Friday, August 31, 2018

DUA WAU PUYUH GERGASI MERIAHKAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN




TUMPAT, 31 Ogos ( Bernama) – Dua wau puyuh ‘gergasi’ yang berbentuk bendera Jalur Gemilang yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Sireh, Kota Bharu menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-61 hari ini di Pantai Geting, di sini.

Sebuah wau bersaiz panjang 3.96 meter dan lebar juga 3.96 meter manakala sebuah lagi 5.49 meter panjang dan lebar juga 5.49 meter, rangkanya diperbuat menggunakan buluh betung dan batang pinang mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

Wau yang masing-masing seberat 10 kilogram dan 20 kilogram itu memerlukan seramai 26 orang untuk menaikkan wau itu ke udara dengan mengambil masa kira-kira 15 minit dan hanya bertahan di udara tidak sampai seminit disebabkan cuaca yang kurang baik.

Selain dua wau gergasi berkenaan yang menjadi tumpuan kira-kira 2,000 penonton, terdapat kira-kira 40 wau puyuh yang bersaiz sederhana berjaya dinaikkan.

Ketua Kelab Gabungan Wau Kampung Sireh, Mohd Nafaqis Razlan, 28, berkata wau ‘gergasi’ yang dihasilkan itu berbentuk bendera Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat cintakan negara sempena Hari Kebangsaan.

Beliau berkata penyertaan turut melibatkan peminat wau dari beberapa kampung di Kota Bharu dan Pasir Mas yang sama-sama memeriahkan sambutan tersebut.

-- BERNAMA

Thursday, August 30, 2018

"DATUK" TIPU AHLI PERNIAGAAN RM490,000



KUANTAN, 30 Ogos (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan kerugian RM490,000 selepas diperdayakan seorang lelaki bergelar 'Datuk' dalam urusan jual beli tanah untuk projek penternakan udang, sejak lima tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 50 tahun mendakwa suspek memberitahu boleh membantunya mendapatkan tanah di Sungai Buah Beras di Rompin bagi tujuan tersebut.

"Suspek telah mengajak mangsa menandatangani surat akuan pada 20 Okt 2013 dan menunjukkan surat permohonan tanah kerajaan bagi projek penternakan udang itu.

"Mangsa diminta membayar RM300,000 yang akan dipulangkan jika permohonannya gagal, namun sekitar 2014 dan 2015, mangsa dimaklumkan tanah itu telah diberikan kepada orang lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek kemudiannya menjanjikan tanah di Mukim Penor di sini, kepada mangsa sebagai ganti dan memintanya memasukkan wang tambahan RM190,000 ke dalam akaun anak lelaki suspek.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa suspek tidak dapat dihubungi walaupun telah mencuba berkali-kali untuk bertanyakan status permohonannya, menyebabkan dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang suri rumah kerugian RM8,000 yang kononnya sebagai bayaran untuk mendapatkan hadiah berbentuk wang tunai daripada rakan lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook.

Katanya mangsa yang berusia 54 tahun itu mendakwa berkenalan dengan suspek pada awal bulan ini dan menerima salinan resit yang dikatakan sebagai bukti penghantaran pada 17 Ogos lepas.

“Tiga hari kemudian, mangsa menerima panggilan yang didakwa daripada wakil syarikat penghantaran meminta bayaran RM2,000 sebagai caj perkhidmatan.

"Mangsa kemudiannya diminta menjelaskan RM6,000 kononnya bayaran denda kerana penghantaran wang tunai boleh dikatakan sebagai wang seludup yang dijelaskannya pada Jumaat lepas," katanya.

Beliau berkata berasa diri ditipu selepas tidak menerima hadiah tersebut mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.

-- BERNAMA

Wednesday, August 29, 2018

ORANG SARAWAK INGIN MENABUR BAKTI DI SERI SETIA



PETALING JAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Pengalaman dilahirkan dan membesar di kawasan pedalaman menjadikan calon PAS, Dr Halimah Ali bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mudah memahami denyut nadi golongan orang susah.

Beliau yang dilahirkan dan dibesarkan di Marudi, Miri, Sarawak, berkata ini adalah kelebihan dirinya untuk memperbaiki kehidupan mereka yang kurang bernasib baik dan miskin bandar di sekitar kawasan DUN itu.

"Pengalaman menduduki kawasan pedalaman (Marudi) selama 17 tahun menjadikan saya mudah memahami kehendak mereka (golongan orang susah) dan ia bukan perkara baharu untuk diri saya kerana saya boleh merasai denyut nadi orang susah," katanya ketika ditemui pada sesi 'walkabout' di Pasar Malam Lembah Subang, di sini hari ini.

Dr Halimah berkata selama 10 hari kempen dijalankan beliau mendapati infrastruktur dan keadaan di sekitar kawasan golongan berpendapatan rendah agak daif.

Sementara itu, Dr Halimah yang merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor berkata tiada cabaran baharu dihadapinya sepanjang tempoh berkempen setakat ini tetapi mengalami sedikit kesukaran untuk menarik pengundi daripada kaum Cina.

Tuesday, August 28, 2018

DUA LESBIAN DITANGGUH HUKUMAN SEBAT



KUALA TERENGGANU: Dua wanita Islam yang disabitkan bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis tidak akan menjalani hukuman sebatan syariah hari ini.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu Nurul Huda Abdul Rahman berkata hukuman itu dilapor ditangguhkan ke 3 September depan susulan isu teknikal, lapor The Malaysian Insight.

Katanya, terdapat isu antara pihak yang menjalankan hukuman dan lebih baik ia ditangguhkan dulu.

Beliau juga menasihatkan kedua-dua wanita itu, yang hadir bersama anggota keluarga, untuk tiba pada jam 10 pagi minggu depan sebelum hukuman dijalankan.

Dua wanita itu disabitkan bersalah kerana cuba melakukan hubungan seks dalam kereta pada April lalu.

Wanita 32 dan 22 tahun itu mengaku bersama atas kesalahan musahaqah, yang turut melarang seks lesbian.

Mereka turut didenda RM3,300 setiap seorang.

Kes itu timbul di tengah-tengah perdebatan awam berkaitan isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

Monday, August 27, 2018

PEMANSUHAN BRIM TAK JEJAS PELUANG PH MENANGI PRK SERI SETIA

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Pemansuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, kata Calon PH Halimey Abu Bakar.

Beliau yakin pengundi di kawasan itu hanya mahukan DUN itu terus ditadbir oleh kerajaan PH.

"Sepanjang tempoh berkempen ada rakyat Seri Setia yang kita temui akui tidak kisah dengan isu pemansuhan berkenaan, sebaliknya mereka hanya mahukan kemenangan PH.

"Rakyat di sini lebih suka bercerita tentang Inisiatif Peduli Rakyat (IPS) dan tidak sedikit pun menyentuh isu pemansuhan BR1M, Janji 100 Hari PH atau isu lain," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dimansuhkan sepenuhnya selain melabel inisiatif itu sebagai satu bentuk rasuah dan tidak diagihkan secara saksama kepada kumpulan yang sepatutnya.

Sunday, August 26, 2018

JANGAN SEBAR MAKLUMAT PALSU MENGENAI SST

GEORGE TOWN, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini memberi amaran kepada pembekal barangan pengguna supaya tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bulan hadapan.

Menterinya Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya menyedari terdapat segelintir pembekal barangan telah mengeluarkan surat pekeliling kepada peruncit tentang kenaikan harga barang selepas pelaksanaan SST.

"Kami sedang memerhati pembekal-pembekal ini dan kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya perlu," katanya selepas merasmikan Karnival "I Love Malaysia" anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Pusat Membeli-belah Sunshine Square di sini hari ini.

Beliau berkata pihak kementerian sedang mengikuti perkembangan isu ini dan mereka yang melanggar undang-undang telah dikenal pasti untuk diambil tindakan.

"Saya jangka perkara ini berlaku selepas pertemuan pembekal dengan pihak kastam sebelum ini di mana kini mereka telah mengambil langkah awal tanpa sedari bahawa mereka telah melanggar undang-undang," katanya.

Saturday, August 25, 2018

KERJASAMA PAS- UMNO SEBAHAGIAN KONSEP GAGASAN SEJAHTERA

ALOR SETAR, 25 Ogos (Bernama) -- Jalinan kerjasama antara PAS dengan UMNO dilihat sebagai sebahagian daripada konsep Gagasan Sejahtera, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.

Beliau berkata konsep yang diamalkan PAS adalah dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak yang menyokong gagasan Islam atau untuk perkara baik dan yang mempunyai kepentingan untuk rakyat.

"Prinsip asal PAS senang sahaja iaitu kita boleh tolong mana-mana pihak untuk kebaikan rakyat. Pendapat yang tegas juga akan dilontarkan sekiranya perkara itu buruk, kita tidak akan sokong atau bersetuju.

"Konsep ini juga boleh dilihat dalam persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana kita bukan cakap pasal penyelewengan dan asyik salahkan orang sahaja tetapi kita bagi cadangan dan penyelesaian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen PAS Kedah di sini, hari ini.

Ahmad Shamsuri, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata demikian ketika diminta mengulas adakah kerjasama yang dijalinkan PAS dengan UMNO adalah sebahagian daripada konsep Gagasan Sejahtera.

Sementara itu, beliau berkata konsep Gagasan Sejahtera itu dilihat telah mencapai sasaran apabila ahli PAS dapat menerimanya selain mengamalkan politik yang matang