KOTA KINABALU, 31 Jan (Bernama) -- Kelab Sahabat Najib 87 (N87) Malaysia akan terus membantu menawan hati pengundi bagi memastikan kemenangan semua kerusi yang ditandingi Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).Bendahari N87 Malaysia Datuk Abdul Fattah Iskandar berkata semua anggota kelab itu di seluruh negara telah dimaklumkan untuk membantu BN memenangi PRU14.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan N87 Zon 2 (Penampang, Putatan dan Sepanggar) di sini malam tadi. Turut hadir, Pengerusi N87 Sabah Zahari Mohd Zinin dan Pengerusi N87 Sepanggar Datuk Jumat Idris yang juga Anggota Parlimen Sepanggar.
Abdul Fattah berkata kelab itu kini mempunyai kira-kira 3,000 anggota di seluruh negara yang kebanyakannya adalah orang lama dalam politik dan telah bersara.
Mengulas mengenai pelancaran N87 Zon 2, Abdul Fattah berkata ia adalah susulan pelancaran di Tawau dan Sandakan baru-baru ini.
"Setakat ini Sabah mempunyai kira-kira 300 orang anggota dan saya berharap semua anggota akan membantu BN memenangi PRU14 di kawasan masing-masing.
"Selepas ini kita akan melancarkan penubuhan kelab ini di beberapa lagi bahagian di Sabah," tambahnya.
Kelab berkenaan yang ditubuhkan pada 3 Mei 2016 bertujuan menghimpunkan semua bekas anggota Pergerakan Pemuda UMNO yang sezaman dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dari tahun 1980 hingga 1993.