Wednesday, July 10, 2019

PERCERAIAN DISELESAIKAN DALAM MASA ENAM JAM

SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Proses kerja kes cerai ‘fast track’ yang diperkenalkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bukan untuk menggalakkan masyarakat Islam di negeri ini bercerai hingga menyumbang kepada kadar kes yang tinggi.

JAKESS dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesan inisiatif ini dilihat menggalakkan para suami bagi sesuatu perkahwinan yang telah pecah belah untuk menceraikan isteri secara baik hingga tidak berlaku kejadian “wanita digantung tidak bertali”.

“Proses kerja ini juga sebenarnya menjimatkan masa dan kos pihak terlibat dan memberi peluang kepada mereka untuk memulakan hidup baharu secara damai tanpa perlu bermusuhan antara satu sama lain.

“Ini sebagaimana yang biasa berlaku kesan daripada perbicaraan kes yang panjang di mahkamah,” kata kenyataan itu.

JAKESS menjelaskan jumlah kes perceraian yang tinggi di Selangor sebenarnya disebabkan faktor kepadatan penduduknya berbanding negeri-negeri lain.

Menurut kenyataan itu, proses kerja kes cerai secara ‘fast track’ juga hanya digunapakai sekiranya beberapa syarat dipenuhi.

Ini termasuk penyediaan dokumen yang lengkap; suami dan isteri hadir ke mahkamah; wujud persetujuan antara suami dan isteri untuk bercerai secara baik serta harmoni; isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut.

Di samping itu, mahkamah berpuas hati bahawa telah berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.

Dalam hal ini, kes perceraian akan diselesaikan dalam tempoh enam jam daripada masa pemfailan kes.

Semalam, isu perceraian dalam masa enam jam di Selangor dibangkitkan Anggota Parlimen Jelebu, Datuk Jalaludin Alias pada sesi pertanyaan lisan di persidangan Dewan Rakyat.

Beliau mendakwa proses perceraian ekspres itu antara punca negeri terbabit mencatat kes perceraian tertinggi di negara ini.

-- BERNAMA


Tuesday, July 9, 2019

TERENGGANU PERKENAL DASAR PERUMAHAN MESRA PEMAJU

HULU TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Terengganu dijangka memperkenalkan dasar perumahan swasta baharu di negeri ini, termasuk Rumah Mampu Milik (RMM) yang lebih mesra kepada golongan pemaju, bulan depan.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata melalui dasar baharu itu, kerajaan negeri antara lain akan meminimumkan kos tanah supaya kos pembinaan rumah dapat diturunkan, sekali gus menjadikan harga rumah lebih murah.

“Kami akan pertimbangkan antaranya tanah itu sendiri dan dengan dasar baharu ini, kos tanah akan diminimakan supaya kos pembinaan rumah akan diturunkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah RMM Tajin, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata 250 unit RMM Tajin mula dibina sejak Jun tahun ini, dan dijangka siap pada Jun 2021.

Beliau berkata kos keseluruhan pembinaan rumah teres di atas tanah berkeluasan 10 hektar itu ialah kira-kira RM29 juta dan ia dibangunkan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“Rumah ini setiap satu berharga RM117,000, tetapi ia akan dijual kepada pembeli dengan hanya RM68,000 sebagai rumah mampu milik,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya.

-- BERNAMA

Monday, July 8, 2019

PAS TERENGGANU TOLAK PELAWAAN MAHATHIR BERGABUNG SERTAI BERSATU



KEMAMAN 6 Julai - Pas Terengganu hari ini menolak pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar semua parti politik Melayu bergabung menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).



Sebaliknya, Pengerusi Bersatu serta seluruh pemimpin dan ahli parti itu dipelawa menyertai Pas dan juga UMNO.


Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebenarnya parti Bersatu yang menyebabkan perpecahan orang Melayu di negara ini.

“Sepatutnya semua balik kepada induk, saya rasa Pas dan UMNO dah boleh bekerjasama dan kami merupakan parti ibu atau induk. Pas sendiri dah berusia lebih 60 tahun, begitu juga UMNO dah lebih 70 tahun,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu Utusan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-4 Teknologi Kejuruteraan (ICET) 2019 Kolej Universiti TATI (TATIUC) di Dewan Datuk Seri Tuan Guru, Pusat Latihan Darul Iman (DITC) Teluk Kalong, Kemaman hari ini.

Yang hadir sama, Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad serta Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan, Dr. Rosliza Ramli.

Satiful Bahri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC, berkata, sepatutnya ahli Bersatu kena kembali kepada UMNO memandangkan keahlian parti tersebut hanya sekitar 200,000 orang.

“Perpecahan di kalangan orang Melayu merupakan perebutan jawatan dalam parti sehingga tertubuh parti baharu. Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan serpihan daripada Pas kerana tidak berpuas hati tidak dilantik sebagai pemimpin.


“Sepatutnya mereka kena berkorban cita-cita peribadi dan kembali semula kepada parti ibu atau induk. Kita ni dah terlalu lama, elok sangat dah bersara dan bagi peluang kepada generasi baharu pula,” katanya

Thursday, July 4, 2019

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN PERLU DIPINDA UNTUK PENDAFTARAN PENGUNDI AUTOMATIK



KUALA LUMPUR: Pendaftaran pengundi secara automatik memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.



Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata berdasarkan kerangka peraturan sedia ada, pemohon yang ingin berdaftar sebagai pengundi perlu mengisi Borang A.



“Justeru, peruntukan sebegitu jika kita mahukan pendaftaran automatik (bagi mengundi), maka peruntukan itu perlu dipinda,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.



Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Ahli Parlimen pembangkang semalam bahawa mereka akan menyokong cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun jika pendaftaran automatik sebagai pengundi dilaksanakan pada usia 18 tahun.



Azhar berkata, usaha bagi reformasi berhubung menurunkan had usia mengundi dan pendaftaran automatik perlu didokong oleh kerajaan dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), dan SPR berkecuali mengenainya.



“Saya bagi pihak SPR berkecuali dalam hal ini kerana kita mengikut kerangka undang-undang dan akan berfungsi menjalankan tugas mengikut apa-apa peruntukan undang-undang yang ada,” katanya.

Wednesday, July 3, 2019

PASAR PAYANG 2 LEBIH MENARIK



KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Keadaan Pasar Payang 2 yang bakal beroperasi Julai ini, terletak bersebelahan Sungai Terengganu, mampu memberi kenangan menarik kepada pengunjung kerana ia bersih, teratur dan selesa.

Lokasi pasar baharu itu juga tidak jauh dari Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang), namun berbanding pasar sebelum ini, Pasar Payang 2 menyediakan ruang niaga yang lebih luas dengan 762 lot kedai dan kemudahan lain seperti tandas serta surau.

Peniaga diarahkan berpindah sementara ke lokasi tersebut berikutan keputusan kerajaan negeri untuk melakukan beberapa penambahbaikan terhadap Pasar Payang yang telah dibina sekitar tahun 1960-an itu.

Tinjauan Bernama di Pasar Payang 2 baru-baru ini mendapati kerja-kerja mengubahsuai dan menambah baik lot kedai oleh para peniaga sedang giat dilakukan bagi membolehkan mereka berpindah dengan segera.

Seorang peniaga kain batik dan sutera, Syed Ahmad Shahrom Syed Othman, 40, berkata walaupun bangunan tersebut telah siap, peniaga masih perlu membuat beberapa penambahbaikan atas faktor keselamatan.

Beliau yang berniaga bersama ibunya, Rubiah Abdul Rahman, 62, berkata jaring besi yang dipasang sebagai atap perlu diganti dengan siling kayu bagi mengelak kedai dipecah masuk dengan mudah.

"Kontraktor hanya pasang jaring besi sebagai atap memandangkan lot kedai ini terletak dalam bangunan dan memanglah tidak terkena hujan.

"Tetapi aspek yang mereka terlepas pandang ialah isu keselamatan kerana jaring besi seperti ini pencuri boleh panjat dan mudah sangat untuk mereka pecah masuk," katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Payang 2.

Selain itu, Syed Ahmad Shahrom berkata pemasangan siling itu juga amat perlu bagi mengelak barang jualan rosak sekiranya terkena tempias hujan memandangkan kedudukan kedainya di bahagian paling tepi dan berhampiran sungai.

Seorang lagi peniaga pakaian, Yusman Mohamad, 45, berkata dia memperuntukkan wang kira-kira RM2,000 untuk mengupah tukang memasang siling dan membina beberapa rak kecil di kedainya.

Beliau berkata ruang kedai yang agak sempit di Pasar Payang 2 memerlukan peniaga melakukan susun atur dengan teliti dan bijak bagi memuatkan barangan jualan yang banyak.

"Keluasan sebelum ini ialah sekitar 14x14 kaki (4.27 x 4.27 meter) berbanding di Pasar Payang 2 yang hanya 10x10 kaki (3.05 x 3.05 meter). Jadi saya rancang untuk bina rak kecil secara bertingkat-tingkat untuk memuatkan lebih banyak pakaian di dalam kedai.

"Jaring juga perlu diganti kerana mana tahu terkena najis burung yang tersesat terbang masuk ke dalam kerana ia berkonsep bangunan terbuka," katanya yang sudah berniaga lebih 10 tahun.

Namun begitu Yusman berkata beliau tidak begitu gusar kerana keadaan itu hanya bersifat sementara dan apabila pembinaan Pasar Payang baharu siap dalam tempoh dua tahun lagi, perniagaannya dapat beroperasi dalam keadaan jauh lebih baik.

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd berkata beliau serta rakan-rakan lain berharap supaya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenakan bayaran sewa yang lebih rendah berbanding Pasar Besar Kedai Payang kerana ruangnya lebih sempit dan sambutan daripada pembeli juga belum diketahui.

"Saya jangka dapat pindah masuk ke Pasar Payang 2 pada pertengahan Julai ini dan pelanggan tetap juga sudah dimaklumkan.

"Setakat ini kadar sewa belum dimaklumkan lagi tetapi saya minta jasa baik MBKT untuk tetapkan harga berpatutan kerana kita belum tahu lagi bagaimana sambutan pengunjung di tempat baharu," katanya yang berniaga barang-barang runcit.

Walaupun terpaksa melakukan penambahbaikan, tinjauan mendapati rata-rata peniaga teruja untuk memulakan perniagaan di tempat baharu kerana tidak perlu lagi bersesak-sesak dan berdepan dengan masalah seperti atap bocor.

-- BERNAMA

Tuesday, July 2, 2019

TINDAKAN AHLI PARLIMEN PAS BERMOTIF POLITIK

KUALA TERENGGANU, 2 Julai (Bernama) -- Tindakan beberapa anggota parlimen pembangkang terutama PAS yang tidak bersetuju dengan usul mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing dilihat sebagai penolakan politik semata-mata, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu Senator Datuk Razali Idris.

Beliau berkata pemimpin PAS itu hanya bertindak untuk membangkang apa sahaja usaha yang ingin dilakukan oleh kerajaan tanpa melihat kepentingan dan kebaikannya.

“Apa yang kerajaan buat dia (PAS) tidak setuju, itu sahaja yang saya nampak. Dia tidak lihat perkara yang dicadangkan itu penting atau tidak, yang pentingnya apa yang dicadangkan kerajaan dia tolak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Aidilfitri Bersatu Terengganu, di sini, hari ini.

Beliau yang mengulas mengenai usul mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing yang diluluskan di Parlimen semalam berkata, Anggota Parlimen PAS tidak perlu takut untuk mengisytihar harta mereka sekiranya ia diperolehi dengan cara yang betul dan tidak menyalahi undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong ketika membentangkan usul itu berkata ia akan terpakai kepada semua Anggota Parlimen serta suami atau isteri masing-masing, anak-anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, di samping pemegang amanah berkaitan, dan beberapa anggota Parlimen PAS telah menyuarakan rasa tidak setuju mereka terhadap usul itu.

Monday, July 1, 2019

CEUPACS MINTA KERAJAAN SEMAK SEMULA KADAR GAJI MINIMUM



KUALA TERENGGANU, 30 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menyemak semula kadar gaji minimum ke arah meringankan kos sara hidup rakyat.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata kadar sekarang dilihat tidak memadai lebih-lebih lagi bagi golongan berpendapatan rendah B40.

"CUEPACS cadangkan kerajaan dengan segera semak gaji minimum bagi sektor swasta dan kerajaan kerana gaji RM1,100 dan RM1,200 sangat rendah dan tidak mencukupi.

"Kalau dengan anak ramai gaji RM1,100 sebulan tolak caruman wajib tinggal baki RM500 sebulan apa dia nak buat," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Raya peringkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu di sini hari ini.

Disebabkan itu, beliau berkata banyak pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan bercerai akibat tekanan hidup berikutan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung seperti keperluan membayar sewa dua rumah dan kos ulang alik.

-- BERNAMA