Thursday, March 7, 2019

RANTAU TAK SAMA DENGAN SEMENYIH



SEREMBAN, 7 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang besar untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 13 April depan memandangkan demografi pengundi di kawasan itu tidak sama dengan DUN Semenyih, Selangor.

Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata dengan strategi yang telah dirangka berserta calon boleh menang, PH mampu menawan kerusi yang dianggap kubu kuat UMNO tersebut.

“Kita kena lihat dalam politik ini kita tidak bergantung kepada persepsi sahaja tapi kita kena lihat demografi dan geografi di sesuatu tempat. Kita tahu pengundi-pengundi di sesuatu tempat itu tidak sama bilangannya, di samping itu juga kita melihat potensi di Rantau adalah tidak sama di Semenyih," katanya.

Wednesday, March 6, 2019

BIAR MESYUARAT BN JUMAAT INI BUAT KEPUTUSAN

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Majlis Tertinggi BN untuk membuat keputusan.

Mohamed Nazri turut mengumumkan bahawa beliau tidak akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN Jumaat ini setelah parti-parti komponen MCA dan MIC mengugut untuk tidak akan menghadirinya sekiranya beliau hadir.

"Saya tidak akan meletakkan jawatan, saya tidak mahu orang melihat saya...sebagai telah mengabaikan BN, biarlah mesyuarat itu yang memutuskan. Saya dilantik (sebagai setiausaha agung) dan saya boleh dibuang (jawatan ditarik balik).

Tuesday, March 5, 2019

FUZI MUNGKIN JUAL DURIAN SELEPAS BERSARA



KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyatakan kesediaannya untuk bersara wajib dalam beberapa bulan lagi kerana sudah tiba masa untuk dirinya berbuat demikian.

Justeru, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tempoh masa persaraannya itu ketika ini.


“Kami sedar bila tiba masanya untuk bersara, kita kena pergi. Perkara itu bukan masalah, maka hentikan spekulasi yang bukan-bukan.

“Kita akan selesai tanggungjawab yang diberikan dan harapan kita telah jalankan amanah dengan baik susulan tanggungjawab yang telah diserahkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Cheras hari ini.

Selain itu juga, Mohamad Fuzi secara berseloroh memberitahu banyak perkara yang boleh dilakukannya apabila pencen nanti antaranya berkahwin dan berniaga.

“Saya masih bujang sekarang jadi mungkin saya akan berkahwin, banyak perkara yang saya boleh lakukan kelak selepas bersara. Jangan risau apa saya hendak lakukan selepas bersara, saya mungkin akan menjual durian di tepi jalan dan kamu (pemberita) mungkin boleh membeli serta mengambil gambar,” ujarnya berseloroh.

Jelas Mohamad Fuzi, selain dirinya malah beberapa pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah tiba masa untuk berundur akan menyusul bersama.

“Timbalan saya (Tan Sri Noor Rashid Ibrahim), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Datuk Seri Mohmad Salleh) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.) akan turut bersara.

“Saya tidak susah hati, gembira sahaja dan berharap telah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” jelasnya.


Monday, March 4, 2019

KARNIVAL TEKUN KELANTAN TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Karnival Usahawan peringkat negeri Kelantan anjuran Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang dijadualkan dari 7 sehingga 9 Mac ini di Tanah Merah, Kelantan, menerima sambutan luar biasa apabila kira-kira 190 usahawan sudah mengesahkan penyertaan.

Pengerusi TEKUN Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata jumlah itu melebihi sasaran awal penyertaan 100 usahawan.

“Karnival ini melibatkan penyertaan 190 usahawan Tekun dalam pelbagai sektor industri, menjadi platform terbaik bagi usahawan bumiputera untuk meneroka peluang pasaran selain mendapatkan informasi perniagaan dan pembiayaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata karnival usahawan itu merupakan inisiatif TEKUN bagi mewujudkan komuniti dan jaringan usahawan bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat.

Sebanyak 48 agensi kerajaan akan turut serta dalam karnival yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1 dan 2, Tanah Merah, Kelantan yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Antara aktiviti menarik yang disediakan adalah seminar usahawan, forum agama, ‘business matching’ dan ‘business talk’ selain persembahan artis serta penampilan istimewa karekter kartun kanak-kanak, Omar dan Hana.

Sehingga Feb lepas, TEKUN memberikan pinjaman kepada 423,981 usahawan, mencatatkan jumlah RM5.324 billion.

-- BERNAMA

Sunday, March 3, 2019

TAPAK PASAR PAYANG TETAP KEKAL

SETIU, 3 Mac (Bernama) -- Nasib peniaga asal di Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang akan terus terbela dan diberi keutamaan apabila bangunan baharu siap kelak, dua tahun lagi, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini.

Beliau berjanji kerajaan negeri tidak akan melakukan perubahan begitu sahaja tanpa persediaan malah peniaga akan ditempatkan di bangunan sementara yang tidak jauh dari lokasi asal.

“Bukan kita robohkan sebegitu (sewenang-wenangnya). Tapak Pasar Payang itu akan kekal. Apa yang penting kita ingin memberi nafas baharu yang berperanan bukan sekadar jual beli tetapi memaparkan unsur-unsur budaya dan tradisi serta jati diri rakyat Terengganu.

Katakanlah mereka ini (peniaga) ada 100 orang...mereka ini jugalah yang akan berniaga di tempat sementara dan apabila siap Pasar Payang nanti mereka akan berniaga di situ semula. Nama mereka ini tidak akan dibuang daripada senarai peniaga asal pasar tersebut,” katanya.

Saturday, March 2, 2019

SUARA PEMBANGKANG BERTAMBAH DI DUN SELANGOR

SHAH ALAM, 2 Mac (Bernama) -- Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih diyakini dapat menguatkan lagi suara pembangkang memperjuangkan kepentingan rakyat.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang DUN Selangor Rizam Ismail yang berterima kasih kepada rakyat Semenyih dengan menyifatkan keputusan PRK itu mengekalkan momentum kemenangan BN sejak PRK Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini.

“Saya yakin dan percaya, dengan penambahan seorang lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (daripada parti pembangkang) di DUN Selangor, maka suara pembangkang akan semakin kuat didengari,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kemenangan ini menjadikan pembangkang mempunyai enam kerusi dengan lima bagi Barisan Nasional dan PAS (satu kerusi). Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai 56 kawasan DUN.

BN menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada pilihan raya kecil kawasan itu dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

-- BERNAMA

Friday, March 1, 2019

BN DIJANGKA MENANG TIPIS?

SEMENYIH: Calon BN, Zakaria Hanafi dijangka menang tipis pada PRK Semenyih hari ini. Selepas dua minggu berkempen, para pengundi Semenyih nampaknya memberi sambutan luar biasa kepada calon BN berbanding tiga calon lain, calon PH, Aiman Zainali, calon PSM, Nik Aziz dan calon Bebas, Uncle Kentang.

Para pengundi nampaknya kecewa dengan  kerajaan PH yang dianggap kerajaan mandul oleh pemimpin Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Selepas sembilan bulan memerintah, PH gagal menghapuskan tol dan menghapuskan bayaran PTPTN yang dijanjikan dalam manifesto PH.

Calon BN dikatakan lebih berpengalaman dan matang berbanding dengan calon PH yang tidak pandai berkomunikasi. Yang paling lucu menang malam ini, esok beliau akan selesai semua masalah yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana wakil rakyat.

Dua penggal BN memenangi DUN Semenyih melalui Datuk Johan Abdul Aziz pada PRU 2008 dan 2013 tetapi Johan tewas kepada calon PH, Bakhtiar pada PRU 2018. Dapatkah BN menebus kembali kekalahan 2018? Sama sama kita tunggu keputusan PRK Semenyih malam ini.