Showing posts with label icerd. Show all posts
Showing posts with label icerd. Show all posts

Friday, November 23, 2018

PERHIMPUNAN 8 DISEMBER JADI MAJLIS KESYUKURAN





KUALA LUMPUR: Pertubuhan Perkasa mendesak supaya parti politik yang menyertai perhimpunan aman kesyukuran Icerd pada 8 Disember ini supaya tidak membawa lambang parti masing-masing.

Presidennya, Ibrahim Ali berkata, jika perkara itu berlaku maka niat asal menolak Icerd, tidak sampai.

“Kalau boleh, parti-parti politik yang turut terlibat dalam mempertahankan negara menyanggah atau tentang Icerd ini. Jangan besarkan parti berbanding isu dihadapi bersama.

“Kepada parti politik, selain NGO saya percaya perhimpunan tanpa bawa mana-mana lambang parti politik, saya rasa lebih baik kerana betul-betul perpaduan ummah di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

“Sebab kalau kita besarkan agenda politik, bendera politik dalam perhimpunan maka ia beri persepsi itu agenda politik masing-masing yang nak raih mileage terhadap satu-satu isu.

“Akhirnya matlamat tak tercapai jadi saya harap kita berhimpun atas nama umat Islam, Bumiputeta atau rakyat Malaysia,” kata Ibrahim Ali selepas perhimpunan membantah Icerd, hari ini.

Katanya lagi, jika perhimpunan kesyukuran itu mempunyai niat politik, maka Perkasa tidak akan turut serta kerana matlamat asal telah disalah gunakan.

Penganjur Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Aminuddin Yahaya berkata biarpun kerajaan sudah mengesahkan secara rasmi untuk tidak menerima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), himpunan pada 8 Disember ini tetap akan diteruskan.

Aminuddin berkata himpunan tersebut bukan lagi berbentuk bantahan sebaliknya ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Pihaknya yakin kehadiran orang ramai tetap tinggi kerana ia merupakan program bagi meraikan kemenangan rakyat menyekat Icerd.

Pada 17 November lalu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata parti Islam itu dan Umno akan mengadakan perhimpunan anti-Icerd tersebut.

Katanya, perhimpunan itu telah mendapat restu Jawatankuasa Pusat PAS.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang turut hadir majlis "Himpunan Perpaduan Ummah" itu mengesahkan Umno akan menyertai perhimpunan pada 8 Disember ini.

Friday, November 9, 2018

PEMIMPIN PH BERTELAGAH MENGENAI ICERD

KODIANG, 9 Nov (Bernama) -- Tiada keperluan untuk negara menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Ini kerana ia tidak bersesuaian dengan situasi 'unik’ di negara ini, kata Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah.

“...dan kalau kita faham bahawa tujuan ICERD ialah untuk memberi kesamarataan bagi masyarakat minoriti. Tapi dalam negara kita ini, kita mempunyai satu keadaan yang agak unik, (di mana) pihak agak terpinggir daripada arus pembangunan perdana adalah masyarakat majoriti, jadi tak sama dengan asas wujudnya ICERD itu.

"Jadi kita tidak perlulah nak meminjam satu dasar dari negara asing yang tidak mengambil kira persekitaran yang wujud dalam negara kita," katanya selepas menyerahkan bantuan kepada 110 pelajar sekitar parlimen Jerlun yang layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Sehubungan itu beliau berharap agar kerajaan menilai sedalam-dalamnya perkara itu bagi mengelak daripada melanggar perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan selama ini.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rundingan melibatkan semua kaum akan dilakukan sebelum meratifikasi ICERD dan mengakui ia bukan perkara mudah memandangkan Malaysia merupakan negara dengan penduduk berbilang kaum masing-masing dengan kepentingan tertentu.

-- BERNAMA