Showing posts with label arkitek. Show all posts
Showing posts with label arkitek. Show all posts

Thursday, July 19, 2018

RAJA KAMARUL BAHRIN GUNA PENGALAMAN ARKITEK UNTUK PERKASA SEKTOR PERUMAHAN

KUALA TERENGGANU, 19 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad akan menggunakan kepakaran dan pengalamannya sebagai arkitek selama ini untuk terus memperkasa sektor perumahan negara.

Beliau juga bercadang menggunakan teknologi tempatan dalam pembinaan rumah dengan lebih cepat sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada tukang kayu khususnya di negeri Pantai Timur.

"Menerusi kajian saya sebagai seorang arkitek, Terengganu dan Kelantan memang ada satu sistem pasang siap untuk pembinaan rumah kampung selama ini. Kita akan lihat kemungkinan guna teknologi tempatan itu jika sesuai.

"Secara tidak langsung boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan khususnya tukang kayu yang mempunyai kemahiran itu," katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir di tapak pembinaan Kuala Terengganu Bypass di sini, hari ini.

Katanya isu perumahan sering menjadi rungutan rakyat berikutan harganya di luar kemampuan mereka dan kementerian akan beri tumpuan terhadap pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dan kos sederhana.