Showing posts with label daeng menampuk. Show all posts
Showing posts with label daeng menampuk. Show all posts

Saturday, September 2, 2017

HILANGNYA SATU LAGI KETURUNAN DAENG MENAMPUK

KUALA TERENGGANU: Bekas Setiausaha Umno Bahagian Kuala Terengganu,  Abd Latif Mohamad yang meninggal dunia dua hari lepas adalah calon BN bagi DUN Wakaf Mempelam pada PRU 1986.

Pada tahun tersebut beliau tewas dengan majoriti 105 undi kepada calon PAS, Mustafa Ali. Mustafa mendapat 4,702 undi manakala Abd Latif mendapat 4,597 undi.

Pada PRU 1990 sekali lagi beliau terpilih sebagai calon BN di Wakaf Mempelam. Kali ini beliau kalah dengan majoriti 1,163 undi kepada muka baru calon PAS, Abdul Wahid Endut. Abdul Wahid mendapat 6,383 undi manakala Abd Latif mendapat 5,220 undi. Manakala calon Bebas, Wan Deraman Wan Nik mendapat 104 undi.

Setelah tiga kali PRU, 1995, 1995 dan 2004, anak saudara Cikgu Abd Latif, Othman Awang  terpilih sebagai calon BN di Wakaf Mempelam pada PRU 2008. Beliau kalah kepada Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,193 undi. Abdul Wahid mendapat 9,645 undi manakala Othman mendapat 7,452 undi.

Dengan meninggalnya Cikgu Abd Latif, maka hilang satu orang lagi keturunan Daeng Menampuk yang memahkotakan Sultan Terengganu yang berasal dari kerabat Sultan Johor. Daeng Menampuk berasal dari Makasar, Sulawesi adalah orang Bugis yang mana keturunannya yang membuka Kampung Paloh (sila baca http://todayterengganu.blogspot.my/2016/12/mencari-keturunan-daeng-menampuk.html bertarikh 19 Disember 2016)

Saudara mara Cikgu Abd Latif majoritinya berada di Kampung Paloh dan beliau bersama arwah Othman berasal dari Kampung Paloh Padang. Salah seorang dua pupu Cikgu Abd Latif ialah calon PAS, Md Azmi Lop Yusof  yang menang dalam PRU 1999.

Cikgu Abd Latif yang meninggal dunia pada hari kebangsaan, 31 Ogos lalu dikebumikan pada pagi hari raya Aidil Adha 1 September semalam yang mana Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut mengiringi jenazahnya ke kubur di Masjid Hiliran, Kuala Terengganu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Cikgu Abd Latif. Al Fatihah.


Monday, December 19, 2016

MENCARI KETURUNAN DAENG MENAMPUK




Daeng Menampuk adalah anak Raja Bugis yang dititahkan oleh Sultan Johor, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah untuk menabalkan adik Sultan, Tun Zainal Abidin sebagai Sultan Terengganu pada tahun 1708.

Dari keturunan Daeng Menampuk atau Raja Tua maka lahirlah Raja Haji Daud. Anak Raja Haji Daud ialah Raja Haji Muslimin yang membuka kampung Paloh dan Pulau Rusa. Beliau adalah orang Bugis yang membuka kedua-dua kampung tersebut. Manakala orang Bugis yang membuka Seberang Takir datang lebih kemudian dari Raja Haji Muslimin.

Anak Raja Muslimin, Raja Haji Muhammad menjadi pengiring Sultan Zainal Abidin III. Selepas Raja Haji Muhammad, beliau tidak membenarkan keturunannya menggunakan nama Raja. Tak tahu apa sebabnya.

Penulis sempat menemui keturunan Raja Haji Muhammad di Gong Tok Nasek, Cikgu Wahid Yusof , 75 tahun, bekas pensyarah di Maktab Perguruan Pasir Panjang.

Raja Haji Muhammad mempunyai 14 orang anak dari empat orang isteri iaitu Yusof,Abdullah, Chik, Mohd Zain, Yunus, Aishah, Nik, Awang, Embong,Muhamad Ali, Abdul Rahman, Muda, Wok dan Hassan.

Beberapa tokoh korporat dan politik berasal dari keturunan Daeng Menampuk ini. Antaranya Pengerusi Eksekutif Peremba, Tan Sri Razali Abdul Rahman; bekas ADUN Bandar, Azmi Lop Yusof; bekas calon-calon BN Wakaf Mempelam, Cikgu Latif Muda dan Othman Awang.

Tan Sri Razali anak Zawiah cucu Che Chik cicit Mohd Zain cuit Raja Haji Muhammad. Wahid pula adalah anak Che Endut cucu Che Wook cicit Mohd Zain cuit Raja Muhammad. Ini bermakna Wahid adalah dua pupu Tan Sri Razali.

Bekas calon BN Wakaf Mempelam, Cikgu Latif anak Salma cucu Che Ngah cicit Che Abdullah cuit Raja Haji Muhammad juga. Cikgu Latif tiga pupu Tan Sri Razali.

Othman Awang yang juga bekas calon BN Wakaf Mempelam adalah anak Che Enong cucu Che Abdullah cicit Raja Haji Muhammad. Othman Awang adalah bapa saudara Cikgu Latif.













Bekas ADUN Bandar, Azmi anak Lop Yusof cucu Abdul Rahman cicit Hassan cuit Raja Haji Muhammad.

Manakala Zabidi Saidi penulis blog ini anak Zainun cucu Zaharah cicit Che Nik cuit Raja Haji Muhammad. Che Nik menikah dengan Haji Yusof Kampung Kolam cicit Datuk Lela Perkasa, Abdul Rahman Ishak yang dikenali sebagai Hang Tuah Terengganu dan Pegawai Daerah Kemaman yang pertama.

Selepas Haji Yusof meninggal dunia dengan dua orang anak Zaharah dan Abu Bakar maka Che Nik menikah dengan Cikgu Haji Yusof Kemasik guru agama yang terkenal di Kemasik. Cikgu Haji Yusof juga berasal dari Paloh dan bau bau bacang dengan Che Nik. Beliau meninggal dunia pada tahun 1974 di Kemasik dan ribuan anak muridnya menghantar jenazahnya ke kubur di tepi masjid Kemasik yang menyebabkan jalan raya jem.

Zaharah yang duduk di Pasir Gajah mempunyai beberapa orang anak iaitu Zainun, Maznah, Zawiah dan Mohd.Fadzil manakala Abu Bakar yang duduk di Bukit Goh, Kuantan mempunyai beberapa orang anak iaitu Hasanah, Ahmad, Hamidah, Bakri, Haizam,Azran dan Haniza.

Manakala Mohd Radzi, jurutera Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Mohd Kamal, pegawai anak syarikat Yayasan Terengganu adalah anak Mohd Shah cucu Che Awang cicit Raja Haji Muhammad. Adik beradik lain Mohd Radzi ialah Nasir, Noriah, Norehan, Norizan, Shukri dan Suhaimi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin adalah anak Abdul Ghani cucu Che Abdullah cicit Che Yunus cuit Raja Haji Muhammad. Manakala Haji Omar bapa mertua ADUN Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, YB Yusof Abdul Ghani adalah anak Che Nik cucu Che Abdullah cicit Che Yunus cuit Raja Haji Muhammad.

Cikgu Wahid meminta semua saudara maranya terus mencari waris-waris dari keturunan Daeng Menampuk yang masih tak dapat dikesan yang berada di Losong, Manir, Teluk Pasu sebelah ibu Tokku Paloh dan lain-lain lagi.

Bagi keturunan Raja Tua atau Daeng Menampuk ini yang mahu mengetahui susur galur keturunan mereka boleh hubungi Cikgu Wahid di no telefon 09-6248088.


catatan gambar:-

1. Mohd Kamal Mohd Shah, Wahid Yusof, Zabidi Saidi dan Mohd Radzi Mohd Shah
2. Zabidi dengan bapa mertua ADUN Nenggiri, Haji Omar
3. Carta keturunan Daeng Menampuk@ Raja Tua
4. Pengerusi Peremba, Tan Sri Razali Abdul Rahman
5. Bekas ADUN Bandar, Azmi Lop Yusof
6, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Shariffuddin Abdul Ghani