Monday, April 29, 2019

ORANG KEMAMAN JADI SENATOR WAKILI NEGERI SEMBILAN

SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Ketua PKR Cabang Seremban, Dr Ahmad Azam Hamzah hari ini dipilih sebagai Senator bagi mewakili Negeri Sembilan di Dewan Negara.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Zulkefly Mohamad Omar mengumumkan pemilihan itu setelah mendapat sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, hari ini.

Pelantikan Dr Ahmad Azam, 58, untuk tempoh tiga tahun dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani yang juga ADUN Paroi.

Dr Ahmad Azam yang berasal dari Kemaman, Terengganu, merupakan doktor veterinar di syarikat CP Holding dan beliau mula bergiat aktif dalam arena politik bermula 1998 menerusi PKR.

Beliau pernah menyandang jawatan Pengerusi PKR Negeri pada 2005 hingga 2007 dan menjadi ketua PKR Cabang Seremban sejak 2005 hingga kini.

Dr Ahmad Azam mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Felda Seberang Tayur, Kemaman daripada 1968 hingga 1973.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Cukai, Kemaman, (1974-1975); Sekolah Menengah Alor Akar, Kuantan, Pahang (1975-1976), Sekolah Menengah Sri Menanti, Muar, Johor (1976-1977), Sekolah Menengah Dato’ Sri Amar Diraja Muar (1977-1980) dan kemudian menyambung pelajaran di peringkat universiti di Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) pada 1981 hingga 1986 dalam jurusan Doktor Perubatan Veterinar.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau yang menzahirkan rasa syukur kerana terpilih mewakili Negeri Sembilan berkata akan mengadakan beberapa perbincangan bersama Aminuddin serta kepimpinan negeri mengenai isu yang berbangkit untuk dibawa ke Dewan Negara.

-- BERNAMA

Sunday, April 28, 2019

BEKAS EXCO DILANTIK PENGERUSI BERSATU JOHOR?

JOHOR BAHRU, 28 April (Bernama) -- Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor yang baharu sudah diputuskan namun pengumuman rasmi mengenainya hanya akan dibuat selepas Aidilfitri ini.

Pengarah Media BERSATU Johor, Solihan Badri berkata, pengumuman akan dibuat oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga penyandang jawatan Pengerusi BERSATU Johor.

"Saya rasa sebelum pemilihan parti berlangsung (pengumuman dibuat) dan kita harap ia dapat diselesaikan dengan baik sebab ini penting untuk perjalanan parti dan kerajaan.

Selain itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya juga akan membuat surat rasmi berhubung lantikan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘Bersatu Mulanya Disini’ oleh Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, di sini hari ini.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor, Mazlan Bujang, yang digugurkan minggu lalu, berkemungkinan dilantik mengisi jawatan tersebut.

-- BERNAMA

Saturday, April 27, 2019

ANIPAH AMAN TIDAK MAHU TANDATANGANI RATIFIKASI STATUT ROM (ICC)

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Wakil Kumpulan Bekas Penjawat Awam Malaysia (G25) Datuk Noor Farida Mohd Ariffin percaya kerajaan seharusnya menimbang semula tindakannya menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Datuk Noor Farida Ariffin turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai kumpulan pakar bagi menepis sebarang salah anggapan mengenai statut berkenaan.

Beliau berkata dengan adanya pakar undang-undang dan strategi komunikasi yang baik, kerajaan akan mempunyai koordinasi lebih baik ketika bersemuka dengan orang ramai.

“Dengan memiliki semua strategi ini, rakyat akan tahu bahawa tidak ada apa yang perlu ditakutkan mengenai ICC dan ia bukan agenda negara ‘kuasa besar’ dunia,” katanya kepada pemberita di penghujung majlis forum awam ‘Malaysia & Rome Statute’ di Universiti Malaya, di sini.

Sementara itu Noor Farida yang juga salah seorang penceramah forum berkenaan turut mendedahkan bahawa Malaysia hampir meratifikasi triti antarabangsa yang merangkumi jenayah serius dan jenayah terhadap kemanusiaan itu, pada tahun 2011.

Beliau mengakui bahawa sebagai sebagai Ketua Pengarah di Jabatan Kajian Perjanjian dan Undang-undang Antarabangsa di bawah Wisma Putra ketika itu, beliau adalah orang yang bertanggungjawab menyediakan kertas kabinet bagi meratifikasi ICC.

“Sayalah orangnya yang menyediakan kertas kabinet kepada semua menteri serta agensi-agensi kerajaan, dan juga kepada Peguam Negara ketika itu.

“(Tetapi) Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Abdul Gani Patail) tidak bersetuju dengannya, namun semua kementerian serta jabatan yang lain bersetuju (meratifikasinya). Kabinet kemudiannya mengenepikan bantahan Peguam Negara dan memutuskan untuk menyetujuinya pada 11 Mac, namun Menteri Luar ketika itu tidak mahu menandatanganinya,” katanya.

Pada 5 April lepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia menarik diri daripada meratifikasi Status Rom ICC disebabkan kekeliruan politik di kalangan rakyat mengenainya.

Noor Farida berkata G25 juga akan menghantar satu memorandum mengenai apa yang dibincangkan dan juga saranan-saranan daripada forum hari ini kepada kerajaan minggu depan.

Sementara itu Pakar Undang-undang Perlembagaan Emeritus Professor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi turut menyetujui kenyataan Noor Farida, dan menggesa kerajaan menimbang semula penarikan diri daripada ICC.

“Jawatankuasa Parlimen seharusnya dilantik bagi membincangkan perkara itu dengan lebih terperinci, manakala pasukan tentera dan polis perlu diberi taklimat mengenai undang-undang yang berkaitan dengan statut,” katanya.

-- BERNAMA

Friday, April 26, 2019

UMNO SABAH IKRAR BANTU PBS DI SANDAKAN

KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- UMNO Sabah akan memainkan peranan membantu Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Pengerusinya yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata selaku blok pembangkang, UMNO Sabah tidak keberatan untuk menghulur bantuan sokongan kepada PBS.

Katanya secara lisannya beliau sudah berhubung dengan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan telah menyatakan persetujuan dengan bantuan sokongan oleh UMNO Sabah pada PRK Sandakan.

"Kita akan bincangkan lebih lanjut dengan pemimpin PBS untuk menentukan mekanisme gerak kerja yang boleh memberi manfaat kepada blok pembangkang PBS pada PRK Sandakan," katanya kepada Bernama di sini.

Bung Moktar berkata terdapat 9,000 ahli UMNO dan pengundi di Parlimen Sandakan yang sudah dikenal pasti termasuk tempat tinggal mereka.

Katanya UMNO Sabah telah mula mengadakan siri lawatan ke rumah ahli UMNO berkenaan dan maklumkan kepada mereka untuk keluar mengundi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama dengan parti pembangkang lain ini khususnya di negeri ini merupakan dasar terbuka yang diamalkan oleh UMNO Sabah.

"Pada kami mana-mana parti sekiranya ingin bekerjasama dan memberi manfaat kami tidak menolak," katanya.

Menurutnya atas dasar terbuka ini, terbaharu Parti Kerjasama Anak Negeri diketuai Datuk Henryanus Amin menyatakan ingin bekerjasama dengan UMNO Sabah dalam semua bentuk.

Pada PRK Sandakan itu, DAP akan meletakkan Vivian Wong Shir Yee, 30, anak mendiang anggota Parlimen Sandakan Stephen Wong Tien Fatt, sebagai calonnya.

PBS yang akan mewakili pembangkang dijangka akan menamakan calonnya untuk PRK Sandakan pada petang ini.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas Wong meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Penamaan calon ditetapkan esok, manakala hari pengundian awal pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.

Terdapat 39,856 pengundi biasa di Parlimen Sandakan, 270 pengundi awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara.

-- BERNAMA

Thursday, April 25, 2019

ANAK BONGSU MENDIANG WONG JADI CALON PH



SANDAKAN, 25 April (Bernama) -- Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) akan bekerja keras dalam memastikan kemenangan DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Sandakan bulan hadapan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata gabungan parti itu tidak akan mudah berasa selesa, walaupun yakin dengan kemampuan Vivian Wong Shir Yee sebagai calon pada PRK itu.

“Kita tidak akan mengambil ringan PRK ini. Kita akan bekerja keras bagi merealisasikan kemenangan DAP,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Townhall Bersama Rakyat’ di sini hari ini.

Pada program itu, Mohd Shafie turut mengumumkan Vivian, 30, akan bertanding merebut kerusi Parlimen Sandakan pada PRK 11 Mei ini.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang juga bapa Vivian, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh hari penamaan calon, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dan hari mengundi pada 11 Mei.

Sementara itu Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan hari ini berkata tiga bahagian UPKO yang berjiran dengan Sandakan iaitu Libaran, Kinabatangan dan Beluran serta para ahli Majlis Tertinggi parti akan turun padang membantu kempen DAP.

Beliau berkata UPKO Libaran mempunyai 422 anggota yang akan mengundi di Sandakan manakala Kinabatangan dan Beluran pula mempunyai lebih 100 anggota yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan parlimen itu nanti.

“Kami kenal anggota-anggota UPKO di sini dan kami bersiap sedia melaksanakan strategi sekali gus membantu kemenangan calon DAP kelak," katanya dan menambah UPKO Libaran diketuai Dr Peter Jr Naintin, manakala UPKO Kinabatangan diketuai oleh Datuk Johnny Intang dan Beluran diketuai Felix Joseph Saang.

Wilfred yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah yakin Vivian memiliki aura kepimpinan ayah beliau, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt kerana sudah berada dalam perjuangan politik sebagai Setiausaha Perhubungan Awam ketika mendiang Wong sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Vivian merupakan anak bongsu daripada empat beradik berkelulusan Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia dan terlibat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP.

-- BERNAMA

Wednesday, April 24, 2019

MB KATA INI PASUKAN SAYA UNTUK BELA BANGSA JOHOR

ISKANDAR PUTERI, 24 April (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini menafikan wakil rakyat yang dipilih menjadi barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) baru-baru ini adalah ‘pasukan’ Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, kesemua 10 Exco itu merupakan pilihannya sendiri, untuk melaksanakan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) demi kebaikan rakyat Johor dan mengulangi bahawa kesemua Exco dipilih, adalah satu pasukan yang beliau selesa bekerja, dan percaya mereka boleh melaksanakan tanggungjawab membela rakyat dengan baik.

“Sebetulnya, untuk kita membela rakyat, tiada team pun. Cuma pasukan exco yang ada di keliling saya ini, 10 Exco yang ada ini merupakan satu pasukan yang saya selesa bekerja dengan mereka.

“Tujuan (mereka dilantik) untuk kita untuk menjaga rakyat Johor nilah, jadi tiadalah team A, team B ni,” kata beliau dalam satu temubual khas di pejabatnya di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dr Sahruddin berkata dengan ada pasukan baru ini, dan dengan kerjasama dengan semua penjawat awam di negeri ini, antara lain adalah untuk memastikan Bangsa Johor iaitu rakyat negeri ini mengecapi keadaan yang aman serta ekonomi yang baik, sekali gus menjadikan taraf hidup mereka lebih baik.

“Inilah team saya, untuk membela nasib rakyat. Sepuluh Exco itulah team saya, untuk membela rakyat,” kata Dr Sahruddin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa ada antara exco baharu yang dipilih merupakan “Team Muhyiddin” sehingga turut menimbulkan persoalan terdapatnya campur tangan dari Istana.

Dr Sahruddin, yang baharu sahaja dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-17 pada 14 April lalu, baharu saja mengumumkan barisan exco Johor yang baharu dua hari lepas (Isnin), menyaksikan dua Exco lama digugurkan manakala tiga exco baharu dilantik.

Beliau menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada 8 April lepas.

Dua Exco lama yang digugurkan ialah ADUN Skudai Tan Hong Pin dan ADUN Puteri Wangsa Mazlan Bujang manakala tiga Exco baharu adalah ADUN Bukit Permai Tosrin Jarvanthi, ADUN Tenang Mohd Solihan Badri dan ADUN Jementah Tan Chen Choon.

Ketika ditanya mengenai bagaimana dirinya akan berperanan dalam menyeimbangkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan Istana terutama dalam menangani beberapa isu berkaitan, Dr Sahruddin berkata beliau berharap hubungan baik yang terjalin diharap dapat mengharmonikan hubungan kedua-duanya.

“Pertamanya, saya menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar agar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur, ikhlas dan amanah serta tidak mengutamakan kepentingan diri atau politik, demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi Johor,” kata beliau.

Dr Sahruddin menambah, di atas keprihatinan Sultan Ibrahim, hubungan erat antara Istana dan rakyat terjalin.

“Sebetulnya perlu ada semak dan imbang. Keseimbangan antara kerajaan persekutuan dan pihak Istana.

“Insya-Allah, segala isu saya akan cuba selesaikan dengan baik,” kata beliau.

-- BERNAMA

Tuesday, April 23, 2019

ECRL TAK AKAN PINGGIRKAN PENGLIBATAN RAKYAT TEMPATAN

MARANG, 24 April (Bernama) -- Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak akan meminggirkan penglibatan rakyat tempatan khususnya dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata rakyat tempatan termasuk kontraktor-kontraktor kecil akan diberi keutamaan dalam pelbagai bidang termasuk pembekalan makanan dan elektrikal yang boleh merancakkan lagi ekonomi negeri.

Beliau berkata perkara itu berdasarkan perbincangannya bersama Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) di pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman, tengah hari semalam.

"Kerajaan negeri dan MRL telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi memantau perkara-perkara seperti ini kerana ada beberapa aspek pelaksanaan ECRL yang masih memerlukan pertimbangan dan kelulusan daripada pihak kami.

"Jadi saya minta rakyat merebut peluang yang ada dan jangan sampai jatuh ke tangan orang luar yang tidak ada kena-mengena," katanya pada sidang media selepas merasmikan Stesen Bas Marang, di sini malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk A Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata rakyat di negeri ini juga tidak perlu risau dengan kebanjiran pekerja dari China apabila projek ECRL disambung kembali kelak memandangkan tenaga kerja yang dibawa masuk hanyalah daripada golongan pakar.

"Oleh kerana pembinaan ECRL dari Kuala Lumpur ke Kelantan adalah secara bersama antara MRL dan China Communication Constructions Ltd (CCCC), kita bimbang akan berlaku kebanjiran pekerja dari China.

"Bagaimanapun selepas mendapat kepastian daripada MRL, kita boleh menarik nafas lega kerana yang datang hanya tenaga pakar yang berkait langsung dengan pembinaan ECRL," katanya.

Menurut beliau, pekerja China juga akan ditempatkan di kuarters khas dan tidak bercampur dengan masyarakat tempatan yang dikhuatiri mencetuskan isu sosial dan budaya.

-- BERNAMA