Showing posts with label datuk seri. Show all posts
Showing posts with label datuk seri. Show all posts

Monday, July 22, 2019

MB TERENGGANU BERGELAR DATUK SERI

KUALA TERENGGANU, 22 Julai (Bernama) -- Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kini bergelar Datuk Seri apabila Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu hari ini.

Beliau menerima Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Zainal Abidin (S.S.M.Z).

Selain Ahmad Samsuri, Sultan Mizan turut berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran - Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk kepada sembilan individu iaitu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahaya Ali; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azahar; Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Zainal Abidin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), Kamaru Al-Amin Ismail.

Selain itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mohd Azmi Mohamad Daham turut menerima gelaran yang sama, berserta empat lagi individu iaitu Mohd Shukri Azam; Mohd Rosli Janah; Che Mat Din Ismail dan See Kok Yem.

Istiadat pengurniaan gelaran dan bintang-bintang darjah kebesaran negeri itu berlangsung di Istana Syarqiyyah, di sini.

Hari ini, Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran kepada seramai 53 penerima termasuk tiga anakanda baginda iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Senarai penuh penerima akan dikeluarkan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

-- BERNAMA