Wednesday, October 31, 2018

KES SUDAH DITARIK BALIK TAPI MEDIA YANG HEBOHKAN



KUALA LUMPUR: Selepas heboh dakwaan seorang anggota parlimen Perlis melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajar bawah umur, Datuk Seri Shahidan Kassim tampil memberi penjelasan.

Dalam sidang media di parlimen hari ini anggota parlimen Arau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan polis untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan dirinya itu.

Kata Shahidan, ini kerana kedua-dua pihak kini telah membuat permohonan maaf ekoran "salah faham" yang berlaku.

“Saya pasti semua pihak memahami perkara ini dan minta tidak dipanjangkan perkara ini dan kita serah kepada pihak polis.

“Walaupun kes ini telah ditutup namun pihak polis akan meneruskan kerja-kerja mereka,” katanya.

Menurut Shahidan yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, dakwaan kononnya beliau berduaan dalam kereta adalah tidak benar.

Namun, kata Shahidan pertemuan di dalam kereta itu dibuat ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau keluar dari kenderaan yang dinaikinya.

“Sebagai wakil rakyat saya memberi galakan kepada semua anak supaya terlibat dalam aktiviti yang halal. Jadi ada kumpulan busker, muzik saya tolong semua, jadi itu perkara biasa.

“Kalau ada tempat kenduri pun saya tolong, jadi atas niat ini, saya anggap anak-anak dan cucu saya. Jadi tidak timbul ingin lebih daripada itu, lagi pun saya tak berapa boleh berjalan,” katanya.

Ketika diminta mengulas dakwaan beliau menyentuh pada bahagian tangan dan bahu, Shahidan enggan mengulas lanjut.

“Itu semua ada dalam keterangan saya,” katanya ringkas meskipun beberapa kali diasak pemberita dengan soalan yang sama.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Perlis itu berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berterusan menyebarkan dakwaan tersebut.

Namun, kata Shahidan ia akan membincangkan perkara itu dengan peguamnya Thalia Rohaina Abdul Latiff.

“Saya akan berbincang dengan peguam berkenaan untuk mengambil tindakan undang-undang tapi sudah pasti saya tidak akan berdiam diri.

“Kes ini sudah ditarik balik tetapi yang membukanya semula adalah pihak media. Ini merupakan penganiayaan terhadap keluarga ini, biarlah pihak polis yang menjalankan siasatan,” katanya.

Semalam, Polis Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman dilapor telah merakamkan keterangan Shahidan selama tujuh jam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang remaja perempuan di Perlis baru-baru ini.

Tuesday, October 30, 2018

JABATAN AGAMA ISLAM PERAK LANCAR WEBSITE CARI JODOH

IPOH, 30 Okt (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini melancarkan portal mencari jodoh, yang pertama seumpamanya yang dikendalikan oleh agensi kerajaan sebagai usaha untuk membantu individu khususnya yang lanjut usia mencari mencari pasangan.

Pengarahnya Datuk Mohd Yusop Husin berkata portal yang dibangunkan oleh JAIPk dengan kerjasama kPerak, anak syarikat kerajaan negeri itu, boleh diakses menerusi laman web cintasakinahjaipk.perak.my mulai hari ini.

Bagaimanapun ada beberapa syarat yang dikenakan ke atas individu yang ingin mendaftar di portal itu antaranya beragama Islam dan belum berkahwin.

"Sebagai contoh individu itu belajar atau bekerja dan sukar mendapat jodoh, jadi kita akan bantu mereka dengan kandungan yang ada dalam laman web itu untuk memudahkan mereka mencari jodoh. Buat sementara ini keutamaan adalah rakyat Perak dan sekiranya sambutan diterima mengalakkan kemungkinan usaha itu akan dikembangkan ke peringkat Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran laman sesawang itu dan Modul Pemahaman Poligami Negeri Perak yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak Asmuni Awi di sini

Monday, October 29, 2018

RUMAH UNTUK REMAJA HAMIL TANPA NIKAH DILANCAR DI TERENGGANU


MARANG, 28 Okt (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hari ini melancarkan Rumah Generasiku Sayang (RGKS) yang pertama di negeri ini bagi memberi perlindungan kepada remaja yang hamil tanpa ikatan perkahwinan.

Pengarahnya Dr Mohd Jusoh berkata buat permulaan RGKS yang terletak di Bukit Payong, di sini hanya mampu menerima lapan penghuni pada satu-satu masa dan akan dikendalikan oleh kakitangan JKNT serta sukarelawan yang bergabung tenaga memberi perkhidmatan kepada remaja tidak bernasib baik.

"Program ini adalah satu inisiatif 'safe motherhood' oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu remaja hamil tanpa nikah mendapat rawatan antenatal, postnatal, psikososial, bimbingan kerohanian dan mengelakkan pengguguran haram.

"Ia mengambil model RGKS yang diperkenalkan negeri Johor bagi memberi perlindungan serta kesejahteraan kepada ibu dan bayi sebelum diteruskan di Kelantan. JKNT juga telah menubuhkan Persatuan Kebajikan Generasiku Sayang (PKGKST) untuk tujuan pengurusan rumah itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran RGKS Negeri Terengganu 'Raudhatul Nisaa' di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd berkata RGKS yang beroperasi sejak 1 Okt lalu tidak hanya dibuka kepada remaja yang berasal dari negeri ini. Malah mereka dari luar yang mempunyai masalah kehamilan luar nikah dan tidak mempunyai hala tuju juga boleh mendapatkan bantuan.

Sunday, October 28, 2018

40 AHLI PARLIMEN UMNO AKAN SERTAI BERSATU BUKAN CAKAP CAKAP KOSONG



ARAU 28 Okt. - Dakwaan terdapat kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada UMNO akan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan cakap-cakap kosong sebaliknya bakal menjadi realiti dalam tempoh terdekat.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris memberitahu, kebanyakkan mereka sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan barisan kepemimpinan tertinggi parti seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan hasrat tersebut.

Tanpa mendedahkan nama pemimpin tersebut, beliau berkata, proses tersebut pada masa ini sudah 80 peratus selesai.

“Memang betul ada (akan ada pemimpin UMNO sertai Bersatu), mereka telah berjumpa Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Bila dan siapa, minta maaf saya tidak boleh dedahkan dengan lebih lanjut.Kita tunggu dan lihat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau di Pusat Tranformasi Nelayan, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin turut mendedahkan perkara sama dan memaklumkan pemimpin-pemimpin terbabit sama ada secara perseorangan atau berkumpulan telah mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi parti.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan keluar UMNO baru-baru ini mengesahkan menyertai Bersatu.

Sementara itu, Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu berkata, dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa Bersatu melakukan provokasi bagi menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri adalah tidak benar.

“Soal ini (Ahli Parlimen UMNO akan sertai Bersatu) tidak ada kena mengena dengan Anwar,” katanya-


Saturday, October 27, 2018

TOK PA PERLU DILANTIK MENTERI GANTI MENTERI "KASUT HITAM"

TANGKAK, 27 Okt (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan penyertaan Anggota Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke dalam parti adalah ikhlas dan tidak berhajat memegang sebarang jawatan.

Beliau berkata Mustapa atau Tok Pa membuat keputusan itu kerana beliau yakin dengan perjuangan parti itu selain menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi BERSATU.

“Mustapa awal-awal lagi menyatakan kepada saya dia tidak berhajat untuk memegang apa-apa jawatan dalam parti, dan saya yakin beliau bersikap ikhlas untuk menyertai parti.

“BERSATU sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja yang boleh memperkukuhkan parti dan Mustapa pun dah lama (dalam politik) juga sebagai menteri dan anggota parlimen,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama pemimpin tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut mengakui beberapa anggota Parlimen UMNO yang lain ada membuat pertemuan dengannya untuk bertanyakan pandangan mengenai penyertaan dalam Bersatu namun mereka tidak membuat sebarang keputusan.

Mustapa yang bertindak keluar UMNO bulan lepas, menyerahkan borang keanggotaannya secara rasmi kepada Dr Mahathir sambil disaksikan Muhyiddin dan pimpinan tertingginya pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan tertinggi parti berkenaan di Petaling Jaya, malam tadi.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh itu berkata kerajaan sedang mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak sebelum memuktamadkan pemansuhan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan di negara ini.

Beliau berkata, perkara berkenaan akan dibawa ke pejabat Peguam Negara untuk diteliti terlebih dahulu sebelum dibentangkan ke Parlimen.

“Kita sedang mendapatkan maklum balas dari pelbagai pihak, media pun buat kajian ada yang setuju ada yang tidak, setakat ini keputusan muktamad belum dibuat,” kata Muhyiddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Gambir.

Beliau berkata, meskipun banyak negara lain telah melaksanakan pemansuhan berkenaan, namun Malaysia perlu meneliti pelbagai sudut sebelum mengambil langkah sama.

Friday, October 26, 2018

NEGERI SEMBILAN NEGERI PERTAMA TARIK DARJAH KEBESARAN NAJIB DAN ROSMAH

SEREMBAN, 26 Okt (Bernama) — Berikut adalah kenyataan akhbar mengenai Penarikan Darjah Kebesaran kerajaan Negeri Sembilan.

Mesyuarat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat yang diadakan pada 26 Oktober 2018 di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan telah memutuskan bahawa pengurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) kepada Mohd. Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak pada tahun 2005 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.5 bertarikh 2 Mac 2006 ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Pendaftar Darjah Dr Razali Ab Malik dalam satu kenyataan hari ini berkata

dalam mesyuarat tersebut juga telah memutuskan bahawa pengurniaan Darjah Seri Paduka Tuanku Ja’afar Yang Amat Terpuji (S.P.T.J) kepada Rosmah Bt. Mansor pada tahun 2006 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.23 Tambahan 1 bertarikh 9 November 2006 ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Di-Raja di Negeri Sembilan.

— BERNAMA

Thursday, October 25, 2018

JAMBATAN ANGKAT SIAP PADA FEBRUARI HADAPAN

KUALA TERENGGANU, 25 Okt (Bernama) -- Jambatan angkat bernilai RM248 juta yang menghubungkan Kuala Terengganu dengan Kuala Nerus yang sepatutnya siap bulan ini, dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata meskipun berlaku sedikit kelewatan dalam pembinaan projek itu namun kerajaan negeri yakin ia akan siap sepenuhnya Februari depan dan dibuka kepada orang ramai dua bulan selepas itu (April).

"Kelewatan itu antaranya disebabkan ada sedikit penambahan pada lif, beberapa lagi kerja di tingkat 14 dan di bahagian menara jambatan angkat tersebut yang masih belum siap.

"Jambatan angkat ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu di sebelah utara yang menempatkan restoran di tingkat 14 manakala di tingkat 13 pula ada ruang solat, bilik air dan tempat penyediaan makanan.

"Di sebelah selatan pula, akan ada galeri untuk orang ramai melihat keindahan bandar Kuala Terengganu, khususnya pada waktu malam," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri yang disempurnakan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mamad berkata jambatan itu kelak tidak akan memberi masalah kepada golongan nelayan kelas C kerana dibina pada ketinggian yang sepatutnya.

"Difahamkan jambatan angkat itu akan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk naik (dibuka untuk laluan kapal) dan kurang 20 minit untuk turun (dibuka kepada kereta dan motosikal).