Saturday, May 6, 2017

UMT ANJUR 36 PROGRAM WOW


KUALA NERUS, 6 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan 36 program sempena Sambutan Hari Lautan Sedunia (WOW) bermula 31 Mac hingga 13 Julai depan.


Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nor Aeini Mokhtar berkata kesemua aktiviti tersebut melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah dan komuniti setempat bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan laut dan khazanah marin negara.

"Hari ini, adalah pertandingan akhir bicara berirama peringkat kebangsaan sempena WOW 2017 yang melibatkan penyertaan sekolah berasrama penuh dari seluruh negara.

"Pertandingan berbahasa Inggeris ini bertujuan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa generasi muda Malaysia sangat peka dengan perkembangan semasa yang berlaku terhadap alam sekitar akibat perbuatan manusia itu sendiri dan mahu mesej ini diambil peduli oleh pihak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan akhir bicara berirama peringkat kebangsaan sempena WOW 2017 di sini hari ini.

Nor Aeini berkata UMT sebagai sebuah universiti yang memfokuskan kajian dan penyelidikan mengenai sains marin dan kelautan akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai kepentingan pengurusan sumber alam itu secara lebih lestari.

"Pemuliharaan laut ini telah menjadi satu topik yang sangat penting untuk dibincangkan dan UMT berasa bertuah kerana banyak terlibat dengan pelbagai program di peringkat antarabangsa.

"Kita perlu menguruskannya secara mampan agar laut dan hidupan yang terdapat di dalamnya terus mampu diwariskan pada generasi akan datang. Sebab itu UMT sebagai universiti paling rapat dengan komuniti pantai, berasa terpanggil untuk terus memainkan peranan dalam perkara ini," katanya.

-- BERNAMA

Friday, May 5, 2017

PENGHULU PERNAH JADI YB DI TERENGGANU

MARANG: Datuk Ahmad Sidi Ismail bekas ketua Umno bahagian Hulu Terengganu adalah seorang penghulu sebelum menyertai politik pada tahun 1974.  Beliau adalah Exco Kerajaan negeri. Pada tahun 1995 beliau ditawarkan bertanding kerusi parlimen Hulu Terengganu tetapi beliau menolak tawaran itu. Tempatnya digantikan oleh Mustapha Muda.

Tradisi penghulu menjadi YB akan diteruskan oleh Mohd Adnan Mohd Amin jika beliau dipilih sebagai calon BN bagi DUN Bukit Payong pada PRU akan datang. Malah PAS pernah ada YB dari bekas penghulu Mohamad Sulong mengalahkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau adalah bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Marang dari tahun 1993 hingga 2000. Beliau adalah ahli jawatankuasa Umno bahagian Marang dari tahun 2008 hingga sekarang. Malah beliau pernah dilantik ketua penerangan bahagian pada tahun 2008.

Beliau kini adalah naib pengerusi penyelaras DUN Bukit Payong dan beliau aktif dalam NGO iaitu Pengerusi Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia cawangan Terengganu 2016-2018 serta Naib Presiden Persatuan Gimnastik Terengganu dari tahun 2016-2018.

Dapatkah BN meneruskan tradisi memilih penghulu sebagai calon? Penghulu yang mesra rakyat, turun padang, cakna merupakan ciri utama calon mampu menang. Sama sama kita tunggu hari penamaan calon PRU nanti.


Thursday, May 4, 2017

DUA ADUN DI BESUT GUGUR?






JERTEH: Sekurang-kurangnya dua orang ADUN akan digugurkan sebagai calon BN pada PRU akan datang. Mereka ialah ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad dan ADUN Kota Putera, Mohd Mahadi Musa.

Nawi yang juga ketua Umno Bahagian Best sudah tiga penggal menjadi ADUN Hulu Besut. Manakala Mahadi yang baru sepenggal jadi YB lebih kelihatan sebagai ahli perniagaan daripada wakil rakyat.

Tempat Nawi dikatakan akan diisi oleh seorang pegawai kebudayaan di Kuala Lumpur, Zahari Mat. Nama Zahari amat popular di Hulu Besut. Manakala tempat Mahadi di Kota Putera akan diisi oleh ADUN Jerteh, Datuk Pehimi Yusof. Pehimi dikatakan akan meninggalkan DUN Jerteh yang dikatakan kerusi kurang selamat. Pada tahun 2008 Pehimi sudah jadi ADUN Kota Putera.

Calon baru di DUN Jerteh belum dipastikan lagi. Namun demikian sumber berkata Ketua Puteri Negeri Terengganu, Ernisalwani Saidi dijangka bertanding di DUN Jerteh.
Manakala Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dijangka kekal di DUN Kuala Besut.

JAMBATAN TIGA KILOMETER RM242 JUTA SIAP DIBINA

KUALA TERENGGANU, 4 Mei (Bernama) -- Jambatan yang menghubungkan kampung Teluk Pasu, Pulau Sekati dan Bukit Losong, kini siap dibina dan dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di jambatan Sultan Mahmud serta Jambatan Manir seperti yang berlaku sekarang.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata jambatan sepanjang tiga kilometer dengan empat lorong dua hala yang mula dibina pada April 2012 itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM242 juta.


Katanya jambatan itu akan menghubungkan rangkaian jalan sedia ada di Kuala Nerus seperti kampung Kubang Jela, Banggol Tuan Muda, Kampung Jeram Tok Kong, Bukit Jong dan seterusnya ke Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) atau ke Setiu, Besut dan Kelantan.

Selain itu, jika melalui dari Kampung Losong, ia menghubungkan pusat bandar Kuala Terengganu dan ke kawasan bandar baru Bukit Besar, Jalan Kuala Berang dan ke pusat pelancongan Tasik kenyir.

"Dengan siapnya projek jambatan itu, ia merupakan satu lagi kemudahan yang disediakan kerajaan untuk rakyat. Kita sedang mencari satu tarikh yang sesuai bagi upacara perasmian jambatan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Pertubuhan Kebajikan Amal Makruf Peribumi (KAMP), di sini semalam.

"Saya yakin apabila siap satu lagi jambatan iaitu jambatan angkat yang menghubungkan Seberang Takir-Bandaraya Kuala Terengganu, sudah pasti masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi sepenuhnya," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Pulau Sekati Ramli Man, 56, melahirkan rasa syukur apabila jambatan yang dibina melalui kampungnya itu sudah siap dan dapat memberi kemudahan kepada penduduk.

Katanya, sebelum ini kira-kira 250 penduduk pulau berkenaan hanya menggunakan jambatan kayu dan bot untuk ke tanah besar.

"Saya harap jambatan kayu berkenaan tidak akan diroboh. Ini kerana ia memberi kemudahan kepada pelajar kampung itu berulang alik ke Sekolah Kebangsaan Paloh," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Razif meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada KAMP, sebagai bantuan pentadbiran pertubuhan Melayu yang mempunyai lebih 12,000 anggota itu.

-- BERNAMA

Wednesday, May 3, 2017

BAGAIMANA NASIB IDRIS JUSOH DI BESUT?

JERTEH: Adakah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh kekal di parlimen Besut? Ada yang mengatakan bahawa beliau tidak berminat bertanding lagi setelah tidak menjadi ketua Umno Bahagian Besut pada tahun 2013.

Pada tahun tersebut, beliau dicabar oleh Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad proksi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Maka beliau tarik diri dan beri laluan kepada Datuk Pehemi Yusof menentang Nawi.

Pehemi tarik diri menyebabkan Nawi menang tanpa bertanding. Pehemi menawarkan diri bertanding timbalan ketua bahagian mengisi tempat Nawi dan Idris terpaksa berundur mengambil tempat Pehemi sebagai naib ketua bahagian untuk mengelakkan perpecahan di kalangan ahli Umno Bahagian Besut.

Walau pun beliau adalah ahli majlis tertinggi Umno di peringkat pusat tetai di peringkat bahagian beliau berkorban dan menjadi orang nombor tiga.

Ada yang berpendapat bahawa Idris akan kekal di parlimen Besut kerana kecemerlangan beliau di kementerian pengajian tinggi menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  masih memerlukan perkhidmatan beliau.

Idris menjadi ahli parlimen Besut pada tahun 1995 dan dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan. Beliau kalah bertanding di DUN Jerteh pada tahun 1999. Pada tahun 2004 beliau selaku Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu  yang mengetuai gelombang biru berjaya menawan semula Terengganu dan beliau yang menang di DUN Jerteh  dilantik Menteri Besar Terengganu.

Pada tahun 2008 beliau kekal di DUN Jerteh tetapi tidak dilantik semula Menteri Besar. Pada tahun 2013 beliau bertukar ke parlimen Besut dan dilantik Menteri Pengajian Tinggi. Bagaimana nasib Idris pada PRU akan datang?

Jika beliau bersara dari politik, siapakah yang akan menggantikan beliau di parlimen Besut? Khabarnya ketua bahagian, Nawi Mohamad paling layak untuk bertanding di parlimen Besut selaku kedudukannya sebagai ketua bahagian dan Exco Kerajaan Negeri.

Manakala satu nama lagi yang layak bertanding di parlimen Besut ialah pegawai kebudayaan dan kesenian di Kuala Lumpur, Zahari Mat. Nama Nawi dan Zahari menjadi pilihan utama jika Idris tidak bertanding semula. Namun demikian jika Idris kekal di parlimen Besut beliau tetap menang kerana jasa beliau membangunkan Besut masih diingati penduduk Besut.






Tuesday, May 2, 2017

UMT MENANG EMPAT ANUGERAH BUKU NEGARA



KUALA LUMPUR: Pembabitan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam usaha menerbitkan buku ilmiah berimpak tinggi untuk bacaan golongan akademik mahupun umum terbukti apabila dianugerahkan empat Anugerah Buku Negara semasa Majlis Anugerah Buku Negara 2017, semalam.

Dua anugerah tersebut diperolehi melalui Kategori Pengajian Tinggi iaitu Buku Ilmiah Terbaik (Tenggiling Sunda Khazanah Alam Malaysia – Pengarang Muhammad Hafiz Sulaiman & Chong Ju Lian) dan Buku Terjemahan Terbaik (Ikan Lut Sinar – Pengarang Ying Giat Seah & Mazlan Abd Ghafar) manakala dua lagi anugerah diperolehi melalui Kategori Industri iaitu Buku Zoologi Terbaik (Evolusi dan Biogeografi Mamalia Malayisa – Pengarang Mohd Tajuddin Abdullah) serta Buku Biografi Terbaik (Tan Sri Samsudin Osman : Demi Perkhidmatan Awam dan Negara Kerana-Nya Jua – Pengarang Noraien Mansor).

Pengarah Penerbit UMT, Datuk Prof Madya Dr. Noraien Mansor berkata, UMT melakar sejarah dengan kemenangan besar yang diperolehi pada tahun ini.

“Sejak 2013 UMT berjaya merangkul satu anugerah sahaja pada setiap tahun, tetapi untuk 2017 UMT diberi penghormatan apabila berjaya memperolehi empat Anugerah Buku Negara dan ini tentunya akan menjadi dorongan buat UMT untuk terus menerbitkan buku ilmiah berkualiti tinggi selaras dengan Dasar Buku Negara (DBN) serta Transformasi Nasional 2050 (TN50),"katanya.

Katanya, anugerah ini dilihat sebagai satu kejayaan besar UMT dalam menghasilkan karya berbentuk ilmiah dan ia juga tidak akan berjaya tanpa sokongan padu dari pihak penulis terutamanya pensyarah UMT sendiri.

Beliau memberitahu Today Terengganu bahawa sepanjang tahun 2016 UMT telah menerbitkan 60 buah buku termasuk buku digital.

"Dengan anugerah ini ia meransang UMT untuk menerbitkan lebih banyak lagi buku ilmiah pada tahun ini walaupun peruntukan mencetak buku tidak sebesar mana," katanya.





Anugerah Buku Negara diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 28 April hingga 7 Mei 2017.


Monday, May 1, 2017

AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG DANGKAL SEMASA BENTANG RUU355

ALOR SETAR, 1 Mei (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana memberi laluan kepada parti itu membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau berkata pembentangan rang undang-undang itu merupakan satu sejarah buat PAS dan parti itu akan sentiasa mengingati jasa baik kerajaan.

"Kita (PAS) berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan laluan berharga buat PAS untuk membentangkan usul berkenaan. Kita tidak akan lupakan perkara itu sampai bila-bila.

"Suara hati kita telah berjaya dilontar di Parlimen dan keputusan menangguhkan persidangan Parlimen membolehkan kita memberi penerangan mengenai RUU itu kepada masyarakat," katanya dalam ucapan penangguhan pada Muktamar PAS ke-63 di Kota Sarang Semut di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku di Parlimen semasa pembentangan RUU berkenaan memperlihat kedangkalan sesetengah Anggota Parlimen terutama daripada pembangkang.

"Kita perhatikan akhlak murahan termasuk (Anggota Parlimen) bukan Islam yang membantah pembentangan itu dengan menunjukkan aksi terjerit-jerit dan melaungkan kata kurang sopan...ini bukanlah ciri-ciri Anggota Parlimen sejati yang dipilih rakyat. Kerana marahkan PAS untuk memartabatkan Islam, PAS telah dihalang sebegitu rupa," katanya.

Abdul Hadi turut menegaskan bahawa PAS bukannya parti persinggahan bagi pihak-pihak tertentu yang mahu memperguna parti Islam itu demi kepentingan diri sendiri.

"Jangan jadikan PAS parti persinggahan hanya untuk sementara dan kemudian berambus pergi bila 'aircond' kita rosak," katanya.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menyemak semula perjalanan semua parti politik di negara ini berikutan ada parti politik yang dilihat tidak menghormati perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk mempersoalkan kedudukan agama Islam.

Pada sidang media kemudian, semasa ditanya sama ada ucapan terima kasih PAS kepada kerajaan membayangkan kemungkinan PAS dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama, Abdul Hadi berkata PAS akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang mementingkan kebajikan rakyat dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

"Konsep kerjasama kita adalah untuk perkara yang baik. Perkara yang baik seperti kebajikan rakyat, kita boleh bekerjasama. Kalau bercanggah dengan agama Islam, kita bangkang, kita tentang...itu pendirian kita yang terbuka," katanya.

Ditanya mengenai parti mana yang menjadikan PAS sebagai parti persinggahan, beliau berkata itu adalah satu kenyataan umum kerana PAS tidak memusuhi mana-mana parti politik.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata PAS bersedia menggantikan kerajaan sedia ada kerana pihaknya optimis mampu mencapai sasaran memenangi 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menjawab dakwaan bahawa PAS akan mendapat undi tercorot jika bertanding satu lawan satu pada PRU14, beliau berkata PAS mempunyai banyak pengalaman dalam pilihan raya dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Kita pernah menghadapi segala kemungkinan kerana sejarah politik kita, senario kita lebih panjang daripada orang lain. Kita pernah bersendirian, kita pernah tinggal satu kerusi, negeri ini ada kerusi, negeri itu kita tak ada kerusi langsung. Pertandingan dua, tiga dan empat penjuru...pengalaman kita banyak," katanya.

Berhubung keputusan tahaluf siyasi yang akan diputuskan Majlis Syura Ulama, Abdul Hadi berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada badan itu dan terpulang kepada mereka bila mahu bermesyuarat bagi menentukan perkara itu.

-- BERNAMA