Friday, May 31, 2019

TAKKAN 300,000 PENERIMA BSH TAK TAHU TULIS NOMBOR AKAUN?

PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) -- Bantuan Sarah Hidup (BSH) 2019 fasa kedua tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank kira-kira 300,000 penerima berikutan nombor akaun yang didaftarkan tidak tepat.

Kementerian Kewangan, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pembayaran untuk penerima berumur 59 tahun ke bawah adalah melalui akaun bank isteri, seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Namun demikian, sebilangan penerima BSH 2019 telah mendaftarkan nombor akaun bank suami dan ini mengagalkan pengkreditan akaun kerana nombor akaun tersebut bukan di bawah nama isteri," katanya.

Justeru, Kementerian Kewangan berkata bagi memastikan mereka menerima bayaran itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan mewujudkan akaun bank baharu secara automatik untuk penerima berkenaan.

"Pembayaran bagi golongan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun berkenaan mulai 14 Jun 2019," menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan berkata maklumat akaun bank baharu boleh diketahui melalui surat makluman yang akan dikeluarkan atau dengan melayari portal BSH https://bsh.hasil.gov.my.

Di samping itu,terdapat juga 300,000 penerima BSH 2019 dari kawasan pedalaman yang mempunyai akaun bank akan turut menerima pembayaran mulai 14 Jun, manakala mereka yang tiada akaun pula akan dibayar secara tunai mulai 1 Julai.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan hampir 3.6 juta penerima akan menerima bayaran fasa kedua dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.42 bilion.

-- BERNAMA

Thursday, May 30, 2019

REZEKI ANAK DAPAT TEMPAHAN 300 PASANG BAJU



KUALA TERENGGANU: LAZIMNYA setiap pelanggan hanya menempah dua hingga tiga pasang baju kurung seorang untuk menyambut Aidilfitri tetapi berbeza dengan seorang tukang jahit apabila menerima tempahan 30 pasang baju kurung daripada seorang pelanggannya.

Suhaida Mohd Saidi, 36, berkata, ia pengalaman pertama menerima tempahan 30 pasang baju kurung untuk seorang pemilik sepanjang 18 tahun bergelar tukang jahit.


“Jika difikirkan memang tidak masuk akal tetapi itu realiti yang berlaku bagi mereka yang berkemampuan dan sebagai tukang jahit, saya cuba memenuhi permintaan itu.


“Alhamdulillah, pelanggan itu membuat tempahan pada awal Ramadan dan hanya tinggal tujuh lagi pasang baju yang belum disiapkan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Pak Katak di sini, semalam.

Menurut Suhaida yang hamil anak keempat, tempahan yang diterimanya pada tahun ini turut meningkat kepada lebih 300 pasang baju berbanding hanya 200 pasang baju tahun lalu dengan tempahan terbaru diterima pada 22 Mei lalu.

“Peningkatan tempahan menyebabkan waktu rehat tidak menentu kerana saya mahu memastikan tempahan yang diterima siap pada masa yang dijanjikan.

“Biasanya saya mula menjahit pada jam 8 pagi hingga 12 tengah malam dan pada 10 akhir Ramadan ini, ia dilanjutkan sehingga jam 3 pagi bagi menyiapkan semua tempahan,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang masalah biarpun sedang hamil tujuh bulan, sekali gus memudahkan dia menyiapkan tempahan.

“Walaupun berbadan dua, saya tetap mengambil tempahan daripada pelanggan kerana tidak mahu menghampakan pelanggan selain turut membantu tukang jahit lain menyiapkan tempahan yang tidak mampu disiapkan sebelum Aidilfitri.

“Biasanya baju kurung biasa hanya mengambil masa lima jam untuk disiapkan tetapi baju kurung berfesyen pula boleh memakan masa satu hari untuk disiapkan,” katanya yang dibantu ibunya, Kamas Mat Zin, 61.

Wednesday, May 29, 2019

BALIK RAYA ELAK JEM GUNA HELIKOPTER



GUA MUSANG - Lebih 20 buah helikopter disediakan bagi perkhidmatan, 'Balik Raya Elak Jem' di musim perayaan Aidilfitri ini.

Menurut pemilik syarikat pengurusan, Hazmi Dimasyq Group, Hazmi Hanipa, 31, perkhidmatan di musim perayaan ini adalah kali pertama diperkenalkan.

Katanya, sejak tiga tahun lalu, syarikatnya menyediakan perkhidmatan heli dan jet peribadi yang kebiasaannya menjadi pilihan ahli perniagaan.

"Ini merupakan tahun pertama untuk perkhidmatan sempena hari raya. Setakat ini, kita mendapat 11 permintaan yang mana paling tinggi adalah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

"Penerbangan pertama bermula pada 3 Jun ini dan harga penerbangan ke Kelantan mencecah RM30,000 untuk sehala.

"Kita menyediakan lebih 20 buah helikopter untuk musim raya ini manakala penerbangan hari biasa melibatkan enam buah sahaja," katanya.

Menurut anak kelahiran Kampung Renok Baru, Gua Musang ini, dia tidak menyangka perkhidmatan ini mendapat permintaan tinggi terutamanya di kalangan ahli perniagaan.

"Untuk Kelantan sahaja, kita ada empat penerbangan setakat ini. Kita menyediakan dua jenis helikopter iaitu muatan tiga dan enam penumpang.

"Untuk penerbangan enam penumpang, harganya mencecah RM17,000 untuk satu jam dan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu memakan masa tiga jam.

"Alhamdulillah, melihat kepada permintaan, kita akan meneruskan perkhidmatan ini untuk musim-musim perayaan seterusnya," katanya.



TDM CATAT PENDAPATAN RM104.8 JUTA BERAKHIR 31 MAC 2019



KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Kumpulan TDM Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM104.8 juta bagi suku pertama 2019 berakhir 31 Mac, 2019.

Jumlah tersebut bagaimanapun susut 10 peratus daripada RM115.8 juta yang dicatatkan pada suku yang sama 2018 berikutan penyusutan pengeluaran dan hasil jualan kelapa sawit lebih rendah di bahagian perladangan.

Pengerusi, Datuk Raja Idris Raja Kamaruddin berkata bagaimanapun prestasi itu diimbangi oleh peningkatan pendapatan sektor penjagaan kesihatan sebanyak 14 peratus.

“Bahagian penjagaan kesihatan menunjukkan prestasi kukuh dengan peningkatan pendapatan daripada RM51.1 juta pada suku pertama tahun lalu kepada RM58.1 juta bagi tempoh sama tahun ini.

“Ia disumbangkan oleh pertambahan bilangan pesakit dan pesakit luar di empat hospital pakar kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memperkukuh pendapatan syarikat, Raja Idris berkata TDM akan mewujudkan pusat kecemerlangan di empat hospital selain memperkenal pelbagai perkhidmatan baharu.

Ia melibatkan perkhidmatan penjagaan mata di Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), perkhidmatan endovaskular di TMDC Hospital Kuala Lumpur dan angioplasti di Kuantan Medical Centre (KMC).

Bagi tanaman kelapa sawit pula, syarikat sedang mempertimbang untuk mengalih tumpuan kepada perniagaan hiliran bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor perladangan komoditi yang sering mengalami ketidaktentuan harga.

“Pusat penapisan mini berskala kecil antara prospek yang sedang dipertimbangkan dan kajian berkaitan perkara itu sedang berjalan.

“Selain menambah pendapatan syarikat, kita juga menyasarkan supaya pusat penapisan ini dapat membantu pengusaha kelapa sawit dalam skala kecil kerana ketidaktentuan harga komoditi paling menjejaskan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, May 28, 2019

TOL, RUMAH MAMPU MILIK, HARGA BARANG TUMPUAN TAHUN KEDUA KERAJAAN PH



MACHANG 26 Mei - Tol, rumah mampu milik dan harga barang keperluan merupakan tiga perkara utama yang perlu diberi tumpuan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun kedua pentadbirannya.



Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, pada tahun pertama, kerajaan PH dilihat banyak tertumpu kepada usaha menangani masalah kewangan negara serta memulihkan agensi-agensi utama.


Sehubungan itu kata beliau, kerajaan kini perlu memberi lebih banyak perhatian kepada usaha menangani kos sara hidup yang membelenggu rakyat

“Pertama kerajaan kena fokus kepada mengawal harga barang.

“Kedua (kerajaan) perlu bina lebih banyak rumah mampu milik dan ketiga, turunkan harga tol, “ katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Koperasi Keluarga Haji Zabir Kelantan Berhad (Koza) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKMM), Datuk Nordin Salleh.


Ditanya adakah PH patut mula fokus terhadap usaha mengotakan janji-janji yang pernah dibuat sebelum gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Daim menjawab ringkas: “Ini permulaan"

Saturday, May 25, 2019

TAK PAYAH JADI MENTERI KALAU RIMAS TENGOK KAWAN DATANG MINTA AP



PUTRAJAYA 23 Mei - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub memberitahu bahawa beliau berasa ‘cukup rimas’ dengan pihak-pihak tertentu termasuk ahli-ahli parti yang datang kepadanya untuk meminta pelbagai kemudahan seperti permit import (AP) dan tender-tender kementerian.



Beliau menegaskan, pihaknya bagaimanapun akan tetap meletakkan integriti di peringkat tertinggi selaras dengan falsafah kewujudan Pakatan Harapan (PH) iaitu dalam memastikan penjawat awam berada di tempat sewajarnya sambil dipandu oleh kepemimpinan politik yang tidak korup.


Ke arah itu kata beliau, pihaknya akan melihat prosedur paling tepat dan terbaik bagi memastikan semua AP dan tender-tender yang dikeluarkan menepati ciri-ciri indeks integriti sekali gus menjadikan kementerian contoh dalam soal ketelusan.

“Saya cukup rimas dengan kawan-kawan dan ahli-ahli parti yang datang meminta AP, meminta itu dan ini, tender-tender dalam kementerian. Itu ‘direngekkan’ ke dalam telinga menteri,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Salahuddin menambah, amalan terdahulu yang ingin dihapuskan kementerian adalah rent-seeker iaitu pihak yang tidak memiliki kilang dan industri tetapi mendapat AP.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kementerian mahu memberikan kemudahan seumpama itu kepada mereka yang benar-benar terlibat dalam industri.

“Itu yang kita akan buat. Saya dan timbalan menteri (Sim Tze Tzin), kita juga ada ahli parti dan penyokong. Kalau kita kena layan seperti ini, tiada bezalah kita dengan kerajaan dahulu. Jadi rakyat mahu melihat perubahan ini sebab itu kita akan pergi ke satu proses yang kita boleh beritahu rakyat tentang proses itu.

Tambahnya, ketika ini semua proses permohonan AP adalah melalui dalam talian, bermakna ianya terbuka kepada sesiapa sahaja yang layak tambahan pula permohonan itu akan disiasat oleh jawatankuasa teknikal.

“Ini kita buat dengan lebih telus supaya tidak berlaku ketirisan pada masa akan datang. Kita berusaha sebaik-baiknya,” katanya.


Sementara itu berhubung syarikat yang akan meneruskan matlamat syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC) sebelum ini, Salahuddin berpendapat, jika syarikat itu boleh memenuhi terma dan syarat ditetapkan maka tiada masalah bagi kementerian untuk menjadi pemudahcara.

“Hanya satu syarikat sahaja yang tampil dan ia syarikat tempatan. Saya rasa selepas diselesaikan semua pinjaman Kementerian Kewangan, kita harus melihat terma rujukan agar semuanya kembali ke landasan dan kementerian akan membantu mereka,” katanya.

Thursday, May 23, 2019

LIM KIT SIANG CABAR NAJIB BERDEBAT TETAPI AKHIRNYA DIA LARI



KUALA LUMPUR 23 Mei - Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengumumkan menarik diri daripada berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.


LIM KIT SIANG


Katanya, sejak beliau mencabar Najib berdebat atas tajuk 'Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti' yang kemudian disahut bekas Presiden UMNO itu, ramai yang menasihatinya tentang program yang mahu diadakan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyatakan antara nasihat diterima beliau ialah penganjuran debat itu akan digunakan Najib untuk menaikkan semula popularitinya selain menjadi medan yang berisiko membangkitkan sentimen perkauman.

"Kemungkinan debat antara saya dan Najib ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu melawan Cina.

"Sedangkan perang melawan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukan satu isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik. Saya memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam blognya, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan pada Selasa lalu menyahut cabaran Kit Siang dan mencadangkan supaya program debat itu diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disiarkan secara langsung.

Namun jelas Kit Siang, dalam tempoh 48 jam selepas kedua-dua mereka bersetuju untuk berdebat, beliau menerima pelbagai nasihat supaya tidak meneruskannya.

Kit Siang bagaimanapun cuba mempertahankan diri bahawa tindakan yang diambil beliau itu adalah demi kepentingan negara.


"Saya tahu keputusan ini akan disambut dengan tuduhan bahawa saya seorang pengecut. Namun kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk dinilai oleh rakyat sama ada saya seorang penakut atau tidak.

"Saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman rakyat. Bagaimanapun, satu perkara yang saya tidak akan kompromi, iaitu kepentingan negara dan rakyat," katanya