tangguhkannya kerana arwah amat rapat dengan saya sejak kecil.

Saya ajak  kawan Radzi, Mus Kamal, ahli grup whatsapp Sahabat Serumpun  pergi ke rumah arwah di Gong Pak Jin, Kuala Nerus. Arwah pun ahli Sahabat Serumpun yang mana saya adminnya. Saya sempat melihat wajah arwah Kamal buat kali terakhir. Tapi saya tak dapat menunggu majlis pengkebumiannya selepas solat zohor kerana saya mahu terus balik ke Kuala Lumpur.

Arwah rapat dengan saya kerana kami berkawan sejak kecil. Apatah lagi ketika itu saya duduk di Banggol Peradong manakala Kamal duduk di Paloh, Kuala Terengganu yang menyebabkan saya selalu pergi ke rumahnya.

Apabila bapa sepupu Cikgu Mohd Shah ditukarkan ke Dungun, saya turut pergi ke Dungun menemui Cikgu Kamal yang melayani saya. Beza umur kami dua tahun. Tak sangka pula arwah yang pergi terlebih dahulu daripada saya.

Kami amat rapat dari kecil. Pada tahun 1976 ketika menunggu keputusan MCE, pernah kami naik bas dari Paloh ke Mengabang Telipot rumah nenek arwah. Dalam bas kami berbual panjang dan kami tak sedar bas akhir itu terus balik ke Kuala Terengganu tanpa berhenti di Mengabang Telipot. Kami turun semula di Paloh sambil ketawa.

Banyak kenangan manis saya bersama arwah. Beliau adalah guru sains dan matematik di Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun. Bila ke Dungun saya tidur  di rumah bujangnya di kuarters guru. Wartawan terkenal Ayob Mamat pernah belajar di sekolah tersebut dan Cikgu Kamal pernah mengajarnya.

Pada tahun 1990an beliau minta tolong saya adjust nak sambung belajar di UMS Kota Kinabalu. Saya temui Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Aziz Shamsuddin melalui Datuk Zaharin Mohd Yassin maka arwah dan isteri Cikgu Zawiah dapat belajar di UMS sehingga dapat Master dalam bidang Teknologi Maklumat (IT). Lama juga arwah dan keluarga duduk di Kota Kinabalu.

Selepas mengajar di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, arwah tukar kariernya bekerja di Yayasan Terengganu sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam. Masa itu Datin Haslina isteri bekas pegawai kanan SPRM, Datuk Bahari mohon anaknya masuk Sekolah Imtiaz. Saya minta arwah uruskan sehingga anak Datin Haslina berjaya belajar di Imtiaz Kemaman.

Tiga tahun lepas arwah menyuarakan kepada saya sudah jemu bekerja di Yayasan Terengganu. Saya dengan arwah Abdullah Farmasi dalam proses buka kilang cat di Bangi sedang menunggu funder Azlan yang sedang menunggu komisennya dari FELDA. Saya senaraikan arwah sebagai bakal CEO kilang cat Eptex.

Tapi manusia cuma merancang, Allah yang menentukan. Azlan sudah bersedia kongsi bisnes tersebut dengan Abdullah tiba tiba Abdullah  sebagai pencipta formula cat itu meninggal. Impian arwah Kamal untuk jadi CEO kilang tersebut terbantut.

Sabtu lepas kami merancang untuk pergi ke Pasir Akar, Besut majlis perkahwinan anak saudara Datuk Seri Rahim Husin tapi arwah Kamal kata dia sesak nafas maka kami tak jadi pergi ke Besut. Emak isteri arwah Cikgu Zawiah  iaitu Che Da Aishah berjiran dengan emak Datuk Seri Rahim.

Pada malam tersebut arwah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan arwah meninggal pada pagi semalam tepat jam 6.45 pagi. Kali terakhir saya menemui arwah di rumahnya di Gong Pak Jin pada petang 8 Februari lalu. Kebetulan saya ada miting di Kuala Terengganu. Arwah baru keluar dari Hospital kerana diserang jantung buat kali kedua.

Arwah baru menerima cucu kedua bulan lepas dan dua orang cucunya tak sempat mengenali datuknya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

Thursday, December 28, 2017

USTAZ ZUL DALAM KENANGAN

KEMAMAN: Dua hari lepas kita dikejutkan dengan berita kematian ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman, Ustaz Zulkipli Sulong, 46 tahun. Tak dengar berita arwah sakit tiba tiba pagi Rabu lalu kita terkejut mendengar berita kematiannya. Mungkin kematiannya berkait dengan sakit jantung.

Yusof Jaafar selalu merungut Ustaz Zul tidak baca grup whatsapp Cakna Sokmo yang mana Yusof adalah adminnya. Pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Haji Mustafa Abdul Rahman yang berada di luar negara atas urusan rasmi terkejut mendengar berita kematian sahabat karibnya itu kerana 10 minit sebelum meninggal arwah sempat whatsapp kepada Datuk Haji Pa.

Ustaz Zul adalah anak kelahiran Seberang Tayur Hilir. Ayahnya Pak Sulong adalah bekas ketua kampung dan bekas ketua Umno cawangan. Ustaz Zul lulusan universiti di Jordan pernah mengajar di Sarawak sebelum ditukarkan ke sebuah sekolah di Seri Bandi, Kemaman.

Pada 2004, beliau mula berjinak dalam politik apabila memenangi jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman. Selepas itu beliau memenangi jawatan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman pada 2009 dan 2013.

Menjelang PRU 2013, namanya disebut sebut sebagai calon BN bagi DUN Air Putih tetapi beliau tak ada rezeki jadi calon apabila Wan Hakim Wan Mokhtar dikekalkan sebagai calon BN. Sekali lagi menjelang PRU 2018, arwah yang juga Timbalan Pengerusi Penyelaras DUN Air Putih turut disebut sebut sebagai calon Air Putih kerana kononnya Wan Hakim mahu bertanding di kerusi parlimen pula.

Setiap kali ada majlis dalam DUN Air Putih, Wan Hakim membawa tiga orang bakal calon iaitu Ustaz Zul, Norzilam Mohamad dan Dr Zaki. Tetapi sayangnya umur Ustaz Zul tidak panjang.Cita citanya untuk jadi wakil rakyat Air Putih tidak kesampaian. Allah lebih menyayanginya.

Selain mengajar agama Islam, beliau juga seorang kontraktor bersih kawasan sekolah. Suatu hari beliau whatsapp saya minta tolong saya whatsapp Menteri Pelajaran, Datuk Seri Mahdzir Khalid merungut ramai kontraktor di Kemaman sudah tiga bulan tidak dapat bayaran.

Maka saya penuhi permintaannya whatsapp kepada Mahdzir. Esoknya dia call saya beritahu Mahdzir arahkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk buat bayaran kepada semua kontraktor untuk satu bulan dahulu. Sebagai ahli jawatankuasa Umno Bahagian kemaman yang pernah menang G7 beliau ucap terima kasih kepada Mahdzir yang perihatin dengan nasib kontraktor Bumiputera lebih lebih lagi Mahdzir mahu bertanding jawatan Naib Presiden Umno.

Banyak yang boleh saya tulis tentang Ustaz Zul tetapi biarlah ia menjadi rahsia antara kami berdua. Yang peliknya tiga orang bakal calon sudah dijemput pulang iaitu Wan Asri bakal calon DUN Chukai, Haji Yahya Mohamad bakal calon DUN Kijal dan Ustaz Zul bakal calon Air Putih. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Alfatihah buat Ustaz Zul.

Saturday, November 25, 2017

KHALID AWANG DALAM KENANGAN

KEMAMAN: Dua hari lepas sahabat baik saya, Khalid Awang, bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman  call saya tanya bila saya nak balik ke Kemaman. Saya jawab belum pasti. Sepatutnya pagi semalam saya balik ke Kemaman tapi tak jadi apabila saya last minute ada temujanji dengan Presiden MyPPP, Tan Sri Kayveas pada petang semalam.

Kalau Kayveas tak jadi jumpa saya semalam, sempat saya temui Khalid Awang pagi ini. Biasanya kami selalu minum bersama dengan bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Kemaman (1995-1998) Yusof Jaafar dan Che Wan Zamri Che Wan Sulaiman.

Pagi tadi Che Wan Zamri call Khalid ajak minum di Chukai. Biasanya Che Wan Zamri ambilnya di rumahnya di Pantai Kijal dan bawanya ke Chukai. Tapi pagi ini Khalid kata dia nak bawa sendiri keretanya  ke Chukai.

Saya difahamkan dalam perjalanan balik ke Kijal bersama isterinya tiba tiba beliau diserang sakit jantung ketika sedang memandu kereta dan kereta terbabas ke tepi jalan di Chukai Utama. Beliau disahkan meninggal dunia di dalam kereta tersebut.

Begitulah perjalanan akhir sahabat baik saya, Khalid Awang yang saya kenali pada tahun 1995 kira kira 22 tahun lalu ketika sama sama bertanding ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman pada tahun tersebut.

Khalid yang juga ketua pemuda Umno Cawangan Padang Kemunting bawa nama saya kepada para perwakilan Kijal. Saya menang dalam pertandingan tersebut menduduki tempat ketujuh dengan undi yang sama banyak (72 undi) dengan Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (kini Datuk). Arwah tak silap saya dapat undi kelima tertinggi.

Sejak itu kami berkawan. Ketika kami ke Switzerland  pada tahun 1997, saya sempat bergambar dengan arwah, Haji Mustafa Abdul Rahman (kini Datuk), Haji Azmi Karim dan Suhaimi Hassan. Minggu lepas saya temui gambar itu dalam handphone saya yang baru diformat semula.


 Setiap kali saya balik ke Kemaman saya akan berkunjung ke rumahnya di Pondok Limau atau di Pantai Kijal. Dia rajin call saya sejak akhir akhir ini mengenang kembali perjuangan kami dalam pemuda dari tahun 1995 hingga 1998.

Malah jika beliau datang ke Kuala Lumpur saya pergi temuinya di hotel beliau menginap. Paling lucu lima bulan lepas kami ingin makan ikan singgang di Medan Tuanku dan kami naik monorel dari stesen Titiwangsa ke stesen Medan Tuanku. Saya sudah masuk ke dalam monorel tetapi arwah bersama Che Wan Zamri tertinggal di belakang apabila monorel terus bergerak. Maka saya terpaksa turun semula di stesen Chow Kit dan patah balik ke stesen Titiwangsa untuk mengambil mereka berdua kerana ketika itu handphone saya sudah kehabisan bateri.

Khalid bukan tokoh besar dalam politik Kemaman tetapi percakapan beliau amat ditakuti oleh ramai pemimpin Bahagian kerana beliau suka cakap berterus terang. Sebab itu beliau kurang disenangi oleh pemimpin Bahagian. Malah beliau pernah menyuruh saya menulis buku "Penyu Menangis Di Teluk Kalung" yang tidak sempat diterbitkan.  Hari ini beliau sudah meninggalkan kita semua. Saya kehilangan seorang sahabat yang baik. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Alfatihah buat Khalid Awang.

Wednesday, October 25, 2017

CIKGU GHAZALI MOHD NOR DALAM KENANGAN

DUNGUN: Pagi semalam jam 7.16 pagi saya terima panggilan telefon dari abang dua pupu, Azik Mohd Nor yang mengatakan adiknya Cikgu Ghazali Mohd Nor telah meninggal dunia di rumahnya di Kubang Miang, Pak Sabah, Dungun.

Arwah yang berusia 64 tahun adalah Pengerusi Pekida Dungun dan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Serai. Beliau yang rapat dengan saya sejak kecil adalah cucu Cikgu Haji Yusuf Kemasik yang mewarisi ilmu persilatan dari datuknya Cikgu Haji Yusuf yang terkenal pada tahun 1970an. Cikgu Haji Yusuf meninggal di Kemasik pada tahun 1974.

Arwah Abang Li bukan sahaja mewarisi ilmu persilatan dari Cikgu Haji Yusuf malah mewarisi ilmu berubat orang sakit dari jarak jauh.

Ketika saya bekerja dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu di Kuala Terengganu dari tahun 1997 hingga 2000 arwah Cikgu Ghazali selalu singgah di pejabat saya. Dah tiga tahun kami tak berjumpa. Setiap kali pergi ke rumahnya di Kubang Miang tak pernah arwah ada di rumah.

Kebetulan ketika panggilan telefon diterima pagi semalam saya dalam perjalanan dari Semenyih ke Kuala Berang menguruskan jualan tanah di Kuala Embong kepada menantu saya. Bila selesai urusan di Pejabat Tanah Hulu Terengganu pada jam 3 petang, kami tiga beradik dengan menantu bergegas ke rumah arwah di Dungun.

Kami sampai ketika jenazahnya sedang dicium oleh anak cucunya. Saya sempat melihat wajah arwah Abang Li buat kali terakhir. Beliau yang meninggal pada jam 6 pagi semalam dalam tidur lambat dikebumikan selepas asar kerana menunggu anaknya yang duduk di Pulau Pinang sampai.

Jenazahnya dibawa ke masjid Pak Sabah dan ia disolatkan selepas solat asar berjemaah dan dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Buaya, Kuala Dungun. Menjelang PRU 1999, beliau turut melobi jadi calon BN bagi DUN Bukit Besi kerana beliau banyak mengajar dalam DUN tersebut dan menjadi guru besar Sekolah Kebangsaan Kampung Dendang dalam DUN tersebut. Tetapi beliau tiada rezeki jadi YB sebaliknya beliau dikenali sebagai Pengerusi Pekida Daerah Dungun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah buat arwah Abang Li.

Thursday, October 5, 2017

HAJI YAHYA MOHAMAD DALAM KENANGAN

KEMAMAN: Pada jam 11.27 pagi Khamis saya menerima whatsapp dari Tengku Azman Tengku Hashim yang mengatakan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman, Haji Yahya Mohamad, 61, baru saja meninggal dunia di Hospital KPJ Kuantan.

Saya terus buat keputusan untuk balik ke Kemaman kerana arwah adalah kawan baik saya. Saya terpaksa ponteng menghadiri miting dengan KK petang ini di Amoda 88, Loke Yew Kuala Lumpur. Jam 2 petang baru saya bertolak ke Chukai.

Saya sampai di Jabur Kubur pada pukul 6.45 petang. Jenazahnya sedang disolatkan di surau tepi kubur. Saya sempat mengusung kerandanya ke kubur di tengah tanah perkuburan itu. Ramai kawan kawan beliau yang hadir termasuk Tuan Kecil Tuan Tengah, Haji Yahya Mamat, Talaha, Man Cincin, Major (B) Mohamad Awang, Sarjan Mat, Tengku Azman Tengku Hashim, Aziz Mydin, Haji Azmi Karim dan Ir Azmi.

Saya mengenali arwah ketika aktif dalam politik pada tahun 1995. Ketika itu beliau dilantik Ketua Penerangan Umno Bahagian Kemaman manakala saya dilantik Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Kemaman.

Sejak itu kami berkawan. Setiap kali arwah datang ke KL arwah cari saya. Setiap kali saya balik ke Kemaman saya cari arwah minum bersamanya dan bercakap politik dengannya.

Beliau disebut sebut sebagai bakal calon DUN Kijal jika Datuk Seri Ahmad Said tidak bertanding selain dari Cikgu Roshaili, Mohamad Fama  dan Kamaruddin Ali.

Setiap kali saya balik ke Kemaman saya minum dengannya. Kali terakhir saya minum dengannya di warung depan perpustakaan daerah pada hari Ahad lalu selama dua jam bersembang politik berdua. Tak nampak pun tanda tanda arwah mahu meninggal dunia.

Sebab itu saya terkejut apabila Tengku Azman whatsapp saya arwah baru meninggal. Saya menangis kerana saya kehilangan seorang sahabat yang baik.


Beliau yang juga ahli lembaga pengarah Tati Safety Sdn Bhd bukan sahaja aktif dalam politik malah aktif dalam koperasi sebagai Bendahari Koperasi Pembangunan Kemaman (KPD) dan sebagai Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Daerahn Kemaman.  Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.