Showing posts with label airasia. Show all posts
Showing posts with label airasia. Show all posts

Saturday, December 9, 2017

AIRASIA LANTIK NEELOFA JADI PENGARAH BEBAS

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- "Tidak perlu tua untuk menjadi seorang pengarah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika mengulas pelantikan selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Bhd, yang diumumkan semalam.

"Pengarah baharu kami, @neelofa adalah seorang yang muda, bijak, usahawan dan suka menaruh impian seperti kami juga.

"@airasia sekali lagi menerajui aspek kepelbagaian dan kali ini, bukan setakat wanita tetapi juga dari segi usia. Tidak perlu tua untuk bergelar seorang pengarah," katanya dalam catatan terbaharu di Instagram yang turut disertakan dengan paparan gambar beliau bersama Neelofa.

Sementara itu, Neelofa yang merupakan satu nama besar dan dikenali ramai, juga berkongsi kegembiraannya bersama 5.3 juta pengikut setia di Instagram.

"Seperti kata-kata @tonyfernandes malam ini, beranikan diri untuk menaruh impian dan usahakannya! Teruskan menaruh impian, lebihkan usaha, terokai dunia! Tidak sabar untuk terbang (lebih tinggi) bersama-sama AirAsia.

Wednesday, May 17, 2017

PENERBANGAN TERUS KT KE JB MULAI 22 JUN



KUALA TERENGGANU 17 Mei - AirAsia Berhad memperkenalkan laluan baharu menghubungkan Kuala Terengganu -Johor Bahru dengan penerbangan tiga kali seminggu bermula 22 Jun depan.


Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Aziz Bakar berkata, perkhidmatan terbaharu dengan kerjasama kerajaan negeri diharap dapat membantu meningkatkan kedatangan pelancongan dari arah Selatan Semenanjung dan merancakkan kegiatan perdagangan.

Katanya, Terengganu mencatatkan permintaan perjalanan amat tinggi sejak AirAsia memulakan penerbangan pada 2002 dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dengan kekerapan tujuh kali seminggu yang kini meningkatkan kepada 28 penerbangan.


"Pada tahun lalu, kami mencatatkan lebih 420,000 penumpang yang terbang masuk dan keluar dari Terengganu dan tahun ini, kami menyasarkan lebih 500,000 penumpang membabitkan laluan ini.

"Negeri ini merupakan destinasi yang terkenal dengan pantai yang cantik di samping makanan tempatan yang lazat, justeru, melalui kerjasama ini, kami akan berusaha mempromosikan Terengganu sebagai sebuah destinasi yang mesti dikunjungi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Air Asia dengan kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini petang ini.

Aziz mewakili AirAsia manakala kerajaan negeri oleh Setiausaha Kerajaan, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, dan upacara itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, penerbangan terus bagi laluan itu dilihat mampu membuka pelbagai peluang dan kemungkinan yang bermanfaat untuk rakyat.

Katanya, malah pemilihan Johor Bahru itu disifatkan tepat kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai turut mempunyai penerbangan terus ke Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Sibu, Miri, Jakarta dan Guangzhao.