Showing posts with label berita palsu. Show all posts
Showing posts with label berita palsu. Show all posts

Friday, March 2, 2018

PAKATAN HARAPAN GUNA BERITA PALSU UNTUK RAIH UNDI

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan didominasi DAP menggunakan berita palsu sebagai senjata politik mereka untuk meraih undi pada pilihan raya umum ke-14, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Rakyat Malaysia yang berfikiran waras akan ingat bagaimana Mahathir memulakan serangan berita palsu terhadap 1MDB, apabila menyatakan dengan salah bahawa 'RM42 bilion telah hilang', hanya untuk dibuktikan berulang kali bahawa kenyataan itu adalah salah," katanya menerusi catatan dalam blog sskeruak.blogspot.my hari ini.

Dalam keadaan mereka yang terdesak, Salleh berkata adalah menyedihkan untuk melihat bekas perdana menteri dan pembangkang kini tanpa berfikir panjang mengitar semula dakwaan tanpa bukti dan menyebarkan berita palsu secara tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pembangkang sekali lagi mengambil kesempatan berikutan dakwaan tanpa disahkan dan tanpa dibuktikan berhubung sebuah kapal mewah dinamakan 'The Equanimity.'

Antara lain, menteri itu berkata kapal itu dikatakan dimiliki Jho Low, dan pembeliannya dibuat menggunakan dana daripada 1MDB, iaitu satu lagi percubaan yang gagal untuk mengelirukan rakyat Malaysia dengan berita palsu.

"Hakikatnya adalah sumber tuduhan tu terkandung dalam tuntutan sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, yang sebenarnya telah ditangguhkan sejak Ogos 2017.

"Sehingga hari ini, selain dakwaan asas yang terkandung dalam tuntutan sivil itu, DoJ belum mengemukakan sebarang bukti kukuh bahawa Jho Low ialah pemilik sebenar kapal mewah itu ataupun ia dibeli menggunakan dana daripada 1MDB," katanya.

Tambahan pula, beliau berkata DoJ masih belum membuktikan mana-mana tuduhannya di mahkamah, walaupun hampir dua tahun berlalu sejak persidangan akhbarnya yang sensasi diadakan pada Julai 2016.

"Pembangkang gagal menyatakan bahawa dakwaan sumber dana dalam tuntutan sivil DoJ adalah daripada Aabar BVI, yang menurut DoJ, dikatakan mempunyai urusan perniagaan dengan Jho Low.

"Para pengarah Aabar BVI ialah Khadem Al Qubaisy dan Mohammed Al Badawy, bekas petugas kanan dalam kumpulan IPIC.

"1MDB berulang kali menjelaskan bahawa walaupun ia mempunyai urusan perniagaan dengan Aabar BVI, 1MDB tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan dengan Jho Low dan yang lebih penting, 1MDB bukanlah pihak dalam tuntutan sivil DoJ," kata Salleh.

-- BERNAMA

Friday, February 16, 2018

UNDANG UNDANG TANGANI BERITA PALSU UNTUK ELAK KETEGANGAN KAUM

BERA, 16 Feb (Bernama) -- Cadangan memperkenalkan undang-undang menangani berita palsu bukan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat tetapi bertujuan mengekang penyebaran fitnah melampau yang boleh menimbulkan ketegangan kaum, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah kata beliau, berbeza dengan dakwaan pembangkang, kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang lebih terbuka dan ini dibuktikan menerusi pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) .

"Kita tak pernah akan sekat kebebasan rakyat, yang banyak sekat kebebasan rakyat ini adalah zaman Tun Dr Mahathir Mohamad...beliau wujudkan pelbagai akta termasuk ISA.

"Tetapi zaman Datuk Seri Najib, beliau telah buktikan kerajaan liberal dari segi kebebasan sebab itu kita hapuskan ISA dan pinda AUKU untuk beri kebebasan kepada pelajar," katanya kepada pemberita hari ini.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera ditemui selepas menyampaikan angpau kepada 238 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan baru-baru ini bahawa cadangan memperkenalkan undang-undang tersebut bertujuan menyekat rakyat daripada mengkritik kerajaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata bekas perdana menteri itu juga tidak perlu gusar sekiranya beliau tidak membuat kenyataan palsu.

"Bagi saya senang sahaja, bagi orang yang tidak membuat cerita bohong atau berita palsu, mereka tidak perlu takut dengan undang-undang ini," katanya.

Ismail Sabri sebelum itu turut meluangkan masa mengunjungi kediaman Ketua MCA Bera Datuk Wai Chee Cheng bagi meraikan Tahun Baharu Cina.

-- BERNAMA